Oleh Collins Chong Yew Keat

KUALA LUMPUR, Malaysia: Percaturan terbaharu Presiden Donald Trump di Asia Timur - dengan mengurangkan penyertaan Amerika Syarikat dalam latihan ketenteraan bersama dengan Seoul sebagai isyarat strategik kepada Pyongyang, merupakan langkah dua serampang yang strategik. 

Pertama, Trump ingin  menangani rungutan lama Pyongyang, sekali gus menghidupkan semula ruang untuk  proses diplomatik yang masih belum selesai. Pada masa yang sama, beliau menghantar mesej tegas kepada Seoul bahawa tanggapan sokongan dan kapasiti strategik Amerika sebagai sesuatu yang tidak terbatas kini bukan lagi realistik.

Walaupun Washington kini turut berdepan konflik serentak di Asia Barat dan Ukraine, Trump melihat keadaan ini sebagai satu lagi peluang besar untuk mengejar kejayaan diplomatik di tiga medan secara serentak - melalui rundingan yang diperbaharui dengan Vladimir Putin mengenai Ukraine dan hala tuju pertalian Washington-Moscow, konflik yang berterusan dengan Tehran, serta pembentukan nada strategik baharu di Asia Timur.

Penglibatan Trump dengan Kim dalam penggal pertamanya bermula dengan momentum yang menggalakkan tetapi akhirnya gagal menghasilkan kejayaan muktamad. Trump pastinya tidak mahu inisiatif diplomatik paling berani yang pernah diusahakannya itu sekali lagi dibiarkan tergantung tanpa penyelesaian.

Pengurangan skala latihan ketenteraan merupakan satu isyarat strategik yang penting. Trump sendiri pernah menggantung latihan ketenteraan berskala besar selepas Sidang Kemuncak Singapura pada 2018. Namun langkah kali ini membawa tekanan yang besar terhadap Pyongyang, dan Trump memahami perkara itu dengan tepat. Beliau mahu bercakap dalam bahasa yang difahami Kim.

Mesej Trump mudah: Saya sudah bergerak. Sekarang giliran anda.

Ini merupakan satu langkah yang bijak kerana tekanan kini beralih kepada Pyongyang untuk memberikan tindak balas setimpal dan menerima kompromi lanjut sekiranya ia benar-benar mahu mencapai satu perjanjian baharu.

Dengan secara sukarela mengurangkan satu aktiviti yang selama ini dijadikan Pyongyang sebagai bukti “permusuhan Amerika”, Trump telah menyingkirkan salah satu hujah atau pretext berterusan Kim untuk mengelak daripada kembali ke meja rundingan. Jika Kim terus meningkatkan ketegangan selepas Washington mengurangkan alasan serta tekanan ketenteraan, pilihan strategik Pyongyang akan menjadi semakin terhad.

Namun, walaupun terdapat tenaga baharu untuk menghidupkan kembali rundingan, Korea Utara hari ini sangat berbeza berbanding ketika rundingan antara kedua-dua pemimpin itu terhenti sebelum ini.

Pyongyang kini menikmati autonomi yang lebih besar dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sekutu tradisionalnya, Beijing. Ia telah menemui alternatif baharu dalam Moscow dan meningkatkan nilai strategiknya melalui sokongan yang diberikan kepada Rusia dalam perang Ukraine. Kim kini mempunyai lebih banyak pilihan sandaran dan leverage.

Pyongyang juga sedang mempercepatkan pembangunan keupayaan ketenteraannya. SIPRI menganggarkan Korea Utara mungkin telah menghasilkan kira-kira 60 kepala peledak nuklear, di samping terus membangunkan sistem penghantaran peledak nuklear yang lebih canggih. Pengalaman baharu di medan tempur turut diperoleh melalui penghantaran sekitar 14,000 hingga 15,000 anggota tentera ke wilayah Kursk di Rusia, selain membekalkan Moscow dengan artileri dan peluru berpandu balistik.

Percaturan ini hanya mempunyai nilai sekiranya konsesi Amerika kekal boleh ditarik balik, bersyarat dan bergantung kepada tindak balas Pyongyang yang setimpal.

Mesej Kedua Ditujukan kepada Seoul

Kenyataan Trump muncul sebagai respons terhadap penolakan Seoul terhadap permintaannya agar Korea Selatan membantu Washington dalam isu Iran.

Pendekatan ini konsisten dengan cara Trump melihat dinamika konsep pakatan ketenteraan sejak penggal pertamanya. Hujah asasnya ialah mana-mana sekutu yang menerima perlindungan dan sokongan Amerika tidak boleh menolak apabila Washington meminta bantuan sebagai balasan.

Strategi Pertahanan Nasional AS 2026 memperkukuhkan lagi naratif ini melalui empat teras utama: mempertahankan  Amerika, menghalang China di Indo-Pasifik, meningkatkan perkongsian beban oleh sekutu, dan membina semula asas industri pertahanan Amerika.

Ini bukan soal Amerika meninggalkan Korea Selatan, tetapi Amerika mengubah pembahagian tugas dan kapasiti dalam mempertahankan Semenanjung Korea.
Namun terdapat satu penjelasan penting. Korea Selatan bukanlah “penumpang percuma” dalam soal pertahanan dalam erti kata sebenar.

Apa yang Washington mahukan ialah supaya sekutu memikul bahagian pertama dan terbesar dalam mempertahankan keselamatan mereka sendiri, sambil pada masa yang sama menyumbang kepada ekosistem strategik yang lebih luas yang turut memberi manfaat kepada mereka.

