Oleh Romen Bose

KUALA LUMPUR, Malaysia--Sepanjang perbicaraan Najib berkaitan dengan SRC International dan kita menyaksikan bagaimana kes ini telah “disegerakan” selama empat tahun kebelakangan (buat pengetahuan anda, perbicaraan kes liwat Fasa 2 Anwar mengambil masa selama enam setengah tahun), saya langsung tidak mengeluarkan sebarang komen atas dasar menghormati prinsip kebebasan dan integriti sistem kehakiman di Malaysia serta menyanjung pakar perundangan terkemuka dalam mentafsirkan dan menjalankan urusan penghakiman berlandaskan undang-undang bumi bertuah ini.

Jadi, saya tetap tidak bersuara apabila Mahkamah Rayuan menggugurkan bukti baharu yang bersangkut-paut dengan suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz, yang didakwa bersubahat dengan Jho Low dalam skandal 1MDB.

Hal ini disahkan benar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan November 2021, melalui pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta oleh pihak berkuasa dari Singapura kepada Kerajaan Malaysia yang dirampas daripada syarikat hak milik suami Zeti.

Melihat pada sistem perbankan, penyiasatan, dan undang-undang yang di Singapura, saya tidak fikir rampasan dan pemulangan aset dapat dilaksanakan sekiranya pihak berkuasa tidak memiliki bukti bahawa dana sedemikian berhubung kait dengan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Hakikatnya, Najib kekal tenang dalam perbualan kami sehari selepas pendedahan skandal 1MDB oleh Wall Street Journal pada tahun 2015 berikutan jaminan yang diberikan Zeti. Seperti yang dimaklumkan Najib, Zeti meyakinkan beliau tiada sebarang isu untuk membuka akaun bank atas namanya untuk memindahkan dana sebanyak AS$643.41 juta.

Sekalipun jaminan diberikan kepada Najib pada tahun 2012, namun Zeti secara terbuka menafikan berbuat demikian pada tahun 2018.

Ulas Zeti, “Sebenarnya, pada 3 Julai 2015, saya dipanggil ke pejabat Perdana Menteri. Najib meminta saya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak berbuat apa-apa kesalahan berhubung dengan akaunnya. Saya memaklumkan saya tidak dapat mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak tahu-menahu akan transaksi yang berlaku dalam akaunnya.”

Saya percaya SPRM telah menyiasat Zeti pada tahun 2018/2019.

Malahan, SPRM telah menyerahkan laporan kepada AGC (geng yang terlibat dalam pendakwaan Najib) yang membuktikan bahawa Zeti bukan sahaja menyedari wang yang masuk ke dalam akaun Najib bahkan suami beliau didakwa menyembunyikan wang yang diperoleh secara haram milik suami Zeti sendiri dan anak-anak mereka di Singapura.

Oleh itu, saya percaya Zeti telah berbohong berkenaan beberapa dana yang dipindahkan berkaitan dengan 1MDB. Boleh jadi dana tersebut diperoleh daripada 1MDB, KWAP, ataupun SRC. Sekiranya beliau didapati menipu, maka pihak berkuasa sepatutnya mempersoalkan penglibatan dan pengetahuan BNM berhubung dengan beberapa pemindahan dana yang lain.

Persoalan yang sepatutnya diajukan oleh pihak hakim adalah, “Mengapa Zeti tidak memaklumkan Najib tentang sebarang transaksi yang ‘mencurigakan’ ini?”. Secara logiknya, jumlah sebanyak AS$643.41 juta sudah tentu dikategorikan sebagai transaksi yang mencurigakan. Apakah beliau sebenarnya menyedari kewujudan transaksi ini namun memilih untuk berdiam diri kerana suaminya menerima imbuhan yang besar daripada Jho Low? Atau, adakah semasa skandal tersebut didedahkan, Zeti sedar satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri adalah dengan menafikan sebarang pengetahuan berhubung dengan transaksi sedemikian?

