Oleh B.E.A.CC.H

KUALA LUMPUR, Malaysia--Telah banyak bantahan awal disuarakan terhadap kesan negatif menggantikan hutan bukit asal dengan ladang durian di sekitar Baling, Kedah.

Namun, bantahan ini tidak dipedulikan, kata B.E.A.CC.H, kluster alam sekitar CSO Platform for Reform yang memperjuangkan hal alam sekitar di Malaysia.

Ladang-ladang durian ini, di sekitar Gunung Inas, Kedah, dipercayai menjadi punca banjir teruk yang melanda Baling pada 4 Julai 2022. Hutan simpan asal di bukit-bukau curam telah ditebang bersih untuk menanam pokok durian di bawah alasan “penghutanan semula” atau “ladang hutan”.

“Pada tahun 2018, kami telah meninjau dan mendapati hakisan tanah yang teruk selepas hutan asal diganti dengan projek durian musang king skala luas,” kata Mohd Sobri Ramlee, penyelaras latihan di Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) cawangan Kedah, yang juga sebahagian gabungan B·E·A·CC·H· (Biodiversity, Environment, Agroecology, Climate Change and Habitat).

“Sejak itu, banjir berlumpur telah menjejaskan kehidupan orang kampung dan merosakkan tanaman getah, sawit dan buah-buahan mereka. Sumber air bersih dari Gunung Inas dicemar bukan hanya dengan selut tapi juga dengan racun serangga dan baja dari ladang durian,” jelas Mohd Sobri.

GRASS Kedah menambah bahawa pelancongan ke air terjun Lata Celak di kawasan terbabit terjejas sekali termasuk inap desa yang di usahakan oleh penduduk kampung bila air terjun yang jernih bertukar keruh. Penebangan hutan asal juga mengakibatkan hidupan liar seperti gajah menceroboh ke dalam kampung dan merosakkan tanaman.

Dalam bencana terbaru, kepala air dahsyat di Sungai Kupang (yang berasal dari Gunung Inas) telah membawa batang-batang pokok yang merempuh Kampung Iboi di Baling selepas hujan berterusan pada 4 Julai. Ini telah dirakam dalam pelbagai video yang tular.

Telah dilaporkan bahawa tiga orang sekeluarga telah dihanyutkan oleh kepala air. Mayat mereka dijumpai terperangkap di bawah timbunan batang pokok.

Turut dilaporkan bahawa 85 rumah rosak dan 1,424 orang terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.

Kerosakan ekonomi turut melanda kawasan yang lebih jauh apabila rumah pam henti tugas kerana mendapan yang tinggi menjejaskan bekalan air paip untuk kilang-kilang Kulim Hi-Tech, Sungai Petani dan Pulau Pinang.

“Bencana ini membuktikan apa yang bakal berlaku apabila penebangan hutan digabung dengan perubahan iklim kini yang menyebabkan cuaca melampau serta hujan yang lebih lebat,” kata Leela Panikkar, penyelaras B.E.A.CC.H.

Akan tetapi Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dari parti politik yang sama dengan Menteri Besar Kedah) telah mengatakan bahawa tiada aktiviti “pembalakan aktif” di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan banjir kilat di Baling.

Cuma ada “pembangunan ladang hutan” sejak 2019 dalam projek “penanaman semula” 5,000 pokok yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

Ini sekadar permainan istilah. Ya, mungkin tiada pembalakan “aktif” kini kerana hutan asal di Gunung Inas telah ditebang habis pada tahun-tahun sebelum ini. Kemudian bumi yang botak, tanpa litupan pokok, telah “ditanam semula” dengan 5,000 pokok durian baru yang kini digelar “ladang hutan”, kata B·E·A·CC·H·

Kehilangan hutan asal telah membawa banyak kesan sampingan lain yang mungkin telah mencetuskan banjir kilat kata GRASS Kedah:

- Projek durian mungkin telah dilaksanakan di cerun melebihi dari had 25 peratus

- Kolam takungan mungkin dibina tidak mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar atau tidak diselenggara dengan baik

- Tinjauan pada tahun 2018 telah mendapati bahawa zon penampan (buffer zone) di antara ladang durian dan sungai tidak dipatuhi.

