Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA UMPUR, Malaysia: Lebih sebulan sejak Trump membuat kemunculan semula yang bersejarah sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat pada 20 Januari,  episod menangkis segala kemungkinan dan halangan berterusan yang diletakkan oleh pencabar dan musuhnya untuk menghentikan percubaan beliau dalam memegang tampuk kuasa  tertinggi dunia menjadi tatapan dunia.

Sejak mengumumkan keputusannya untuk bertanding sebagai Presiden di Trump Tower pada tahun 2015, Trump telah mengharungi pelbagai rintangan dalaman sepanjang penggal pertama yang dikatakannya sebagai bukti pengaruh deep state dan kini  sekali lagi membuktikan semua pengkritik dan musuhnya salah, dalam kembalinya sebagai Presiden bagi penggal kedua.

Walaupun bertarung nyawa dengan cubaan pembunuhan dan juga menghadapi pelbagai tuntutan dan dakwaan di mahkamah yang cuba dibawa untuk menghentikan laluannya, Trump kini dilihat sebagai hero kepada tuntutan akar umbi rakyat Amerika yang inginkan perubahan sebenar dalam menentang systemic and structural hold of the deep state government yang dipelopori oleh ahli politik konvensional.

Penggal pertamanya merupakan antara yang paling berjaya dalam sejarah presiden Amerika, suatu fakta yang sentiasa diputarbelitkan dan diperlekehkan oleh pihak liberal left dan musuh tetapnya.

Legasi Penggal Pertama Trump

Trump mengetuai pembaharuan lonjakan ekonomi Amerika Syarikat yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam tempoh empat tahun pertamanya. Sebelum Covid melanda, beliau membina ekonomi paling makmur di dunia. Amerika memperoleh 7 juta pekerjaan baharu, dan pendapatan keluarga kelas pertengahan meningkat hampir $6,000 – lebih lima kali ganda berbanding pentadbiran sebelumnya.

Kadar pengangguran mencapai 3.5 peratus, yang terendah dalam setengah abad. Lebih ramai rakyat Amerika dilaporkan bekerja dan mendapat pekerjaan berbanding sebelum itu iaitu hampir 160 juta orang, dan kadar pengangguran mencecah tahap terendah dalam tempoh hampir 50 tahun.

Trump menunaikan janjinya untuk memperbaiki ekonomi Amerika dan menyuntik kembali gagasan American Dream yang telah lama hilang taringnya. Sering dikritik kerana pendekatannya yang dianggap memecah belahkan rakyat Amerika, Trump sebenarnya telah melakukan lebih banyak perubahan bagi masyarakat Afrika-Amerika dan Asia-Amerika berbanding semua mantan Presiden yang lain. Beliau membawa masa depan yang lebih cerah bagi rakyat dari semua latar belakang di Amerika.

Kadar pengangguran bagi rakyat Afrika-Amerika, Hispanik-Amerika, Asia-Amerika, Orang Asli Amerika dan veteran mencapai tahap terendah dalam sejarah. Pengangguran bagi wanita juga mencatatkan kadar terendah dalam hampir 70 tahun.

Usaha Trump dalam memperbaiki sosio-ekonomi membebaskan hampir 7 juta orang daripada skim bantuan makanan dan kadar kemiskinan bagi rakyat Afrika-Amerika serta Hispanik-Amerika mencapai tahap terendah dalam sejarah.

Ketidakseimbangan pendapatan menurun selama dua tahun berturut-turut. Semua ini dapat dicapai kerana dasar ekonomi berasaskan lembaran baharu yang diamalkan oleh Trump, termasuk potongan halangan bukan cukai dan cukai, memberi insentif kepada sektor pembuatan dan industri yang sebelum ini banyak bertapak di luar Amerika disebabkan oleh halangan cukai yang tinggi, kini  kembali ke Amerika.

Sebanyak $3.2 trilion dalam bentuk potongan cukai bersejarah telah diluluskan dan kod cukai telah diperbaharui.

Beliau membawa kembali pekerjaan, sektor pembuatan, dan industri ke AS. Lebih 1.2 juta pekerjaan dalam sektor pembuatan dan pembinaan diwujudkan hasil daripada usaha ini.

Pada suku ketiga 2020, ekonomi berkembang pada kadar 33.1 peratus, mencatat rekod sebagai pertumbuhan KDNK terpantas dalam sejarah.

Sejak sekatan koronavirus berakhir, ekonomi AS telah menambah lebih 12 juta pekerjaan, menggantikan lebih separuh daripada pekerjaan yang hilang.

Bahagian jumlah kekayaan yang dimiliki oleh golongan pendapatan terbawah meningkat, sementara bahagian yang dimiliki oleh 1 peratus teratas menurun, mencerminkan pendekatan Trump yang lebih berkesan berbanding dengan kaedah sosialisme di bawah Obama.

