By Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Kuasa dan pengaruh India sejak sekian lama sering tidak diberikan fokus mendalam, di mana tumpuan khususnya diberikan kepada China. 

Namun, kemunculan India kini sebagai sebuah kuasa ekonomi dan geopolitik mencorak impak mendalam kepada dunia dan rantau ini, khususnya pada saat China sedang memasuki tempoh kekangan dan kemunduran ekonomi yang berpanjangan.

India kini berada  di barisan hadapan jaringan kepentingan ekonomi dan geopolitik masa depan rantau ini, bertindak sebagai tonggak kestabilan dan kekuatan dalam daya tahan ekonomi, sokongan keselamatan, jaminan keselamatan makanan dan tenaga, akses teknologi, serta pilihan strategik kepada Indo-Pasifik termasuk Asia Tenggara dan Malaysia. 

Lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Malaysia pada 7 dan 8 Februari mencorak lembaran baharu pertalian kritikal ini, penting dari sudut strategik bagi kedua-dua negara, dan khususnya untuk Malaysia.  

Kekentalan Ekonomi dan Demografi India 

Pada tahun ini, India kekal sebagai ekonomi utama dengan pertumbuhan terpantas di dunia, menurut IMF, dengan pertumbuhan KDNK sebenar diunjurkan sekitar 6.4 peratus, pada ketika kebanyakan ekonomi maju dan bergelut untuk melepasi kadar 3 peratus.

KDNK nominal India telah melepasi USD 4 trilion. Berdasarkan unjuran jangka sederhana IMF dan Bank Dunia, India berada di landasan untuk mengatasi Jepun dan Jerman dalam dekad ini dan menjadi ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2040-an. 

Trajektori ini berasaskan pencapaian yang kukuh dan faktor dalaman yang semakin mengukuh, termasuk pasaran domestik yang besar dan terus berkembang, dividen demografi yang positif, perbelanjaan modal yang mampan, peningkatan output pembuatan, serta peralihan ketara daripada pertumbuhan berasaskan penggunaan semata-mata kepada pemodenan yang dipacu transformasi ekonomi dan produktiviti.

Sepanjang dekad lalu, dan khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Modi, India telah melaksanakan pembaharuan struktur yang sukar dicapai oleh banyak demokrasi besar: pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sistem kewangan awam digital, serta pelaburan infrastruktur berskala besar. Pembaharuan ini telah mengukuhkan asas negara melalui peningkatan keupayaan institusi, pengurangan kos transaksi, dan penambahbaikan dalam pengagihan modal.

Dividen demografi kekal sebagai kelebihan jangka panjang India, terutamanya berbanding China. Sebagai negara paling ramai penduduk di dunia dengan umur median di bawah 30 tahun, tenaga buruh India akan terus berkembang dengan suntikan rangkaian modal insan yang muda sehingga ke dekad 2040-an, menyediakan kumpulan bakat dan modal insan yang berterusan bagi mengukuhkan tenaga kerja, khususnya dalam sektor teknologi dan industri pertahanan. Ini juga mewujudkan asas penggunaan yang mampan untuk mengembangkan permintaan domestik.

China, sebaliknya, sedang mengalami penurunan demografi, dengan populasi usia bekerja yang semakin menyusut dan nisbah tanggungan yang meningkat, sekali gus menjejaskan pertumbuhan produktiviti.Kemelut masyarakat menua turut menjadi kekangan berstruktur China. 

Demografi menentukan had maksimum kuasa nasional, dan had India masih terus meningkat, manakala had China semakin mendatar.

Realiti imbangan kuasa pada tahun 2026 menunjukkan bahawa walaupun China kekal besar dan berpengaruh, ia juga sedang berdepan kelompongan struktur dalaman dan profil risiko yang semakin meningkat. Tahap hutang adalah tinggi, pasaran hartanah masih rapuh, dan kemerosotan demografi semakin pantas.

Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan China menurun daripada anggaran 4.9 peratus (2025) kepada 4.4 peratus (2026) dan 4.2 peratus (2027), dan menyifatkan trend ini sebagai sebahagian daripada kemelut struktur berterusan, yang bermaksud sumbangan marginal China kepada pertumbuhan global semakin melemah.

Dalam konteks yang sama, kebangkitan India bukan sekadar kisah ekonomi; ia juga merupakan realiti kapasiti kuasa dan impak kuasa  baharu. 

Kebangkitan India menawarkan kuasa pengimbang tanpa konfrontasi.

"Act East Policy" dan "Made in India" di bawah Modi Menguntungkan Malaysia dan Asia Tenggara

Tindakan Haluan Timur (Act East Policy) yang diperkenalkan dan dipelopori oleh Perdana Menteri Modi sejak 2014 merupakan rangka strategik yang meletakkan semula India sebagai kuasa Indo-Pasifik yang teguh, dengan kepentingan jangka panjang terhadap keselamatan dan kemakmuran Asia Tenggara. Melalui peningkatan integrasi, keterhubungan, serta komitmen terhadap daya tahan dan sokongan keselamatan masa depan rantau ini, Asia Tenggara telah meraih manfaat daripada India sebagai kuasa pengimbang yang lebih kukuh serta perlindungan ekonomi dan payung keselamatan.

