Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Sambutan ulang tahun ke-75 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada awal bulan Julai telah mencetuskan perdebatan baharu mengenai kepentingan dan skop masa depan NATO, baik dari segi liputan geografinya mahupun pendirian ideologinya. Pakatan ketenteraan tertua di dunia ini kekal sebagai yang terbesar.
Sweden dan Finland memecahkan tradisi neutraliti dan berkecuali mereka untuk menyertai NATO, dalam menyampaikan mesej yang jelas bahawa dalam soal kepentingan dan kelangsungan hidup negara, keselamatan dan national interest mengatasi segala pertimbangan lain.
Dari sidang kemuncak di Washington, Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Biden cuba menyuntik kembali sinaran kekuatan dan harapan, di mana Washington berjanji untuk menempatkan peluru berpandu jarak jauh di Jerman pada tahun 2026, di mana ia merupakan senjata AS yang paling berkuasa yang akan ditempatkan di benua Eropah sejak Perang Dingin.Ukraine turut dijanjikan sekurang-kurangnya USD43.28 billion dalam bantuan ketenteraan dalam tempoh setahun akan datang.
Selama ini, NATO dikritik kerana komitmen pembiayaan individu dan dijadikan kambing hitam mudah oleh naratif Moscow dan Beijing sebagai punca utama konflik dan peperangan, terutamanya dalam krisis Ukraine.
Biden cuba untuk menyuntik kembali semangat dan naratif kerelevanan NATO, dalam usaha untuk menangkis kegusaran NATO terhadap potensi AS untuk menarik diri daripada sokongan terhadap NATO di bawah Trump kelak sekiranya beliau memenangi pilihanraya Presiden November ini.
Kemungkinan masa depan di mana AS tidak lagi menjadi penjamin keselamatan utama Eropah mencetus kegusaran Eropah dan sekaligus memperkukuh kemenangan strategik Beijing dan Moscow.
Dilema Ancaman China
China juga telah dituduh sebagai penyokong utama usaha perang Rusia di Ukraine, dan dianggap menimbulkan cabaran sistemik kepada keselamatan Euro-Atlantik.
NATO menuduh China bukan sahaja menyemarakkan perang di Ukraine tetapi juga mencetus cabaran dan ancaman jangka panjang untuk keselamatan Eropah. Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg mengatakan bahawa Putin dianggap semakin selari dengan kuasa dan rejim autokrasi lain, terutamanya China, yang ingin melihat AS gagal, Eropah berpecah belah, dan NATO terus merudum.
Beijing dituduh NATO sebagai penyokong utama industri pertahanan Moscow, dan Beijing pula menangkis tohmahan tersebut dengan mengibaratkan NATO dan Barat sebagai sengaja mencetus retorik negatif dan ingin mengembalikan percaturan Perang Dingin baharu.
Kenyataan akhir communique sidang NATO juga menuduh China terlibat dalam cyber warfare yang berterusan termasuk aktiviti disinformation. Ia juga menyuarakan kegusaran terhadap perkembangan pantas kapasiti nuklear Beijing terutamanya jumlah nuclear warheads. Dengan Beijing meningkatkan aktiviti power projection bersama dengan Moscow di luar kawasan pengaruh tradisionalnya baru-baru ini, ini mencetuskan kegusaran NATO dan Washington. Ini dicerminkan dengan latihan bersama baru-baru ini dengan Moscow di Laut China Selatan dan penerbangan berhampiran sempadan di Alaska.
Tentera China juga telah menjalankan latihan ketenteraan bersama di Belarus, di mana jiran Poland juga berwaspada. Kedua-dua Belarus dan China adalah sekutu Rusia, manakala Poland adalah ahli NATO dan juga penyokong Kyiv.
