Oleh Naiyl M. Latypov

KUALA LUMPUR, Malaysia: Pada tahun ini, rakyat dari bekas negara-negara Kesatuan Soviet dan banyak negara di seluruh dunia memperingati ulang tahun ke-80 Kemenangan dalam Perang Patriotik Besar (1941–1945), sebahagian daripada Perang Dunia Kedua — sebuah tragedi kemanusiaan yang tiada tandingannya dari segi pertumpahan darah dan kemusnahan.

Perang ini dicetuskan oleh rejim Nazi Jerman yang mendakwa keunggulan bangsa dan berhasrat menguasai dunia. Hasilnya: lebih 26 juta rakyat Soviet terkorban, termasuk lebih 17 juta orang awam — kanak-kanak, wanita, dan warga emas.

Pada hari ini, kita memberi penghormatan kepada keberanian dan ketabahan mereka yang mempertahankan Tanah Air, serta mengenang mereka yang telah gugur.

Selama tiga tahun pertama perang, republik-republik Soviet berjuang  hampir bersendirian menentang tentera Nazi yang disokong oleh sumber dari hampir seluruh Eropah.

Walau begitu, kita tidak pernah memperkecilkan sumbangan para sekutu dan gerakan penentangan — kita berkongsi perjuangan bersama untuk membebaskan dunia dari ideologi Nazi.

Perdana Menteri Britain yang ketika perang merupakan negara rakan Soviet, Winston Churchill — secara peribadi bukanlah seorang sahabat USSR — pernah menyatakan: “Generasi akan datang akan mengakui hutang budi mereka kepada Tentera Merah, seperti mana kami yang hidup menyaksikan pencapaian yang luar biasa ini.”

Kemenangan yang Mengubah Dunia

Ini adalah kemenangan bersejarah yang memberi kesan mendalam terhadap perjalanan politik dunia. Asas telah dibina bagi pembentukan sistem hubungan antarabangsa moden dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tonggaknya.

Kemenangan ini juga mencetuskan proses “dekolonisasi” — hasilnya puluhan negara mencapai kemerdekaan.

Sistem pelbagai hala berpusatkan PBB ini telah membantu dunia mengelakkan konflik global sepanjang 80 tahun yang lalu.

Sehingga kini, sistem ini masih relevan dan penting sebagai mekanisme antarabangsa untuk mengawal ancaman dan menyokong pembangunan damai.  
 
Ia berfungsi dalam dunia yang penuh dengan kepelbagaian politik, ekonomi, budaya dan nilai.

Pengajaran yang Tak Boleh Dilupakan

Perang Dunia Kedua telah mengajar kita bahawa ideologi yang menjunjung keunggulan bangsa, sikap sombong satu kumpulan, dan tindakan sewenang-wenangnya mesti ditolak secara tegas oleh masyarakat antarabangsa.

Kita mesti dengan tegas menentang sebarang cubaan menghidupkan semula fahaman Nazi, memuliakan penjenayah perang Nazi, menyebarkan slogan-slogan nasionalis atau supremasi mana-mana bangsa, serta niat untuk mendominasi dunia.

Begitu juga, kita tidak boleh membiarkan sejarah diseleweng demi kepentingan politik jangka pendek.

Malangnya, pada hari ini kita menyaksikan usaha menyemak semula sejarah — termasuk cubaan menyamakan pembebas dengan penjajah dan mempertikaian keputusan Tribunal Tentera Antarabangsa Nuremberg.

Di beberapa negara Eropah, fahaman Nazi dan tindakan para pengikutnya bukan sahaja dibela, malah ideologi keunggulan nasional dihidupkan semula di peringkat negara.

Sementara itu, pemimpin negara yang akan menghadiri sambutan Hari Kemenangan di Moscow turut menerima ancaman, yang menunjukkan bahawa Kesaturan Eropah dan golongan globalis takut akan keupayaan negara-negara merdeka untuk membuat pilihan bebas mereka serta mempertahankan ingatan sejarah mereka.

Tanggungjawab Bersama untuk Mengekalkan Kebenaran Sejarah

Pada 4 Mac 2025, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi Rusia bertajuk "Ulang Tahun ke-80 Tamatnya Perang Dunia Kedua".  Dokumen ini disokong bersama oleh 54 negara, termasuk Malaysia.

Negara Rusia amat menghargai sikap bertanggungjawab dan penghormatan Malaysia terhadap sejarah bersama ini.

Resolusi ini adalah sebahagian daripada inisiatif bersama banyak negara untuk mempertahankan kebenaran mengenai hasil Perang Dunia Kedua.

Dokumen ini mengingatkan bahawa tamatnya perang telah membuka jalan kepada penubuhan PBB. Ia juga mengandungi seruan kepada semua negara untuk bersatu dalam menghadapi cabaran dan ancaman terhadap keamanan serta keselamatan antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan utama.   

Pengorbanan yang Tidak Boleh Dilupakan dan Amaran kepada Dunia

Penerimaan resolusi ini menjelang ulang tahun ke-80 Kemenangan dalam Perang Dunia Kedua merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna.

Ia adalah tanda penghormatan kepada jasa nenek moyang kita yang telah membebaskan dunia dari ideologi yang memusnahkan. Ia juga satu penghormatan kepada para wira yang menentang Nazi, fasisme, dan militerisme, serta kepada jutaan mangsa awam dalam tragedi global yang tidak boleh dibiarkan berulang.

Pada masa yang sama, ia menjadi peringatan tentang bahaya semangat balas dendam, cubaan menghidupkan semula fahaman Nazi, serta usaha mencetuskan kebencian antara kaum dan agama, termasuk percubaan menyekat kemajuan negara-negara merdeka dan berdaulat.

*Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia.*