Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Ketika dunia tertumpu kepada Asia Barat dan Eropah dalam kancah pergolakan serta konflik, keupayaan dan kerelevanan Quad telah dipersoalkan.Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Quad di New Delhi pada 26 Mei menjadi titik tolak strategik baharu platform tersebut.

Terdapat hujah yang menyatakan bahawa pendekatan Presiden Donald Trump yang bersifat transaksional terhadap China - dengan hasratnya untuk menstabilkan hubungan perdagangan dengan Beijing serta kemungkinan wujudnya kelonggaran terhadap isu Taiwan - telah melemahkan kesediaan Washington untuk mengambil pendirian keselamatan Indo-Pasifik yang lebih tegas, dan sekali gus melemahkan Quad. Quad dilihat telah kehilangan taringnya, menjadi terlalu perlahan dan terlalu berhati-hati, ketika format baharu seperti AUKUS, Camp David dan “the Squad” mungkin mengambil alih fungsi keselamatan sebenar.
 
Namun, perkiraan strategik semasa menunjukkan Quad masih menjadi sandaran, dan memperoleh kredibiliti yang lebih besar sebagai mekanisme cegah rintang yang diperlukan, kerana persekitaran strategik yang menjadi faktor kepada penubuhan Quad kini terus memberikan cabaran kepada kestabilan dan keamanan serantau.

Kerelevanan Strategik dan Kapasiti Ekonomi Quad

Kenyataan bersama daripada mesyuarat tersebut menegaskan semula kerjasama dalam bidang strategik utama termasuk maritime domain awareness atau kesedaran domain maritim, mineral kritikal, keselamatan tenaga, infrastruktur, anti-keganasan dan daya tahan serantau, sambil menyatakan kebimbangan terhadap tindakan di Laut China Selatan dan Laut China Timur serta menentang percubaan unilateral untuk mengubah status quo.

Salah satu hasil paling penting ialah keputusan untuk menggerakkan kira-kira AS$20 bilion dalam pelaburan awam dan swasta bagi rantaian bekalan mineral kritikal, termasuk perlombongan dan pemprosesan, sebagai tindak balas langsung terhadap dominasi China dalam nadir bumi dan pemprosesan mineral kritikal.
Ini menunjukkan kesinambungan dalam pembinaan daya tahan yang menyeluruh dalam semua persamaan kuasa, bukan hanya terhad kepada kuasa ketenteraan semata-mata.

Infrastruktur utama, mineral, koridor tenaga, aliran data dan seni bina pengawasan kini menjadi sebahagian daripada imbangan kuasa baharu. Quad memahami bahawa usaha menjamin keselamatan Indo-Pasifik bukan hanya berkaitan aset tentera laut dan ketenteraan seperti kapal pengangkut pesawat dan peluru berpandu, tetapi juga semakin berkaitan modal insan dan kepakaran dalam mengawal logistik, siapa yang membiayai infrastruktur, siapa yang terlebih dahulu melihat pergerakan maritim, siapa yang memproses mineral yang diperlukan untuk pertahanan dan teknologi, serta siapa yang mampu memastikan laluan laut terus terbuka ketika krisis.

Dengan perlumbaan senjata dan perbelanjaan ketenteraan yang semakin meningkat, Quad dilihat sebagai benteng semula jadi yang diperlukan oleh anggotanya untuk mengekalkan kerelevanan dan keperluan strategik.

Perbelanjaan ketenteraan Asia dan Oceania meningkat sebanyak 8.1 percent kepada AS$681 bilion, manakala perbelanjaan ketenteraan China meningkat sebanyak 7.4 percent kepada anggaran AS$336 bilion.

Sebagai tindak balas, perbelanjaan India meningkat sebanyak 8.9 percent kepada AS$92.1 bilion, manakala perbelanjaan Jepun mencecah AS$62.2 bilion, meningkat 9.7 percent.

Sekiranya hubungan Amerika Syarikat-China menjadi lebih transaksional, rakan-rakan serantau akan mahukan satu lindung nilai institusi terhadap kemungkinan berlakunya tawar-menawar dua hala secara mengejut atau perubahan dasar, dan Quad menjadi penting secara strategik.

India, Jepun dan Australia tidak mahu keselamatan Indo-Pasifik terus terdedah kepada kemungkinan pengabaian oleh AS, dan Quad memberikan mereka satu platform untuk mengekalkan kesinambungan ketika politik domestik Amerika terus tidak menentu.

Platorm Quad yang fleksibel ialah kekuatannya, kerana ia tidak distrukturkan secara berstruktur seperti NATO. Ia tidak memaksa anggota ke dalam pakatan rasmi, tetapi mewujudkan penumpuan strategik apabila kepentingan menjadi selari, khususnya dalam bidang keselamatan maritim, kebebasan pelayaran, daya tahan rantaian bekalan, mineral kritikal dan teknologi yang dipercayai.

India mempunyai alasan strategiknya sendiri untuk mengekalkan momentum Quad, termasuk pertikaian sempadan China-India, keperluan untuk dominasi di Lautan Hindi, mengekang peluasan maritim China, serta cabaran rantaian bekalan.