Washington telah mengenal pasti Beijing sebagai ancaman No 1, tetapi bagi Brussels, Rusia kekal sebagai cabaran keselamatan terbesar. Walaupun dengan kemenangan Kamala dalam pilihan raya akan datang, Eropah perlu mula menyesuaikan diri dengan era tanggungjawab yang baharu untuk keselamatannya, di mana AS mungkin tidak dapat menjamin sepenuhnya keselamatan dan kapasiti cegah rintang daripada ancaman Moscow atau Beijing.
Beijing bimbang bahawa usaha Washington di bawah panji NATO di Indo-Pasifik hanya akan menggugat strateginya sendiri di Indo Pasifik. Beijing secara terbuka menuduh AS dengan menggambarkan niatnya sebagai untuk mengintegrasikan semua mekanisme pertahanan dan ketenteraan dalam skala kecil menjadi satu pakatan Asian NATO untuk mengekalkan hegemoni yang diketuai oleh Amerika Syarikat, seperti yang dinyatakan oleh Lt. Gen. Jing Jianfeng.
Indo-Pasifik sebagai Medan Pertempuran Masa Depan
Arena Indo-Pasifik menjadi medan sasaran baharu NATO. Pelaku utama Indo-Pasifik terutamanya Tokyo, Seoul dan Canberra semakin berjinak dengan NATO, dan telah menghadiri sidang kemuncak NATO sejak 2022.
Tokyo menghadapi ancaman tiga penjuru baharu daripada Moscow-Beijing-Pyongyang, manakala Seoul bimbang dengan peningkatan usaha Moscow untuk memikat Pyongyang dan usaha Moscow untuk memaksa Korea Selatan berhenti menyokong Ukraine. Bagi Australia, sandaran AUKUS semata-mata tidak menjadi sumber sokongan pelengkap keselamatan yang mencukupi, dan memerlukan sinergi dan mekanisme baharu yang melibatkan jaminan yang lebih komprehensif dengan sumber dan legasi yang lebih terjamin dan dibuktikan dengan sejarah sokongan secara berinstitusi. NATO menjadi pilihan yang semulajadi bagi senario ini.
Walaupun terdapat sentimen yang bertentangan dalam rantau ini mengenai kehadiran blok dan pakatan ketenteraan yang dikhuatiri akan mengeruhkan potensi ancaman konflik, ini dilihat sebagai jaminan tertinggi untuk mengekalkan rules-based order dan mengekang kemaraan kuasa China yang turut menjadi kegusaran serantau.
Jaminan sekarang melalui mekanisme kawalan dan pencegahan konflik yang berasaskan institusi serantau termasuk ASEAN dan platform berkaitan seperti ADMM dan TAC serta pegangan kepada konsep berkecuali dilihat tidak kukuh, lestari dan kental dalam mencegah risiko konflik yang kian meruncing.
Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand menghadiri sidangnya di Madrid pada tahun 2022 buat kali pertama. Digelar sebagai "Indo Pacific 4 (IP4)", penyertaan mereka bertumpu kepada ancaman Beijing sebagai sasaran utama.
Usaha untuk membuka pejabat perhubungan NATO di Tokyo sejak dahulu telah mencetuskan reaksi kuat dari dalam dan luar NATO, yang bimbang dengan tindak balas China.
Walaupun Nato tidak mempunyai mandat dan struktur formal di Indo-Pasifik, anggotanya mempunyai percaturan keselamatan dan pertahanan yang bersistem.
Mekanisme lain di rantau ini seperti Aukus, Quad atau pembentukan formasi the Squad baru-baru ini yang terdiri daripada AS, Jepun, Korea Selatan dan Filipina akan tetap diberikan perhatian oleh AS yang ters bergelut untuk mendapatkan sekutu lain di rantau ini selain daripada sekutu tradisional tersebut.
Sebarang pembentukan struktur seperti Nato atau kehadiran masa depan Nato di rantau ini akan memperkasakan struktur pakatan ketenteraan secara formal dan rasmi, dan ini akan memberikan jaminan yang lebih tersusun dan rasmi yang dinanti-nantikan oleh pelaku serantau yang kian terasa ancaman daripada China.
