Oleh Steven Sim

GEORGETOWN, Penang--Kerajaan telah menyatakan bahawa penjual vaksin swasta dibenarkan untuk menjual vaksin kepada rakyat Malaysia menjelang bulan Ogos 2021. Kini tinggal kurang dari lima hari sebelum 1 Ogos.

Saya juga telah menggesa kerajaan untuk sekurang-kurangnya memberikan tarikh temujanji vaksin yang munasabah kepada SEMUA rakyat Malaysia yang sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan belum menerima vaksin.

Perkara ini saya sudah bangkitkan dalam media dan di Parlimen. Namun, kerajaan masih belum melaksanakannya.

Justeru, ramai lagi rakyat yang belum mendapat tarikh temujanji vaksin pertama sedangkan penjual swasta sudah bersedia untuk membuat untung menjual vaksin.

Hanya ada satu sebab sahaja mengapa rakyat masih tidak diberikan temujanji vaksin: bekalan vaksin sebenarnya masih tidak mencukupi.

Jika begitu, kerajaan patut membeli semua 14 juta dos vaksin yang bakal dijual kepada pasaran swasta oleh Pharmaniaga dan berikan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang sudah lama menunggu.

Setakat 28 Julai 2021, seramai 20.3 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk vaksin. Namun, hanya 12.5 juta rakyat telah sekurang-kurangnya menerima 1 dos vaksin. Jadi terdapat 7.8 juta rakyat yang masih menunggu vaksin mereka walaupun mereka sudah mendaftar.

Ada yang telah mendaftar sejak Februari lagi, malah ada yang sepatutnya diberi vaksin dalam Fasa 2 PICK masih belum mendapat apa-apa tarikh temujanji vaksin.

14 juta dos vaksin yang bakal dijual kepada pasaran swasta ini sekurang-kurangnya boleh memberikan dos pertama untuk semua 7.8 juta rakyat.

Satu hari tanpa vaksin bermaksud nyawa 7.8 juta rakyat Malaysia yang belum divaksinkan itu berada dalam risiko bahaya yang amat besar.