Sepatutnya, wujud keraguan yang munasabah di pihak hakim bahawa Najib mungkin betul-betul tidak menyedari dana yang masuk ke dalam akaunnya (sama ada dari SRC atau sebaliknya) kerana beliau bergantung harap kepada gabenor bank pusat (serta penasihat bertauliah lain yang kini kita sedar bekerja dengan Jho Low) dalam tugasnya memberi amaran kepadanya sekiranya terdapat transaksi yang meragukan. Kini, jelas terbukti Zeti tidak bersikap jujur dalam soal tindak-tanduknya berhubung dengan dana berkaitan 1MDB yang telah diselewengkan.

Jadi saya fikir sangat aneh apabila Mahkamah Persekutuan menyokong tidakkan Mahkamah Rayuan mengetepikan bukti baharu ini. Ketua Hakim meletakkan beberapa syarat bagi membolehkan bukti tambahan dikemukakan, iaitu bukti tersebut tidak boleh dikemukakan semasa perbicaraan utama, bersifat relevan dan dipercayai, serta mampu menimbulkan keraguan yang munasabah dalam fikiran juri atau hakim perbicaraan dalam membuat keputusan sesuatu kes.

Ya saya sedar, saya bukanlah seorang peguam, namun bukankah laporan SPRM ini benar-benar membuktikan bahawa Gabenor BNM semasa semua transaksi ini berlaku (termasuk dana melibatkan SRC) telah berbohong tentang penglibatan dan pengetahuannya (mungkin ada lagi cerita lain?), dan laporan SPRM ini merupakan dokumen yang relevan dan boleh dipercayai?

Tidakkah cukup laporan yang dikeluarkan SPRM ini menimbulkan keraguan yang munasabah dalam minda mana-mana insan bahawa terdapat konspirasi yang lebih besar berhubung dengan tuduhan 1MDB dan SRC yang dikenakan terhadap Najib?

Dan bukankah para hakim sepatutnya tertanya-tanya sebab pihak pendakwaan (yang saya percaya ada terbaca laporan SPRM pada tahun 2018/2019) tidak mendedahkan laporan tersebut kepada pihak umum, malah memilih untuk menggugurkan Zeti sebagai saksi pendakwaan secara senyap-senyap tanpa memberikan sebarang penjelasan?

Saya juga tidak bersuara apabila Majlis Peguam mengadakan bantahan terhadap siasatan SPRM mengenai hakim perbicaraan Mohamad Nazlan Mohamad Ghazali susulan dakwaan kewujudan sejumlah 1 juta ringgit yang tidak dinyatakan sumber dalam akaun bank miliknya. Nazlan juga gagal mendedahkan peranan, penglibatan, atau pengetahuan beliau dalam penubuhan SRC International sekalipun beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank pada tahun 2006.

Secara ringkas semasa penghakimannya di Mahkamah Tinggi, Nazlan didakwa mengeluarkan kenyataan, “… kelulusan penubuhan SRC oleh tertuduh (Najib) menunjukkan titik permulaan sebenar penglibatan tertuduh dalam syarikat tersebut.”

Namun demikian, beberapa pemberi maklumat (whistle blower) telah menghantar sedutan minit mesyuarat dan jejak e-mel Maybank (sekiranya terbukti sahih) kepada Najib yang membuktikan Nazlan bukan sahaja berkhidmat sebagai penasihat am untuk Maybank namun beliau turut didakwa berada dalam mesyuarat semasa bank tersebut mengesyorkan penubuhan SRC sejak dari awal.

Oleh yang demikian, hakikat bahawa Nazlan bersubahat dalam hal ini diketengahkan sewaktu pembelaan Najib dalam perbicaraan SRC.

Lebih menarik, terdapat beberapa dokumen yang menunjukkan semasa siasatan dijalankan terhadap Nazlan pada awal tahun ini, SPRM telah menyoal Nazlan berkenaan penglibatannya dalam beberapa mesyuarat yang dikendalikan Maybank.