Dasar ini telah meletakkan semula ASEAN dan perbincangan domain maritim yang lebih luas - dari Laut Andaman hingga ke Selat Melaka - sebagai medan di mana India memainkan peranan secara strategik. Kehadiran ini memberikan jaminan baharu kepada rantau yang berdepan risiko dan ketegangan yang semakin meningkat.
Jika Act East memperluas kehadiran kuasa strategik India ke Asia Tenggara, Made in India pula meningkatkan keutamaan ekonomi India, di mana kedua-duanya berfungsi secara bersinergi - menjadikan India bukan sahaja pasaran sandaran baharu dan rakan sektor ekonomi dan  pembuatan, tetapi juga penyumbang dan penjamin keselamatan.

Made in India yang juga menjadi rancangan Modi telah membantu membina semula asas ekonomi India, bukan lagi bergantung kepada perkhidmatan atau penggunaan semata-mata, tetapi melalui dasar perindustrian yang diperluas dan kapasiti pengeluaran yang lebih kukuh. Kesan susulan daripada ekosistem pembuatan India yang lebih mantap akan memberi manfaat kepada Asia Tenggara dengan mewujudkan hab pengeluaran alternatif dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau.
Selain itu, transformasi strategik dari segi ekonomi digital menjadi antara tunjang utama kebangkitan ekonomi India. Inisiatif dan pencapaian Digital India, yang menjadikannya antara ekonomi digital paling berskala di dunia, melengkapkan gelombang transformasi digital India.

Sistem ini mengurangkan kos transaksi, membolehkan keterangkuman kewangan, menyokong perusahaan kecil, dan menyediakan asas kepada pelaksanaan pantas platform kewangan baharu dalam AI, fintech, dan perkhidmatan kerajaan digital.

Bagi Malaysia dan ASEAN, ekosistem digital India menawarkan model baharu keterangkuman digital kos rendah, peluang dalam fintech dan keselamatan siber, serta infrastruktur berskala untuk perdagangan digital.

Dalam bidang syarikat pemula atau start-ups dan kapasiti teknologi, India kini menempatkan lebih 200,000 start-ups berdaftar merangkumi fintech, healthtech, teknologi pertahanan, AI, dan aplikasi angkasa, menjadikannya salah satu ekosistem inovasi terbesar dunia.

Pelaburan baharu dan tumpuan terhadap sektor strategik, khususnya semikonduktor, akan memberikan manfaat pelengkap kepada Malaysia. Sebagai nadi  kritikal dalam rantaian bekalan semikonduktor global, Kuala Lumpur akan meraih faedah dalam bidang packaging and testing dan  ekosistem reka bentuk cip, serta proses industri berteraskan AI.

Perkongsian ini tidak bersifat bertindih, kerana India membawa skala dan permintaan luas, manakala Malaysia menawarkan integrasi dan kedalaman dalam teknologi, sejarah dan kapasiti pembuatan.

Dalam sektor baharu dan peralihan tenaga, trajektori pertumbuhan India menjadikannya antara pasaran masa depan terbesar dunia bagi tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga, hidrogen hijau, dan pemodenan grid. Apabila peralihan ini berkembang, peluang bagi pelaburan bersama, pemindahan teknologi, dan kepelbagaian rantaian bekalan akan semakin meluas.

Bagi Malaysia, ini akan mengukuhkan dan melengkapi agenda peralihan tenaga serta transformasi ekonomi digital negara.

Pertumbuhan masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaannya untuk meningkatkan rantaian nilai, melepasi perangkap pendapatan sederhana dan orientasi eksport, menarik pelaburan berkualiti tinggi, serta mengintegrasi ke dalam rangkaian bekalan yang berdaya tahan.

India menawarkan penyelesaian strategik kepada  skala pasaran, perkongsian industri, dan aliran pelaburan yang selari dengan matlamat ini.
Keselamatan makanan kekal sebagai salah satu kekuatan asas hubungan Malaysia–India. Pada tahun 2024, India meluluskan eksport sekali sahaja sebanyak 200,000 tan metrik beras bukan basmati ke Malaysia, satu pengecualian khas walaupun terdapat sekatan eksport, sekali gus membuktikan peranannya sebagai rakan penstabil ketika rantaian bekalan global menjadi ketat.

Memperdalam Hubungan Perdagangan Strategik

Perdagangan dua hala hampir berganda sejak dekad lalu, mencecah sekitar USD 19–20 bilion setahun dalam dua tahun kebelakangan ini, menjadikan Malaysia antara rakan dagang utama India di ASEAN, dan India rakan terpenting Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia merangkumi elektronik, semikonduktor, minyak sawit, bahan kimia dan produk petroleum, manakala India membekalkan petroleum bertapis, farmaseutikal, mesin, besi dan keluli, produk makanan, serta perkhidmatan IT kepada Malaysia.