Beliau mengatur  perjanjian perdagangan bersejarah untuk melindungi pekerja Amerika dan menamatkan serta merundingkan semula banyak perjanjian lain yang berat sebelah untuk memperbetulkan defisit perdagangan.

Cadangan pelaksanaan Opportunity Zones oleh Senator Tim Scott pada masa itu telah mewujudkan hampir 9,000 Opportunity Zones di mana kira-kira 1 juta rakyat Amerika akan keluar daripada kemiskinan hasil daripada pelaburan baharu ini.

Trump mengetuai usaha untuk menghapuskan halangan kepada penciptaan pekerjaan, terutamanya halangan yang dibentuk daripada kekangan berasaskan woke policies dan green agenda yang diberikan penekanan mendalam oleh pihak Demokrat.  

Sektor tenaga konvensional terutamanya minyak dan gas menjadi mangsa kepada green agenda ini, di mana potensi kuasa tenaga Amerika terus merudum dan terjejas teruk dengan dasar ini.

Trump mendapatkan kembali energy independence Amerika dan membebaskan potensi minyak serta gas asli negara itu. Buat pertama kalinya dalam hampir 70 tahun, Amerika Syarikat menjadi pengeksport tenaga bersih dan merupakan pengeluar minyak serta gas asli nombor satu di dunia semasa pemerintahannya.

Perubahan Radikal Berterusan di bawah Trump 2.0

Kini dalam penggal keduanya, Trump terus menumpukan fokus kepada agenda pembaharuan dan polisi "drain the swamp" (menghapus musuh politiknya dalam birokrasi dan system politik).

Pencapaian agenda yang dibawa dan perubahan polisi dan pelan tindakan yang diambil dalam tempoh sebulan pertama ternyata melebihi pencapaian mantan presiden lain.

Ketirisan, pembaziran dan penipuan sistematik dalam pentadbiran AS yang kini dibongkar oleh Elon Musk, menjadi sandaran kepada keinginan untuk menampal ruang ketirisan tersebut, dan Trump inginkan polisi kecekapan perbelanjaan baharu yang tidak lagi tertakluk kepada budaya dan tauk lama yang telah menghambat jumlah sumber kewangan AS.

Department of Government Efficiency (DOGE) yang baharu ditubuhkan di bawah pengendalian Musk bukan sahaja mengurangkan birokrasi tetapi yang lebih penting, menjimatkan wang pembayar cukai daripada keutamaan dan perbelanjaan yang salah serta pembaziran yang berleluasa semasa pentadbiran Biden.

Di bawah DOGE dalam bulan pertama ini, 104 kontrak Diversity, Equity and Inclusivity (DEI) telah dibatalkan, dengan penjimatan lebih daripada $1 bilion.
 Dalam Jabatan Pendidikan sahaja, 89 kontrak bernilai $881 juta telah ditamatkan. Dalam satu hari, $110 juta telah dijimatkan dengan membatalkan 78 kontrak berkaitan DEI dan platform yang tidak berfungsi.

Dalam bulan pertama ini, Trump juga telah memperbetulkan semua dasar tenaga Biden yang telah melemahkan Amerika. Beliau mengisytiharkan darurat tenaga negara pada Hari Pertama, mengurangkan birokrasi dalam proses permit tenaga, dan meningkatkan sumber tenaga, yang akan membolehkan harga tenaga termasuk minyak dan gas diturunkan dan memperbaiki defisit perdagangan. Harga minyak mentah telah menurun 5% sejak Trump memegang jawatan.

Dasar Electric Vehicle Biden telah dimansuhkan, dan larangan penggerudian luar pesisir di 625 juta ekar perairan persekutuan juga telah dibatalkan.

Penguasaan tenaga Amerika akan segera dikembalikan di bawah kepimpinan Trump.

Amerika yang Berdaya Saing dan Selamat Membentuk Dunia yang Stabil

Amerika Syarikat adalah penyumbang bantuan antarabangsa terbesar di dunia, memberikan hampir $72 bilion dalam bantuan asing pada tahun 2023. Namun, dasar bermusuhan pihak luar dan defisit perdagangan yang tidak adil terus melemahkan sumber kewangan Amerika, dan pulangannya tidak mencerminkan perbelanjaan besar itu. Dalam prospek ini, Trump dengan pantas ingin mengubah rubrik ini dengan memperbetulkan kepincangan lepas.

Trump juga telah menghentikan prospek Perang Dunia III dengan menunaikan janjinya untuk menamatkan perang Ukraine yang dilihat sebagai sia-sia, dan langkah-langkah yang diambil kini dengan pemulihan hubungan dengan Moscow serta rundingan damai yang bermula, semuanya mencipta era baharu harapan untuk keamanan global.

*Collins Chong Yew Keat, pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*