Bagi pelaku terutamanya Taiwan, Jepun dan Korea Selatan, sebarang bentuk pembentukan formasi Asian NATO akan memperkukuh jaminan keselamatan secara komprehensif yang akan memberikan kapasiti jaminan lebih lestari, berbanding dengan platform pakatan secara bilateral dan minilateral sekarang ini dengan AS dan kuasa jiran yang lain.
Sekutu tradisional AS sedia ada ini juga akan menganggapnya sebagai satu lagi pilihan sandaran kepada risiko AS menarik balik komitmen terhadap rantau ini di bawah Trump kelak.
Buat masa ini, kuasa serantau akan kekal bergantung kepada kepentingan bersama yang luas dalam mengekalkan rules based order di mana NATO boleh memberikan jaringan baharu secara prinsip tanpa menjurus kepada bantuan pertahanan kepada mana-mana pihak secara langsung dan bilateral.
Perkongsian Nuklear dalam NATO
Keupayaan nuklear dan nuclear deterrence kekal sebagai parameter utama NATO. Seperti yang dinyatakan oleh Stoltenberg, NATO adalah pakatan nuklear, dan akan diperkasa untuk menjadi kuasa pakatan nuklear yang dapat mencegah ancaman dan hasrat nuklear Moscow atau Beijing.
Konsep nuclear deterrence NATO berpaksikan kepada percaturan perkongsian nuklear, yang kebanyakannya masih bersandarkan kepada penempatan senjata nuklear AS di Eropah. AS mengekalkan kawalan penuh ke atas senjata ini yang ditempatkan di Eropah sementara sekutu-sekutu Eropah menyediakan sokongan ketenteraan konvensional melalui aset Dual Capacity Aircrafts (DCA).
Eropah mesti bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab memastikan keselamatan dan pencegahan mereka sendiri terhadap Rusia dalam masa depan di mana tentera AS akan semakin beralih ke Asia dengan tumpuan terhadap ancaman China. Walau bagaimanapun, ahli NATO di Eropah jelas tidak bersedia dari segi kapasiti ketenteraan dan kewangan.
Mantan Presiden Trump telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai komitmen dalaman NATO dan terbukti bahawa ahli NATO di Eropah tidak sepenuhnya memberikan jaminan sokongan kewangan yang mencukupi.
Pada tahun 2014, pemimpin NATO berjanji untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 2 peratus daripada KDNK mereka untuk perbelanjaan pertahanan. Pada tahun 2023, hanya 11 negara memenuhi unjuran tersebut.
Walaupun AS melihat promosi dan pertahanan demokrasi dan kebebasan serta menyemak cita-cita tinggi kuasa seperti Rusia dan China sebagai objektif utama, kebanyakan kuasa di Asia bimbang dengan kekuatan China yang semakin meningkat dan jaminan AS yang kian dikhuatiri akan merudum.
Sidang kemuncak NATO di Washington yang lepas membolehkan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Eropah serta Indo-Pasifik untuk memberikan mesej baharu terhadap China, Rusia, Korea Utara, dan Iran, seperti yang dihujahkan oleh penganalisis pro-NATO.
Biden berhujah semasa memperingati ulang tahun ke-80 D-Day bahawa kemampuan unik Amerika untuk menyatukan negara-negara adalah sumber kekuatan utamanya. Namun, tahap ini semakin dicabar oleh momentum anti-establishment yang diketuai oleh Moscow dan Beijing yang semakin menggugat pengaruh dan cengkaman tradisional Barat.
Walau bagaimanapun, kekuatan, kuasa dan dominasi ketenteraan dan hard power Barat masih belum dicabar secara total oleh Moscow atau Beijing pada masa kini dan sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad akan datang, walaupun domain ekonomi dan soft power serta global narrative mungkin akan kian sengit dan mencabar bagi pihak Barat untuk mempertahankan platform tersebut daripada gabungan alternatif ini.
*Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published