By Collins Chong Yew Keat
KUALA LUMPUR, Malaysia: Lawatan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia dari 15 hingga 17 April menjadi tumpuan dan percaturan strategik di sebalik kemelut dampak konflik Iran dan ketidaktentuan geopolitik global.
Tumpuan segera terarah kepada impak konflik Iran terhadap tenaga dan ekonomi, tetapi hakikat yang lebih besar ialah lawatan ini sepatutnya dilihat sebagai cerminan satu realiti yang semakin jelas: iaitu Malaysia dan Australia kini semakin terikat oleh keperluan strategik yang mendalam, dan bukan lagi sekadar hubungan diplomatik atau perdagangan biasa.
Gangguan di Selat Hormuz telah menjejaskan hampir 40 peratus import minyak mentah Malaysia. Dalam situasi ini, kepentingan Australia semakin menonjol apabila negara itu membekalkan sekitar 96 peratus LNG import Malaysia.
Pada masa yang sama, Malaysia pula menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia, mencerminkan satu bentuk saling kebergantungan strategik dalam mendepani kejutan baharu geopolitik, tenaga dan rantaian bekalan.
Kepentingan jangka panjang hubungan Malaysia-Australia terletak pada hakikat bahawa kedua-duanya ialah negara maritim yang bergantung kepada laluan laut yang selamat, terbuka dan terjamin, kepatuhan kepada keluhuran undang-undang maritim dan antarabangsa, dan kepada sebuah aturan serantau berasaskan peraturan yang mampu mengekang cubaan untuk menggugat kestabilan dan keamanan serantau.
Hubungan dua hala ini telah bergerak jauh melangkaui dagangan dan pertalian ekonomi semata-mata. Ia kini berada di persimpangan strategik keselamatan tenaga, keselamatan maritim, daya tahan rantaian bekalan dan kerjasama pertahanan.
Perdagangan dua hala mencecah hampir RM79 bilion pada 2025, dan kedua-duanya merupakan rakan dagang ke-12 terbesar antara satu sama lain.
Namun angka perdagangan sahaja tidak cukup untuk menjelaskan mengapa hubungan ini kini semakin kritikal. Yang lebih strategik ialah kedua-dua negara sedang berhadapan dengan persekitaran keselamatan yang jauh lebih rumit, meruncing dan lebih mudah terdedah kepada ancaman pelbagai penjuru berbanding sebelumnya.
Sebab itu kerjasama pertahanan terus menjadi antara tonggak utama dalam Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership) kedua-dua negara.
Kepentingan Jaminan Sokongan Pertahanan
Dalam konteks ini, Five Powers Defence Arrangements (FPDA) kekal relevan. Ditubuhkan pada 1971 oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom, FPDA bukan sekadar legasi sejarah, tetapi salah satu unsur paling penting dalam seni bina keselamatan serantau berasaskan peraturan.
Ia terus berfungsi sebagai platform cegah rintang, interoperabiliti dan sokongan pertahanan bersama, khususnya dalam pulangan positif kepada Malaysia. Dalam rantau Indo-Pasifik yang semakin dibentuk oleh persaingan kuasa ketenteraan, perlumbaan senjata dan tekanan grey zone coercion, FPDA menjadi semakin strategik.
Malaysia sendiri menempatkan Markas Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu,Headquarters Integrated Area Defence System (HQIADS), di TUDM Butterworth, satu elemen operasi tetap FPDA. Ini menunjukkan bahawa Malaysia terus memainkan peranan penting dalam kerjasama pertahanan serantau.
Pada masa yang sama, Operation Gateway oleh Australia yang melaksanakan rondaan pengawasan maritim di Lautan Hindi Utara dan Laut China Selatan turut menjadi pelengkap kepada usaha membina kapasiti kesedaran domain maritim atau maritime domain awareness dan kestabilan serantau di laluan laut yang amat penting kepada Malaysia sebagai negara perdagangan dan negara maritim yang bertunjangkan perdagangan dan eksport.
