Oleh Samirul Ariff Othman

KUALA LUMPUR, Malaysia: Di sebalik kekecohan politik dan retorik kewangan yang sering mengundang panik, satu perubahan senyap tetapi penting sedang berlaku dalam cara Malaysia membincangkan isu hutang negara.

Selepas bertahun-tahun amaran keras dan kerisauan melampau—sering kali bersandarkan angka trilion ringgit dan ancaman muis—kerajaan kini mula merangka semula naratifnya. Dan ini adalah langkah yang sudah lama sepatutnya diambil.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian ramai apabila menyatakan bahawa pinjaman tahunan baharu negara sedang menurun:

-RM100 bilion pada 2022

-RM90 bilion pada 2023

-RM85 bilion pada 2024, dan

-diunjurkan RM80 bilion pada 2025

Kepada sesetengah pihak, kenyataan ini mungkin kelihatan sebagai cubaan untuk memutar belit. Lagipun, jumlah hutang keseluruhan masih meningkat.

Namun itu bukan intipatinya. Apa yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri walaupun secare tidak terus - ialah bahawa pengurusan fiscal bukan soal mengelak hutang, tetapi soal menguruskannya secara bijak dari masa ke masa, terutama dalam sebuah negara yang tiada had usia persaraan atau tarikh luput.

Sering kali, hutang kerajaan disalah tafsir melalui lensa kewangan peribadi. Rakyat biasa memahami hutang melalui pinjaman rumah, kereta dan kad kredit—jadi apabila mereka mendengar bahawa hutang negara telah melepasi RM1.25 trilion, reaksi semula jadi ialah panik.

Tetapi negara bukan isi rumah. Ia tidak mati. Ia tidak bersara. Malah, jika diurus dengan baik, sesebuah negara akan menjadi lebih produktif dan kaya dari semasa ke semasa. Sebab itulah semua ekonomi moden mempunyai hutang—bukan sebagai tanda kealpaan, tetapi sebagai alat untuk pelaburan strategik dan pertumbuhan jangka panjang.

Apa yang membimbangkan bukanlah saiz hutang Malaysia dalam nilai ringgit, tetapi bagaimana angka tersebut dipolitikkan, diambil di luar konteks, dan disalah tafsir.

Masih ingat kegemparan politik beberapa tahun lalu apabila pengkritik mendakwa negara menuju ke arah muis apabila hutang mencecah RM686 bilion? Naratif itu ternyata tidak tahan diuji masa — kerana ia tidak pernah berdasarkan realiti skal yang sebenar.

Apa yang lebih penting daripada sebarang angka mutlak ialah nisbah hutang kepada KDNK (GDP) — satu metrik yang bukan sahaja menunjukkan jumlah hutang, tetapi juga keupayaan negara untuk membayarnya semula.

Perlu lihat nisbah, bukan nilai mutlak

Landskap skal pasca pandemik menjadikan perkara ini lebih mendesak. Seperti negara lain, Malaysia terpaksa meminjam secara luar biasa ketika krisis COVID-19 untuk memastikan ekonomi terus berfungsi dan rakyat terbela.

Antara 2009 dan 2019, purata pinjaman baharu setiap tahun adalah sekitar RM44 bilion. Menjelang 2022, angka itu melonjak kepada RM100 bilion. Kerajaan melakukan apa yang perlu dilakukan.

Kini, apabila keadaan mula Kembali pulih, kerja sebenar pun bermula -  bukan untuk mengurangkan hutang secara drastic (yang boleh menggagalkan permulihan), tetapi untuk mengarahkannya secara beransur-ansur ke tahap mampan.