SEREMBAN, Malaysia--MUDA Negeri Sembilan telah menganjurkan satu sembang santai orang muda secara hibrid bertajuk PRU15 dan Masa Depan Malaysia di Pejabat MUDA Negeri Sembilan malam tadi.

Program ini bertujuan membahaskan hubungan antara pilihanraya dengan kelangsungan rakyat dan negara terutamanya dalam fasa pemulihan pandemik serta kestabilan politik.

Menurut Pengerusi MUDA Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar, PRU15 merupakan situasi paling kritikal buat masa depan negara kerana banyak isu polemik yang berlaku.

“PRU kali ini merupakan situasi paling penting dan kritikal buat masa depan negara kerana banyak isu polemik yang berlaku seperti rasuah dan ancaman kepada kebebasan institusi kehakiman negara”, katanya.

Panel utama bagi sembang santai ini adalah YB Anthony Loke Siew Fook selaku Setiausaha Agung DAP dan mantan Menteri Pangangkutan Malaysia.

Dalam perbincangan tersebut, Loke berkata, pilihanraya kali ini berbeza dengan pilihanraya sebelumnya apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilakukan untuk mewujudkan Akta Anti Lompat Parti.

“Sekarang ini terdapat implikasi undang-undang bagi sesiapa yang melompat selepas mereka dipilih. Kita perlu tekankan perkara ini supaya orang ramai tahu pilihanraya sekarang berbeza dengan pilihanraya sebelum ini”, katanya.

Menerangkan bagaimana undi setiap rakyat ini sangat penting dalam memilih pemimpin berintegriti bagi urus tadbir negara yang baik, beliau memberi contoh bagaimana undi rakyat pada PRU14 telah berjaya membawa perubahan kepada negara.

“Kalau bukan kerana 2018, hari ini Najib masih Perdana Menteri. Seseorang yang telah terbukti melakukan rasuah oleh 9 orang hakim, 3 peringkat mahkamah yang memang ada kesalahan rasuah. Kita tidak akan ada sebarang perubahan hari ini. Ini adalah perubahan yang besar kerana kuasa undi yang anda ada.”

“Jangan berputus asa dengan undi anda, jangan berputus asa dengan hak untuk mengundi. Jika anda tidak undi, orang lain akan undi. Sebaik sahaja anda mengambil bahagian, maka anda mempunyai kepentingan dalam proses demokrasi dan berhak untuk memastikan wakil rakyat itu bertanggungjawab,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kerjasama pilihanraya antara MUDA dan Pakatan Harapan, beliau menyatakan arahan telah diberikan untuk mesyuarat rundingan kerusi diadakan pada Ahad, 23 Oktober 2022.

“Kita telah buat keputusan semalam, saya jumpa dengan Anwar dan Mat Sabu, kita telah ada kerangka (pakatan pilihanraya) dan arahan telah diberi kepada Jawatankuasa Perundingan mesti jumpa pihak MUDA Ahad ini. Mesyuarat telah ditetapkan pagi Ahad ini untuk bincang secara terperinci kerusi mana yang hendak dirundingkan.”

“Kadang-kala mungkin proses itu lambat, mungkin ada kekecewaan di situ, itu saya faham. Tapi apapun ada proses sedang berjalan dan bagi saya tidak ada apa-apa halangan kerjasama dengan pihak MUDA”.

Mengulas mengenai tawaran orang muda dalam pilihanraya, beliau menekankan dasar dan inisiatif pengangkutan awam yang utama.

“Bina infrustuktur sahaja tidak cukup. Perlu ada dasar dan inisiatif yang menyelesaikan masalah orang untuk menggunakan pengangkutan awam. Walaupun kita ada MRT tetapi kadar penggunaan tidak tinggi”.

“Apa yang kita buat semasa PH, kita memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa terhad untuk kita kurangkan kos pekerja-pekerja muda supaya mereka menggunakan pengangkutan awam.

Lebih 150,000 pengguna beli pas bulanan itu untuk pakai pengangkutan awam setiap hari.”

“Pas ini mampu menjimatkan antara RM100 ke RM200. Bayangkan gaji RM2,000, pengguna berjaya jimat 20 peratus daripada gaji mereka. Satu perjimatan yang besar”, katanya.

Bagi menambahbaik dasar sedia ada dalam meningkatkan keselesaan pengguna dan kadar penggunaan pengangkutan awam, Loke mencadangkan e-baucer untuk e-hailing.

“Kita punya dasar adalah dari Destinasi A ke mana-mana hub pengangkutan awam ataupun dari hub pengangkutan awam untuk pergi ke destinasi yang lain, kerajaan boleh memberikan insentif untuk memberi subsidi pengguna. Sebagai contoh antara RM50 ke RM100, setiap kali pengguna pakai e-hailing boleh dapat baucer RM5, kerajaan bayar untuk pengguna menggunakan pengangkutan awam.”

Rakaman penuh sembang santai tersebut boleh ditonton di laman Facebook Parti MUDA Negeri Sembilan.


*Tarmizi Anuwar ialah Pengerusi MUDA Negeri Sembilan.*