Oleh Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Langkah strategik dan ancaman untuk memulakan semula ujian nuklear sejak minggu lepas dalam detik percaturan nuklear oleh Moscow adalah satu perhitungan strategik oleh Presiden Amerika Syarikat (A.S.) Donald Trump, sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear oleh Presiden Russia Vladimir Putin.
Ia bertujuan untuk menegaskan semula kredibiliti A.S., memulihkan kuasa cegah rintang berkuasa tinggi, serta mengekalkan legasi peribadi Trump sebagai pemimpin yang melawan ancaman dengan ancaman yang lebih besar, dan memaksa pihak lawan mengundur diri.
Dengan mengarahkan tentera untuk menyambung semula ujian nuklear selepas moratorium selama 33 tahun, Trump menghantar mesej yang jelas dan lantang: AS tidak lagi sanggup kekal terikat secara pasif sementara Rusia dan China terus memperkukuh postur nuklear mereka tanpa sekatan.
Pendekatan konvensional Washington sebelum ini pasti akan menahan diri daripada sebarang provokasi dan tindakan mengejut, tetapi tidak bagi Trump.
Pendekatan ini mengukuhkan kapasiti cegah rintang: jika musuh meragui kesediaan untuk bertindak, keseluruhan postur nuklear anda menjadi lemah dan tidak relevan.
Langkah Trump memulihkan persepsi ketersediaan itu, serta mengekalkan kesiapsiagaan berisiko tinggi untuk bertindak tegas, menetapkan kos dan garis merah yang jelas.
Model ini telah terbukti berkesan bagi Trump pada masa lalu, terutamanya dalam mengawal Presiden Korea Utara Kim Jong-un semasa penggal pertamanya.
Ini membolehkannya menyelesaikan dilema risiko nuklear berbahaya yang ditinggalkan oleh Obama semasa penggal terakhirnya dalam persengketaan dan pengendalian hubungan dengan Jong-un.
Menangkis Taktik Moscow
Apabila Rusia menarik diri daripada Perjanjian Larangan Ujian Komprehensif (Comprehensive Test Ban Treaty) dan China memodenkan aktiviti tapak ujian nuklearnya, A.S. kehilangan pengaruh serta keberkesanan cegah rintang kerana kekal sebagai satu-satunya kuasa besar yang masih terikat dengan moratorium tersebut.
Walaupun A.S. tidak pernah meratifikasi CTBT, hakikatnya penarikan diri Rusia merupakan isyarat niat Moscow untuk memulihkan keupayaan ujian nuklear sepenuhnya dan mengekalkan sandaran pilihan cegah rintangnya.
A.S. kali terakhir menjalankan ujian nuklear berskala penuh pada tahun 1992, dan walaupun ia tidak pernah meratifikasi CTBT, A.S. telah mematuhi moratorium sukarela selama lebih 30 tahun. A.S. kekal terikat secara politik dan normatif dalam konteks CTBT.
Keputusan Trump untuk keluar dari kepompong moratorium secara sukarela ini dengan menghidupkan kembali ujian nuklear ini mengubah perhitungan secara mendalam dan kini memberi isyarat bahawa Washington mempunyai pilihan dan sanggup mengenakan kos kepada lawan.
Dengan berbuat demikian, beliau memperkukuh kedudukan Washington dalam rundingan kawalan senjata atau kestabilan strategik pada masa depan.
Strategi Serampang Dua Mata
Ujian nuklear ini adalah langkah strategik yang bijak dalam menangani dua musuh serentak. Jangka masa pengumuman ujian nuklear A.S. itu juga membawa mesej dan amaran kepada Beijing: jangan sesekali mengancam Washington dengan nuklear.
Beijing dijangka memiliki sehingga 1,000 kepala peledak nuklear menjelang akhir dekad ini. Trump bukan sahaja menumpukan pada ancaman nuklear Rusia, tetapi turut menyasarkan cita-cita nuklear China yang semakin meningkat.
Ini meluaskan mesej strategik - Trump tidak memecahkan fokusnya, sebaliknya melihat cabaran nuklear sebagai ancaman berbilang penjuru yang mampu ditangani secara serentak oleh A.S., sekali gus menyulitkan perhitungan musuh.
Perancangan untuk menyambung semula ujian nuklear selepas puluhan tahun tidak akan melemahkan momentum dan kapasiti A.S. Negara itu memiliki data, infrastruktur, dan pengalaman pemodelan ujian nuklear selama beberapa dekad yang diwarisi sejak era Perang Dingin.
