KUALA LUMPUR, Malaysia--Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) meneliti kenyataan media dikeluarkan  Pejabat  Perdana  Menteri  sebagai  respons  kepada  kenyataan media Istana Negara pada 29 Julai 2021.

Kami memandang serius Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sepertimana menerusi kenyataan media dikeluarkan   Datuk   Pengelola   Bijaya   Diraja   Istana   Negara   yang   jelas menzahirkan dukacita KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah atas kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan semasa Sidang Khas Dewan Rakyat melalui YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai 2021 yang jelas telah mengelirukan Ahli-ahli Parlimen.

Penjelasan  YB  Menteri  kepada  Dewan  Rakyat  bahawa  kerajaan  telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimahsyurkan oleh KDYMM Tuanku  sepanjang   tempoh  darurat,  adalah  bercanggah  dengan   Titah KDYMM Tuanku dan pembatalan tersebut belum lagi mendapat perkenan KDYMM Tuanku sebagaimana termaktub dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150 (3), yang memperuntukkan kuasa pembatalan tersebut kepada KDYMM Tuanku.

Kami  berpendirian bahawa  kenyataan  media  Pejabat Perdana  Menteri adalah sekadar cubaan memanipulasi penafsiran Perlembagaan Persekutuan secara harfiah dan berselindung di sebalik alasan teknikal bagi menidakkan  tuntutan  jelas  daripada  Titah  KDYMM  Tuanku  agar  semua Ordinan dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk diungkaikan atau annulled.

Malah   kenyataan   media   Pejabat   Perdana   Menteri   tersebut   jelas menyerlahkan  realiti  jelik,  keangkuhan  dan  kerakusan  kuasa  kerajaan  PN memperalatkan Pengisytiharan Darurat demi  survival  politik  sehingga sanggup mempertahankan tindakan derhaka mereka terhadap Institusi Diraja dengan membelakangi fungsi YDPA, sekaligus merobek prinsip-prinsip Rukunegara.

Kami membantah keras tindakan mengundang kemurkaan Tuanku yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan khususnya Speaker Dewan Rakyat bermula daripada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat, dengan cara berdolak- dalik menghalang daripada berlakunya proses Usul, Perbahasan dan Pengundian terhadap Pengisytiharan Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang dititahkan KDYMM Tuanku. Keseluruhan tindakan ini adalah satu pencabulan ke atas Demokrasi Berparlimen dan pelanggaran Prinsip-prinsip Rukunegara.

Walau apa pun alasan yang dikemukakan oleh Perdana  Menteri  dan kerajaan  PN  dalam  polemik  pembatalan  Pengisytiharan  Darurat  tanpa perkenan Yang Dipertuan Agong ini, hakikatnya suatu tindakan khianat dan derhaka terhadap Institusi Diraja telahpun dengan sempurnanya berlaku. Ia jelas suatu yang mengaibkan sehingga terzahir daripada kenyataan Istana Negara dukacita baginda yang amat. Keseluruhan institusi demokrasi negara telah turut terpalit dalam titik hitam pengkhianatan  dan  pencabulan demokrasi dan keluhuran perlembagaan ini.

Mengambil isyarat Titah KDYMM Tuanku termasuk segala isi yang terkandung di dalam warqah baginda kepada Perdana Menteri dan Kabinet bertarikh 29 Julai 2021, serta keperluan kritikal menghindari negara daripada terheret  ke  dalam  kebuntuan  Perlembagaan  atau  constitutional  impasse angkara permainan politik jelik Perikatan Nasional, kami  menggesa agar:

i. Perdana  Menteri  dan  seluruh  anggota  Kabinet  PN  meletakkan jawatan serta-merta  sebagai  tanggungjawab  kolektif  terhadap  tindakan  Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebagaimana peruntukan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, atas tindakan penghinaan kepada Keluhuran Perlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, selain kegagalan mematuhi Titah YDPA darihal pembatalan Pengisytiharan Darurat serta Ordinan-Ordinan berkaitan;

ii. Kegagalan Perdana Menteri dan Kabinet untuk segera berbuat demikian, wajar disusuli dengan Usul Hilang Kepercayaan terhadap  Perdana Menteri, sepertimana diusulkan YB Ketua  Pembangkang pada 29 Julai 2021,   wajib dibentangkan dan diundi dalam Dewan Rakyat yang akan menyambung sidang pada Isnin, 2 Ogos 2021 agar Perdana Menteri dimakzulkan daripada jawatan menurut Perlembagaan Persekutuan;

iii. Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera berbincang dengan semua Ahli Parlimen Pembangkang bersama Ahli-ahli Parlimen yang waras untuk sama-sama bertindak menghentikan pentadbiran gagalis dan khianat ini. Sebuah Konsensus Nasional Selamatkan Malaysia perlu segera dibincang dan dimeterai, bermula dengan mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU14 yang lepas kepada Pakatan Harapan dan seterusnya kepimpinan   Pakatan   Harapan   disaran   berjiwa   besar   dengan   usaha membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua pihak dan
 
kepimpinan terbaik. Sekaligus membentuk satu pasukan pentadbiran yang amat kritikal dan diperlukan oleh Malaysia sekarang.

iv. Peguam  Negara  samada  meletakkan  jawatan  segera  atau  dilucutkan jawatan serta-merta kerana selain gagal memberi nasihat yang betul kepada Kerajaan,  Peguam  Negara  juga  telah  mengingkari  Titah  YDPA,  sekaligus memberi petunjuk  bahawa telah berlaku  pengkhianatan kepada amanah jawatannya dalam menjunjung Keluhuran Perlembagaan;

v. Speaker  Dewan  Rakyat  juga  digesa  meletakkan  jawatan  serta-merta kerana telah bersekongkol membenarkan tindakan Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat serta menggagalkan proses Demokrasi Berparlimen daripada berjalan sewajarnya;

vi. PDRM wajar memulakan siasatan segera  dan terperinci "without fear or favour" ke atas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan semua individu terlibat dalam  tindakan  penderhakaan  yang  jelas  merupakan  satu  percubaan memudaratkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia dan merupakan satu kesalahan  jenayah  mengikut  Seksyen  124B  Kanun  Keseksaan,  dan  juga jenayah   yang   boleh   diambil   tindakan  di   bawah   seksyen   121B   Kanun Keseksaan, dan kesalahan yang dilakukan khususnya oleh mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

Tindakan terbaharu PN yang membelakangi Perlembagaan  ini sememangnya  mengabsahkan  pendirian  kami   bahawa   pengisytiharan darurat sejak awal tidak lain hanyalah bertujuan mengekalkan survival politik PN  dan  Perdana  Menteri  yang  telah  kehilangan  majoriti,  kredibiliti  dan legitimasi; suatu pengisytiharan yang tidak berlandaskan sains  dan  data, malah hakikatnya, pengisytiharan darurat ini bukan sahaja tidak memberikan sebarang kelebihan atau manfaat  dalam  respons  negara  menangani pandemik Covid-19, bahkan sebaliknya telah menjadi  asbab krisis semakin parah  akibat pemusatan kuasa-kuasa  mutlak  kepada  kerajaan gagal  lagi lemah dan tidak mendapat mandat rakyat.

Kami juga menyokong penuh kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggesa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh anggota kabinetnya  agar  meletak  jawatan  serta  merta,  bagi  mencegah  daripada Institusi  Diraja  dan  Keluhuran  Perlembagaan  terus  dikhianati.  Amat  perlu diberikan ruang Demokrasi Berparlimen kembali mengambil tempat secara tertib, teratur dan tuntas, manakala mandat rakyat harus dimartabat dan dihormati.