Lautan Hindi membawa kira-kira separuh trafik kontena dunia dan sekitar dua pertiga penghantaran minyak, manakala Selat Melaka menampung sekitar 25 peratus perdagangan global, 23.2 juta tong minyak sehari dan 9.2 bilion kaki padu LNG.
Dalam konteks kritikal ini, keupayaan bersama dalam kesedaran domain maritim menjadi aset strategik yang sangat diperlukan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan laluan perdagangan dan eksport/import dalam usaha mendapat kepastian rantaian bekalan dan jaminan kelangsungan ekonomi.
Bagi Malaysia khususnya, kesedaran domain maritim kini antara unsur keselamatan paling kritikal, kerana ia menentukan kelajuan pengesanan awal, keberkesanan tindak balas, dan jaminan kapasiti cegah rintang yang perlu dilihat sebagai efektif dan kredibel.
Atas sebab itu juga, perkongsian sokongan dan maklumat (intelligence sharing) juga menjadi alat yang makin strategik dalam mencegah ancaman bukan tradisional.
Jumlah ancaman hari ini berkembang di bawah ambang konflik terbuka dan juga campuran ancaman bukan tradisional. Ancaman sebegini memerlukan amaran lebih awal, pemahaman situasi yang lebih mendalam dan penyelarasan lebih pantas antara agensi.
Kerjasama yang lebih erat dengan Canberra dalam bidang risikan maritim, daya tahan siber, pembangunan kapasiti dan pertukaran profesional akan membantu Malaysia menangani ancaman konvensional dan bukan konvensional dengan lebih berkesan serta memperkukuh daya cegah yang lebih efektif dan berwibawa.
Dalam kerangka yang sama, kerangka AUKUS juga perlu difahami secara lebih komprehensif. Ia bukan sahaja khusus untuk keselamatan Australia, tetapi juga penting kepada keseimbangan strategik rantau ini. AUKUS, yang dilancarkan pada 2021 oleh Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, bertunjangkan sokongan kepada Australia melalui kapal selam berkuasa nuklear tetapi bersenjata konvensional, di samping kerjasama dalam pelbagai teknologi pertahanan berkeupayaan tinggi.
AUKUS juga bukan terhad kepada kapasiti kapal selam sahaja. Ia turut melibatkan kapasiti siber, kecerdasan buatan, autonomi, peperangan elektronik, keupayaan bawah laut, teknologi kuantum, inovasi, integrasi industri pertahanan dan interoperability yang akan juga memberikan jaminan impak positif berangkai kepada rantau dalam menjamin keberkesanan cegah rintang menghadapi ancaman konvensional yang lebih besar.
Bagi rantau ini, sebuah Australia yang lebih berkeupayaan dari segi teknologi bermakna sebuah Australia yang boleh menyumbang lebih besar kepada pengawasan serantau, keberkesanan cegah rintang, perkongsian beban dan daya tahan.
Dalam suasana kegusaran serantau yang semakin meningkat, khususnya di Laut China Selatan, faktor tambahan yang dibawa AUKUS akan menjadi missing piece dalam menyokong kesedaran domain maritim dan menghalang pelanggaran undang-undang maritim serta aturan berasaskan peraturan.
Dengan ketidaktentuan tenaga yang semakin meningkat dan dengan kepentingan strategik sektor minyak dan gas Malaysia, khususnya di Laut China Selatan, keperluan terhadap kerjasama cegah rintang dan keselamatan bersama kini lebih kritikal berbanding sebelumnya.
Sinergi Keselamatan Makanan dan Sumber Kritikal
Namun keselamatan tenaga hanyalah satu dimensi. Keselamatan makanan dan keselamatan sumber kini turut menjadi komponen utama dalam daya tahan strategik kedua-dua negara. Malaysia dan Australia semakin saling bergantung dalam nadir bumi (rare earths) dan sumber kritikal kerana kedua-dua negara masing-masing memegang bahagian rantaian bekalan yang berbeza tetapi sama-sama penting.