Kos untuk melangkah ke ambang ini adalah secara relatif, rendah bagi A.S., sementara kesan cegah rintang yang terhasil jauh lebih besar - satu ciri utama strategi yang pintar.
Langkah Trump ini juga mencipta dilema strategik, di mana jika A.S. mengumumkan rancangan ujian dan melaksanakannya atau dilihat bersedia melakukannya, Rusia atau China akan berdepan pilihan sukar: sama ada bertindak balas dengan ujian balas (yang akan mencetuskan kecaman antarabangsa) atau memilih untuk tidak bertindak balas (yang secara tersirat mengakui keunggulan dan kelebihan perisai pertama A.S.).
Ini kekal sebagai langkah klasik dan bijak oleh Trump yang memaksa pihak lawan untuk terpaksa membuka langkah mereka, dan apapun hasilnya, Washington mendapat pulangan final positive card.
Dengan menghantar isyarat awam bahawa A.S. bersedia bertindak, Trump juga meyakinkan sekutu di seluruh dunia bahawa jaminan nuklear A.S. bukan hanya teori, tetapi disokong oleh kehendak dan niat yang jelas, dan memperkukuh postur strategik A.S.
Ini sangat penting bagi sekutu di rantau ini, khususnya Tokyo, Seoul dan Canberra, yang kian resah dengan ancaman Beijing dan juga melihat kepada kekangan cegah rintang nuklear mereka sendiri yang tidak standing dengan kuasa Beijing.
Dengan menyambung semula ujian, Trump memperbaharui kredibiliti cegahr rintang nuklear A.S., memaksa musuh bertindak mengikut terma dan kelebihan A.S., mengekalkan penglibatan sekutu, dan menangani Rusia serta China dalam satu tindakan serentak.
Ini adalah kehebatan mutlak Trump - satu langkah “Trumpian” tulen yang memperkukuh jaminan benteng keselamatan dan kestabilan sedia ada.
Selepas Setiausaha Perang Pete Hegseth mengkritik tuntutan meluas China di Laut China Selatan semasa Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN di Kuala Lumpur, beliau kemudiannya menyatakan bahawa hubungan dengan China kekal baik dan kedua-dua pihak akan menubuhkan saluran komunikasi ketenteraan.
Washington Cuba Pertahankan Kelebihan Cegah Rintang Nuklear
Bagi sesetengah pihak, ini dilihat sebagai nada lunak untuk cuba meredakan ketegangan terhadap Beijing serta menenangkan kem pro-China di Washington, dengan alasan bahawa persaingan terkawal lebih baik daripada konfrontasi terbuka.
Namun, ini tidak bermakna Washington menggadaikan kedudukannya atau menunjukkan kelemahan. Nada baharu sementara yang cuba ditampilkan oleh Hegseth ini sebenarnya sedang menetapkan pentas bagi A.S. untuk memperkukuh naratifnya sebagai kuasa kebenaran dan kompas moral dalam memanfaatkan kepercayaan dan keyakinan baharu rantau ini terhadap kebangkitan semula kuasa penstabil A.S. di Indo-Pasifik.
Dengan mengambil kedudukan moral yang tinggi berdasarkan niat universal dan kesediaan mempertahankan perintah berasaskan undang-undang, penubuhan komunikasi ketenteraan yang lebih tersusun ini bertujuan mengelakkan salah perhitungan, tanpa menjejaskan kuasa sebenar A.S.
Langkah ini bijak - menunjukkan niat baik yang memaksa Beijing bertindak mengikut undang-undang dan norma. Sebarang tindakan keras China selepas ini akan dilihat sebagai provokasi dan paksaan, sekali gus menjadikan A.S. kekal memegang kad moral yang lebih tinggi dalam apa jua senario.
Langkah untuk menyambung semula ujian nuklear telah mengejutkan Beijing dan Moscow, dan Trump kini memegang kelebihan strategik terhadap kedua-duanya - sambil memperkukuh momentum power presence di Indo-Pasifik selepas mesej jelas dengan kehadiran di Kemuncak Sidang ASEAN di Kuala Lumpur dan memeterai perjanjian strategik bahan mineral kritikal dengan Australia, Malaysia dan Jepun.
Ini mengukuhkan kedudukan strategik A.S. dengan sokongan dan penjajaran baharu di rantau ini, dan memberikan jaminan keyakinan baharu kepada rantau ini yang telah lama mengharapkan mesej jelas daripada Trump ini, untuk memperkasa jaringan sokongan pertahanan bersama dalam menghadapi ancaman Beijing.
*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published