Quad juga memberikan Jepun dan Australia kedalaman percaturan strategik serta sandaran yang lebih luas, dengan kesedaran bahawa mereka tidak mampu menjamin keselamatan Indo-Pasifik yang lebih luas secara bersendirian.

Kelemahan Kerangka Lain

Quad dilihat mampu menyediakan keupayaan cegah rintang dan daya tahan yang lebih besar serta lebih menyeluruh dalam kerangka kuasa yang lebih luas berbanding mekanisme sedia ada lain, termasuk AUKUS, Pakatan Camp David dan Squad secara bersendirian.

AUKUS tidak merangkumi India atau Jepun, dan ia juga tidak menyediakan platform politik Indo-Pasifik yang lebih luas.

Kerangka Camp David antara Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan adalah penting, tetapi ia sebahagian besarnya tertumpu kepada Asia Timur Laut, dipacu oleh faktor Korea Utara, China dan ancaman peluru berpandu serantau, sambil pada asasnya meninggalkan Lautan Hindi, Asia Selatan dan Pasifik yang lebih luas.

The Squad - yang melibatkan Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Filipina, amat relevan dan strategik bagi Laut China Selatan, khususnya dalam konteks tekanan China terhadap Manila.

Namun, platform ini kekal lebih sempit dari segi geografi dan kurang matang dari segi politik berbanding Quad.

Quad kekal sebagai satu-satunya platform yang menghubungkan teater Pasifik dan Lautan Hindi, satu-satunya kumpulan yang menggabungkan ekonomi terbesar dunia, negara paling ramai penduduk di dunia, demokrasi maritim paling maju di Asia, dan pangkalan strategik selatan Indo-Pasifik Australia.

Kekuatan ekonomi kumpulan ini kekal sebagai salah satu kelebihannya. Secara bersama, negara-negara Quad mewakili bahagian besar KDNK global, kapasiti teknologi maju, jangkauan tentera laut, legitimasi demokratik dan geografi maritim. 

Gabungan penduduk mereka juga melebihi 1.8 bilion, memberikan Quad skala yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kapasiti minilateral Indo-Pasifik yang lain.

Masa depan Quad juga melangkaui China, walaupun China dilihat sebagai pemacu utama, tetapi bukan satu-satunya faktor. Indo-Pasifik berdepan rangkaian risiko struktur yang lebih luas, dengan peningkatan ancaman konvensional dan bukan konvensional: cabaran laluan sempit maritim, serangan terhadap perkapalan komersial, grey zone coercion, penangkapan ikan haram, risiko kabel dasar laut, ketidaktentuan keselamatan tenaga, cabaran siber, jurang tindak balas bencana, serta jenayah rentas sempadan dan cabaran kesihatan.

Faktor pasca-Ukraine juga dilihat sebagai faktor yang amat menentukan percaturan baharu strategik. Sekiranya Amerika Syarikat akhirnya merombak semula hubungannya dengan Rusia selepas perang dengan kemungkinan pertalian baharu yang lebih erat dan bukan bersifat konfrontasi, pusat graviti strategik akan beralih dengan lebih mendalam dan bersasar ke arah Indo-Pasifik.

Sebarang percaturan baharu hubungan Amerika Syarikat-Rusia pada masa hadapan, walaupun terhad atau bersifat transaksional, akan membolehkan Washington mengalihkan lebih banyak kapasiti, sumber dan perancangan ketenteraan ke Asia da Indo Pasifik. Ini akan melonjakkan kerelevanan Quad sebagai mekanisme yang membolehkan Amerika Syarikat menyelaraskan langkah dengan India, Jepun dan Australia tanpa membentuk NATO versi Asia secara rasmi.

Namun, Quad memang mempunyai keterbatasan dan kewaspadaan tersendiri; ia bukan pakatan ketenteraan. India dilihat kekal berhati-hati dalam keahlian dalam Quad, dan Australia perlu menguruskan pendedahan ekonominya kepada China, manakala Jepun masih berdepan kekangan domestik dan perlembagaan.

Namun, halangan ini telahpun dijangka, dan Quad terus bertahan kerana ia tidak terlalu diinstitusikan, membolehkan setiap anggota bergerak mengikut rentak masing-masing sambil tetap membina penjajaran dan fleksibiliti secara kumulatif.

Ujian sebenar kerelevanan ialah sama ada ia mampu membentuk tingkah laku, membina kapasiti, menghalang paksaan dan tekanan ke atas undang-undang antarabangsa dan menawarkan sandaran alternatif. Dalam semua aspek ini, Quad adalah lebih signifikan, berdasarkan geografi, keupayaan, keperluan dan ketiadaan alternatif yang lebih baik. Skop AUKUS dilihat terlalu sempit, manakala Camp David terlalu bersifat serantau, dan Squad terlalu terhad. 

Pakatan dua hala pula terlalu terpecah, sementara Quad dilihat mempunyai skala, jangkauan dan fleksibiliti untuk menghubungkan teater Lautan Hindi dan Pasifik ke dalam satu kerangka strategik, bagi memastikan rantau ini kekal terbuka, seimbang dan selamat.

*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*