Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, Malaysia--Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada keputusan undian Majlis Hak Asasi Manusia PBB semalam yang secara undian menolak usul untuk mendebatkan Resolusi PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia yang menyatakan wujud jenayah kemanusiaan yang dilakukan Kerajaan China terhadap etnik Uyghur.

Dalam undian tersebut Malaysia mengambil pendirian berkecuali. ABIM tanpa meremehkan keputusan yang diambil Malaysia, menekankan bahawa sudah tiba masanya Wisma Putra untuk membentangkan Kertas Putih Dasar Luar Negara untuk jangka masa panjang.

Pembentangan ini penting supaya Malaysia boleh bergiat lebih aktif dalam mencari usaha damai terhadap konflik dunia serta pelanggaran hak asasi khususnya hak beragama masyarakat dunia.

Dalam masa sama, dalam situasi dunia hari ini yang saling terkait, isu peperangan Russia Ukraine sebagai contoh yang tempiasnya terkena negara kita seperti kesan harga minyak, keselamatan makanan, serta meningkatnya sentimen polarisasi warga dunia, sudah tiba masanya untuk kita tidak hanya bersikap pasif terhadap isu ketegangan dunia yang berlaku.

Justeru, ABIM memekankan tiga perkara utama menyentuh aspek dasar luar negara

1) Penekanan untuk Malaysia menjadi negara kuasa tengah - middle power country. Peranan ini penting sebagai alternatif kepada blok antara negara dunia pertama dan kedua, dengan peranan aktif Malaysia mencari usaha damai seluruh warga dunia.

2) Malaysia kekal sebagai negara yang menghormati kedaulatan negara-negara lain, namun tidak menafikan peranan Malaysia untuk menyuarakan pendirian terhadap isu hak asasi dunia kerana isu-isu sebegini akan turut terkesan kepada Malaysia.

3) Malaysia konsisten untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Konsistensi ini membuka ruang untuk Malaysia menyokong mana-mana usul antarabangsa yang secara jelas menjurus ke arah jalan damai serta convivencia sejagat di masa mendatang.

*Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah President Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).*