Australia mempunyai kekuatan dan leverage di peringkat huluan, termasuk kira-kira A$19 bilion pelaburan dicadangkan pada peringkat pembangunan lanjut dan komitmen kerajaan sebanyak A$1.2 bilion untuk Rizab Strategik Mineral Kritikal.
Malaysia pula memainkan peranan hiliran yang kritikal melalui kapasiti pemprosesan dan pengasingan di Loji Lynas Kuantan yang dihubungkan dengan Mt Weld di Australia Barat.
Lynas Malaysia di Kuantan ialah satu-satunya pengeluar utama bahan nadir bumi terasing terbesar di luar China.
Ini memberikan nilai strategik yang besar kepada kedua-dua negara dalam ekosistem yang saling melengkapi ketika dunia semakin agresif memburu mineral kritikal terutamanya nadir bumi.
Canberra mempunyai kelebihan jumlah mineralnya, Malaysia mempunyai kekuatan pemprosesannya. Tiada satu pihak pun dapat memperoleh nilai strategik penuh tanpa pihak yang lain.
Sebab itu, kerjasama dalam nadir bumi dan sumber kritikal kini menjadi salah satu tonggak penting kepada daya tahan industri bersama, kepelbagaian rantaian bekalan dan keselamatan strategik jangka panjang dalam persaingan geopolitik yang kian mendesak.
Lawatan Albanese juga hadir ketika kedua-dua pihak semakin memerlukan pilihan sandaran yang lebih boleh dipercayai di tengah-tengah risiko berpanjangan susulan konflik Ukraine dan Iran, serta ancaman berterusan terhadap laluan perdagangan dan jaminan rantaian bekalan.
Dalam soal keselamatan makanan, hubungan ini juga semakin mendalam. Australia ialah antara pembekal utama daging lembu halal dan daging biri-biri halal kepada Malaysia, dengan eksport 38,220 tan daging biri-biri halal dan 13,511 tan daging lembu halal ke Malaysia tahun lalu, bernilai lebih RM1 bilion. Ini menambahkan lagi dimensi praktikal dalam hubungan dua hala ini dalam sektor jaminan bekalan makanan.
Kebergantungan Strategik Mendepani Perubahan Geopolitik
Pada masa yang sama, hubungan sesama rakyat atau people to people relations terus berkembang, daripada pendidikan tinggi sehingga ke pelancongan dan budaya.
Lebih 500,000 rakyat Malaysia merupakan alumni institusi Australia, manakala Malaysia ialah sumber pelajar antarabangsa ke-13 terbesar bagi Australia pada 2025, dengan hampir 15,000 pelajar Malaysia menuntut di sana.
Semua ini menunjukkan bahawa hubungan dua hala ini mempunyai kedalaman dan kekentalan institusi dan sosial yang jauh melampaui hubungan rasmi semata-mata.
Justeru, lawatan Albanese menjadi titik penggerak kepada kedua-dua negara. Hubungan Malaysia-Australia bukan lagi pertalian yang boleh digerakkan atas dasar kesantunan diplomatik, nilai sentimental atau rutin tahunan semata-mata. Ia telah berubah menjadi hubungan yang berasaskan keperluan strategik yang nyata.
Kedua-dua negara memerlukan laluan laut yang terbuka, penghormatan terhadap undang-undang maritim, cegah rintang yang lebih kukuh, perkongsian dan sokongan pertahanan dan keselamatan yang lebih mendalam, rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, dan sebuah aturan serantau berasaskan peraturan dan norma undang-undang antarabangsa yang disokong bukan hanya oleh prinsip, tetapi juga oleh keupayaan dan prinsip kepercayaan berteraskan legasi sejarah hubungan rapat.
Ia dibina atas rekod daya tahan yang telah terbukti merentasi cabaran lampau dan perubahan zaman, dan ancaman sekarang dan masa depan memerlukan keutuhan yang berterusan dalam mendepani era perubahan geopolitik dan percaturan kuasa yang pantas dan tidak menentu.
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published