Oleh Nurainie Haziqah Shafii

KUALA LUMPUR, Malaysia--Baru-baru ini, Menteri KPWKM mengumumkan tiada cadangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur sebaliknya akan berusaha melalui cara-cara lain mengekang isu ini daripada terus terjadi.

Ironinya, kerajaan sebelum ini pernah melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, namun tidak pasti jika usaha Pelan ini digunapakai sebagai panduan mengekang masalah ini.

Setakat ini, Enakmen Keluarga Islam dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan manakala orang bukan Islam, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 meletakkan usia minimum 18 tahun bagi kedua-dua lelaki dan perempuan tetapi kebenaran bertulis hendaklah diperoleh daripada Ketua Menteri berdasarkan Seksyen 10 sekiranya melibatkan pemohon dan pasangan di bawah umur antara 16 ke 18 tahun.

Pada pandangan saya, perkahwinan bawah umur membawa lebih banyak kesan negatif berbanding positif termasuk keciciran sekolah, mengandung di usia muda, keganasan rumah tangga, perceraian, kesan psikologi, mental dan fizikal kanak-kanak tersebut.

Perkara ini akhirnya menyebabkan kehidupan anak-anak ini secara tidak langsung terganggu.

Secara biologi, remaja bawah umur belum bersedia untuk menjalani proses kehamilan secara sihat apatah lagi mempunyai mental dan fizikal menjadi seorang ibu.

Kehamilan pada usia muda boleh meningkatkan risiko melahirkan bayi pramatang dan berhadapan komplikasi kelahiran sebanyak dua kali ganda. Ini kerana sistem daya tahan kanak-kanak lebih rendah berbanding dewasa.

Paling merisaukan adalah keganasan rumah tangga dan penderaan. Kanak-kanak perempuan yang berkahwin sebelum usia 15 tahun mempunyai pengalaman didera oleh suami secara fizikal mahupun seksual berbanding mereka yang berkahwin pada usia 18 tahun dan ke atas.

Ini akan menyumbang kepada masalah mental dan psikologi.

Remaja berumur 11 hingga 18 tahun sepatutnya fokus kepada alam persekolahan dan alam remaja. Pada umur ini juga mereka sepatutnya membina asas kepada masa depan mereka apabila dewasa kelak.

Ini membantu mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik terutamanya daripada golongan kurang berkemampuan.

Usaha pembanterasan perkahwinan bawah umur melalui undang-undang wajib dilakukan segera dan kerajaan tidak boleh lagi menangguh perkara ini.

Isu ini juga melibatkan hak kanak-kanak yang tidak boleh dieksploitasi terutamanya oleh ibu bapa mereka akibat kemiskinan. Jika kerajaan tidak bertindak segera, lebih ramai anak-anak perempuan akan menjadi mangsa kepada isu ini.

Ini adalah masanya untuk kita membuktikan bahawa kita serius dalam perkara ini.

*Nurainie Haziqah Shafii adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).*