- Jabatan Perhutanan Negeri Kedah tidak mengesyorkan pokok durian ditanam di dalam kawasan Hutan Simpan

- Tiada pemantauan berkala oleh pihak berkuasa}

- Ketiadaan penaman penutup bumi, seperti pokok kekacang penutup bumi, di antara barisan pokok-pokok durian untuk menngawal hakisan tanah.

“Ini semua adalah KEMUNGKINAN punca kepala air hasil dari pemantauan kami sejak 2018. Penyiasatan telus dan bebas harus segera dimulakan untuk mengenalpasti sebab sebenar insiden ini,” kata Mohd Sobri.

“Saya memang sedih kerana ada ramai kawan di Kampung Iboi. Kami telah lama menegur dan membantah projek musang king ini. Kami telah ulangi amaran ini semasa banjir yang melanda Yan, Kedah tahun lalu (Ogos 2021).”

Presiden GRASS Malaysia, M. Yusaimi Md Yusof menegaskan, “Bencana ini telah menunjukkan perlunya ada perbincangan dan persetujuan orang awam bagi apa-apa projek pembangunan sebelum diluluskan.”

Tambahnya, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mesti terbuka dan bahasa teknikal yang rumit sepatutnya disimpulkan dalam Bahasa Malaysia supaya mudah difahami orang ramai.

Projek durian ini memang telah dibantah oleh ramai orang kampung, seperti yang dirakam dalam laporan media pada tahun 2019.

Ekoran itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (dari parti PAS) mendakwa telah memberhentikan projek itu pada bulan Julai 2020.

“Walaupun kononnya sudah berhenti, orang kampung telah maklumkan pada saya bahawa kenderaan masih kerap keluar masuk kawasan itu,” dakwa Mohd Sobri.

Kumpulan alam sekitar Macaranga telah menerbitkan Google Maps tahun-tahun lepas. Kelihatan bahawa penebangan hutan di Gunung Inas bermula sejak bulan Dis 2015.

Pada masa ini (Mei 2013 - Feb 2016) Menteri Besar Kedah adalah Dato' Seri Mukhriz Mahathir (dari parti Umno ketika itu).

Pada bulan Feb 2021, satu video tular menunjukkan seorang bercakap megah tentang “ladang durian terbesar dunia” seluas 30,000 ekar. Menteri Besar Sanusi mendakwa bahawa projek itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan sebelumnya (2018 - 2020).

YB Simon Ooi Tze Min, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Kedah kerajaan Pakatan, telah menjelaskan bahawa projek durian itu sebenarnya diluluskan pada tahun 2013 semasa pentadbiran di bawah Barisan Nasional.

GRASS Kedah mengingatkan bahawa ada beberapa lagi “bom jangka” alam sekitar yang perlu ditangani segera. Yang paling genting adalah kehilangan hutan di Ulu Muda, yang bakal membawa musibah banjir.

Ini juga akan menjejaskan bekalan air kepada Kedah dan Pulau Pinang pada musim kemarau.

Satu lagi masalah adalah pembalakan di Teloi Sik dekat Sik, Kedah. Dan tidak ketinggalan, kuari di Gunung Baling and Gunung Pulai akan merosakkan dua mercu tanda pelancongan di sini (termasuk gua yang indah), selain membawa pencemaran.

“Kami aktivis telah lama menyuarakan masalah alam sekitar. Tetapi pihak berkuasa menuduh kami ini bising atau penghasut,” keluh Mohd Sobri.

“Hujan tak salah. Pokok tak salah. Selut tak salah. Yang salah adalah tangan yang pegang pen untuk memberi kelulusan.”

*B.E.A.CC.H. singkatan kepada Biodiversity•Environment•Agroecology•Climate Change•Habitats, merupakan kluster alam sekitar CSO Platform for Reform, gabungan lebih daripada 100 organisasi masyarakat sivi yang memberi tumpuan terhadap pembaharuan institusi.*