Oleh IDEAS

KUALA LUMPUR, Malaysia--Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru agar Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) diratifikasi dalam masa terdekat agar dapat memanfaatkan peluang pelaburan, susulan penerbitan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 
IDEAS juga menggesa kerajaan untuk memberikan laporan terkini kepada masyarakat awam berkenaan status ratifikasi, serta analisis kos faedah yang dijalankan dan baru sahaja diselesaikan.

Berdasarkan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 yang diterbitkan oleh BNM pada penghujung bulan Mac, pelaburan swasta ke dalam Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada tahun 2022, meningkat daripada 2.6 peratus pada tahun 2021. 
 
Pelaburan swasta dijangka akan mendapat manfaat daripada pengembangan berterusan permintaan global dan realisasi pelaburan baharu dan sedia ada. 
 
Potensi pelaburan kekal tinggi seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021, terutamanya dalam sektor pembuatan, walaupun dilanda pandemik dan perintah sekatan pergerakan diperkenalkan.

IDEAS mengambil sikap optimis namun tetap berhati-hati berdasarkan angka-angka tersebut yang menunjukkan pertumbuhan pelaburan, namun percaya bahawa ratifikasi CPTPP akan membantu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti ke dalam Malaysia, lantas membantu memudahkan pemulihan pasca pandemik negara. 
 
Kemungkinan kemasukan ekonomi seperti UK, Taiwan, Korea Selatan, China malah Thailand ke dalam zon perdagangan bebas mega ini akan mencipta lebih banyak peluang kepada sektor swasta Malaysia serta menjadikan kuasa-kuasa ekonomi ini lebih rapat. Capaian pasaran akan dipertingkatkan apabila lebih banyak negara anggota meratifikasi perjanjian ini. 
 
Hal ini akan memberi rangsangan kepada FDI dan aktiviti perdagangan semua rakan kongsi dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

Usaha berterusan oleh pihak kerajaan untuk menarik pelaburan baharu yang berkualiti dan untuk memudahkan pelaksanaan projek seperti Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) dan One Stop Centre (OSC) for Business Travellers dijangka akan memesatkan pelaburan ke dalam Malaysia, sebagaimana pelaksanaan projek infrastruktur penting seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), ditambah dengan pelbagai insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Walaupun langkah-langkah ini akan memberi faedah menarik masuk FDI yang amat diperlukan, Malaysia juga perlu mempertimbangkan ratifikasi CPTPP dalam masa terdekat. 
 
Hal ini akan membantu menerajui FDI jangka masa sederhana dan jangka masa panjang melalui penetapan piawaian, langkah yang akan membuka pasaran domestik Malaysia kepada pelabur asing dengan halangan yang minimum. 
 
Malah, penambahbaikan dalam tadbir urus domestik yang dibawa oleh pembaharuan melalui komitmen CPTPP akan meningkatkan tahap keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan sebuah destinasi FDI.

Kajian IDEAS mendapati bahawa meratifikasi dan melaksanakan CPTPP akan merangsang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan tambahan sebanyak 1.0 peratus serta mencipta 140,000 peluang pekerjaan baharu. Oleh itu, ratifikasi CPTPP merupakan perkara yang perlu didahulukan oleh Malaysia dalam usaha pemulihan pasca pandemik.

Sebagai tambahan, disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China baru-baru ini dan pandemik Covid-19, peralihan rantaian bekalan keluar dari China telah mencapai tahap tertentu. 
 
Malaysia harus mengambil peluang ini untuk menarik lebih banyak pelabur dalam dan luar rantau yang ingin mempelbagaikan pengeluaran selain di China melalui langkah-langkah mempelbagaikan perdagangan. 
 
CPTPP memberikan mekanisme yang diperlukan Malaysia untuk merebut peluang ini dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.