Paling penting, India secara konsisten merupakan antara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, mewujudkan pasaran hiliran yang besar dan stabil,dan menjadi nadi utama kepada para pengusaha sawit di Malaysia. Bekalan eksport farmaseutikal India dari segi ubat-ubatan juga amat kritikal kepada pengguna Malaysia, memberikan kelebihan dari segi pengawalan harga ubatan dan kemampuan dan daya tahan sistem kesihatan negara.

Dengan unjuran ekonomi India meningkat ke arah USD 7 trilion menjelang 2030 dan kelas pertengahannya atau middle class berkembang dengan ratusan juta penduduk tambahan, Malaysia akan meraih manfaat dalam sektor utama termasuk elektronik, perdagangan digital, produk tenaga dan komoditi pertanian. Ini akan menjadikan koridor perdagangan India–Malaysia sebagai salah satu saluran pertumbuhan paling kukuh dan dinamik yang menghubungkan Asia Selatan dan Asia Tenggara dalam dekad-dekad baharu.

Pemerkasaan Hubungan Insan dan Soft Power

Hubungan rakyat ke rakyat atau people to people ties melalui pelancongan, pertukaran budaya, pendidikan dan kerjasama saintifik, antara lain, membentuk pemacu selari hubungan dua hala.

Hubungan India–Malaysia berteraskan asas masyarakat yang sukar ditandingi oleh kebanyakan perkongsian lain, dibina atas kepercayaan, ketahanan, dan penghargaan bersama terhadap kekuatan soft power masing-masing. Dari Bollywood hingga pendidikan dan bahasa, kedua-duanya berkongsi ikatan yang saling berkait.

Selama beberapa dekad, universiti-universiti India telah menjadi medan latihan bagi ramai pelajar Malaysia dalam sektor utama termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan teknologi, sekali gus mewujudkan rangkaian alumni yang kukuh yang secara semulajadi menguatkan hubungan dua hala.
Kebangkitan India sebagai kuasa sains dan teknologi kini menyaksikannya antara pengeluar terbesar graduan STEM dunia. 

Bidang kekuatan utama kedua-dua negara kini dapat dimanfaatkan dengan lebih mendalam. Program kesihatan awam dan bio inovasi Malaysia boleh dihubungkan dengan kapasiti bioperubatan India; manakala penyelidikan daya tahan iklim dan bencana Malaysia boleh diintegrasikan dengan kekuatan sains angkasa dan pemerhatian bumi India, memanfaatkan kepakaran dan kelebihan khusus kedua-dua negara.

Kuasa Penstabil dengan Sokongan Pertahanan 

Dengan ketegangan dan ancaman yang semakin meruncing di rantau ini, India menyediakan jaminan keamanan dan kestabilan melalui unjuran kuasa dan jaminan keselamatan.

Kekuatan ketenteraan India telah berkembang dengan ketara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Modi, mengubah India daripada pasukan yang bersifat defensif kepada kuasa cegah rintang berbilang domain yang kredibel dan dipercayai di Indo-Pasifik.

India kini merupakan negara kelima terbesar dunia dalam perbelanjaan ketenteraan, dengan perbelanjaan pertahanan melebihi USD 80–90 bilion setahun, meningkat lebih 40% berbanding sedekad lalu.

Sebagai sebuah angkatan blue water navy dengan dua kapal pengangkut pesawat (INS Vikramaditya dan INS Vikrant buatan tempatan), armada pemusnah, dan aset yang semakin berkembang, serta keupayaan kapal selam peluru berpandu berkuasa nuklear, India menyediakan jangkauan dan kapasiti yang besar dalam cegah rintang bersama di rantau ini. Tentera Laut India menjalankan kapasiti kuasa di seluruh Lautan Hindi, dan Laut Andaman, memperlihatkan peranannya sebagai penjaga laluan laut kritikal.

Pendiriannya bersifat defensif dan Malaysia serta rantau ini akan mendapat manfaat daripada keupayaan India dalam melindungi laluan laut, menghalang tindakan agresif, dan mencegah dominasi serantau oleh mana-mana kuasa tunggal, serta mempertahankan jaminan laluan maritim antarabangsa dan mengangkat lunas undang-undang antarabangsa.

Latihan dan kerjasama antara angkatan tentera India dan Malaysia kekal sebagai barisan hadapan strategik dalam membina keyakinan dan kekuatan, termasuk latihan bersama termasuk program termasuk Harimau Shakti dalam meningkatkan sinergi, kefahaman operasi dan kesiapsiagaan bersama.

Tumpuan India yang semakin meningkat dalam memastikan laluan laut terbuka di seluruh Lautan Hindi dan melalui Selat Melaka,  sebagai sebahagian daripada strategi Necklace of Diamond, sejajar secara langsung dengan kepentingan dan keperluan keselamatan maritim Malaysia.

Kedua-dua negara berkongsi cabaran dan potensi masa depan yang serupa.

Lawatan Perdana Menteri Modi merupakan titik perubahan strategik dalam mewujudkan gelombang baharu hubungan yang saling menguntungkan melalui perkongsian pelbagai dimensi berasaskan sejarah, kepercayaan dan aspirasi masa depan bersama, membentuk teras asas bagi kemakmuran, keselamatan dan autonomi jangka panjang Malaysia serta rantau ini.

*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*