Dalam afidavitnya pada minggu lepas untuk menambah bukti baharu, Najib menyatakan beliau “difahamkan apabila disoal oleh pegawai SPRM tentang pengetahuan/penglibatannya ..., Hakim Nazlan pada mulanya menafikan mempunyai sebarang pengetahuan ..., namun apabila dihadapkan dengan jejak e-mel dan dokumen oleh pegawai SPRM barulah Nazlan mengakui dia sememangnya terlibat.”

Maka, bukan sahaja terdapat bukti kukuh akan pembohongan gabenor bank pusat mengenai penglibatannya dalam dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan ke dalam akaun Najib, malah Hakim Mahkamah Tinggi yang menyabitkan Najib terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta milik SRC International juga sebenarnya didapati berbohong kepada penyiasat berkenaan penglibatannya dalam penubuhan SRC International dan perbincangan berhubung pinjaman bernilai RM4.17 bilion kepada 1MDB.

Pada tahun 2018, Majlis Peguam telah membuat tuntutan supaya hakim perbicaraan SRC terdahulu, Mohd Sofian Abd Razak menarik diri kerana beliau merupakan adik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) Pahang dan ADUN UMNO Benta, Mohd Soffi Abdul Razak. Presiden Majlis George Varughese pernah mengulas, “Peraturan undang-undang menuntut bukan sahaja keadilan dilaksanakan, namun pelaksanaan keadilan mestilah diperlihatkan dengan jelas.”

Namun, apabila terdapat bukti yang menunjukkan hakim perbicaraan kes SRC jelas terlibat dalam penubuhan SRC dan didapati menipu para penyiasat, Majilis Peguam diam tak berkutik.

Mungkin benar tiada sesiapa yang menyedari hal ini sewaktu perbicaraan berlangsung namun sebaik saja kita sedar akan penglibatan Nazlan, apakah tindakan yang sepatutnya diambil?

Jadi Majlis Peguam sepatutnya mempersoalkan kesahihan perbicaraan tersebut (mistrial). Bak kata orang “keadilan bukah sahaja perlu dilaksanakan, malah pelaksanaan keadilan mestilah diperlihatkan dengan jelas”. Atau adakah wujud unsur berat sebelah di sini?

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas memutuskan untuk tidak memberikan lebih banyak ruang masa kepada pasukan pembelaan Najib yang baru saja dibentuk untuk meneliti bukti dan membuat persediaan kes, walaupun semua bukti baharu sudah diserahkan untuk disemak dan disahkan. Dimanakah rasionalnya?

Kerana mereka sudahpun mempunyai bahan bukti bahawa pengawal selia kewangan terulung di Malaysia berbohong akan pengetahuan, peranan, dan penglibatannya dalam dana berkaitan 1MDB yang masuk ke akaun Najib dan anda juga mempunyai bahan bukti bahawa hakim perbicaraan yang mensabitkan Najib sudah ditangkap berbohong kepada penyiasat mengenai penglibatannya dalam syarikat yang Najib dituduh melakukan penyelewengan.

Tiada satu pun butiran ini diberikan kepada Najib (walaupun saya percaya pihak pendakwaan mungkin sudah tahu tentang laporan SPRM mengenai Zeti).

Walau bagaimanapun, hal ini disedari kerana terdapat saksi tanpa nama yang mengemukakan dokumen tersebut demi mempertahankan nilai sebuah keadilan - barulah hal ini mendapat liputan. Dan setakat ini, tiada sesiapa pun yang mempersoalkan ketulenan atau kredibiliti dokumen-dokumen ini.

Namun apakan daya, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas keadilan telah menolak permohonan Najib untuk diberikan beberapa minggu supaya pasukannya dapat membuat persediaan yang mencukupi untuk dibawa ke muka pengadilan.

Ya, saya bukanlah seorang peguam, namun sebagai manusia, kita tahu erti keadilan. Dalam hal ini, apakah wujudnya keadilan?