Ini bermakna komitmen pertahanan yang lebih besar dan peningkatan keupayaan dalam bidang seperti peluru berpandu, siber, kuasa maritim, pengeluaran industri pertahanan dan integrasi risikan. Ia juga bermakna kesediaan untuk memberikan sokongan timbal balik kepada operasi keselamatan yang diterajui Amerika di pelbagai medan.

Inilah bentuk quid pro quo yang dijangkakan. Namun ramai sekutu terus berlengah, dan respons Trump terhadap keadaan ini bersifat klasik tetapi pada masa yang sama strategik.

Mesejnya jelas: Washington mahukan rakan kongsi, bukan naungan. Inilah logik strategik yang mendasari langkah Trump terhadap Korea.

Kerajaan Presiden Lee Jae Myung telah meningkatkan perbelanjaan pertahanan tahun ini sebanyak 8.2 peratus kepada AS$47 bilion. Namun keengganan untuk meningkatkan komitmen dalam menyahut seruan Washington bagi sokongan di Asia Barat kekal sebagai salah satu faktor ketegangan.

Bukan Pengunduran dari Asia

Kebimbangan semakin meningkat bahawa Washington sedang berundur dari Asia, terutamanya dengan perhatian baharu diberikan kepada Asia Barat dan perlindungan Hemisfera Barat. Namun simbolisme langkah ini jauh berbeza daripada andaian tersebut.

Washington cuba menunjukkan bahawa ia bukan meninggalkan Asia. Sebaliknya, ia sedang memperkukuhkan strategi “deterrence by denial” atau cegah rintang melalui penafian di sepanjang Rantaian Pulau Pertama atau First Island Chain, bermula dari Jepun, melalui Taiwan dan Filipina, sehingga ke Asia Tenggara maritim.

Inilah kerangka utama Strategi Pertahanan Nasional yang menentukan bagaimana Pentagon harus mengatur kedudukan dan gerakan ketenteraannya.

Prinsip asasnya ialah pembentukan satu seni bina penafian dan benteng yang kukuh dan bersepadu di sepanjang Rantaian Pulau Pertama, disokong oleh sumbangan sekutu yang lebih besar serta keupayaan serangan yang berkesan dan berdaya tahan bagi menghalang China daripada mencapai dominasi ketenteraan di rantau ini.

Fasa semasa lebih tepat dilihat sebagai pengagihan semula sementara kekuatan ketenteraan bagi memenuhi keperluan di Asia Barat. 

Amerika masih mengekalkan seni bina keselamatan jangka panjangnya melalui pangkalan ketenteraan, perjanjian akses, rangkaian pemerintahan dan kawalan, infrastruktur risikan, logistik, keupayaan sekutu, stok peluru serta keupayaan untuk mengerahkan semula pasukan dengan pantas ke medan Indo-Pasifik.

Amerika Sedang Membina Semula Kekuatan Ketenteraan untuk Persaingan Lebih Besar

Konflik Iran telah mendedahkan kekurangan sementara dan keterbatasan sumber dalam beberapa aset kritikal, khususnya teknologi peluru berpandu dan sistem pertahanan udara.
Trump dan Pete Hegseth telah bertindak balas dengan mempercepatkan pengeluaran inventori dan peluru, sementara juga menuding jari kepada pentadbiran Biden kerana didakwa gagal membina stok aset strategik yang mencukupi.

Pentadbiran Trump kini bergerak pantas untuk menangani jurang kekurangan tersebut. Pentagon telah melaksanakan perjanjian bernilai AS$3 bilion dengan Lockheed Martin dan Northrop Grumman untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran komponen Patriot sebanyak tiga kali ganda serta menggandakan kapasiti THAAD sehingga empat kali ganda.

Pengeluaran tahunan peluru berpandu Tomahawk juga akan ditingkatkan daripada kira-kira 60 unit kepada sasaran sekitar 1,000, di samping peningkatan pengeluaran pemintas peluru berpandu balistik SM-3.

Dalam perhitungan ini, Trump mahu sekutu meningkatkan peranan mereka dan berhenti terlalu bergantung kepada Amerika dalam memikul beban pertahanan utama.
Washington tidak boleh selama-lamanya menjadi payung keselamatan utama secara serentak di Eropah, Timur Tengah, Asia Timur dan medan lain, sambil pada masa yang sama membina semula kapasiti serta stok yang diperlukan untuk persaingan ketenteraan setara dengan China.

Inilah yang mendorong penekanan semula supaya sekutu meningkatkan keupayaan mereka sendiri, termasuk kapasiti pengeluaran pertahanan bagi menjamin keselamatan mereka terlebih dahulu, daripada terus mengambil sebahagian besar daripada sumber keselamatan Amerika.
Washington mahu mereka menjadi pelengkap dan pengganda kepada kuasa Amerika.

Penekanan baharu Trump terhadap Hemisfera Barat dan Timur Tengah dalam penggal keduanya telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakan Indo-Pasifik bahawa mereka akan dipinggirkan. Namun kebimbangan ini disalah tafsir.

Permainan strategik sebenar sekarang ialah mencegah kemunculan keunggulan lawan sejak awal melalui strategi cegah rintang dan forward denial, bukannya menunggu sesuatu kuasa menjadi dominan sebelum cuba menanganinya.

Untuk tujuan ini, Washington memerlukan keefisienan pasukan hadapan yang mencukupi, keupayaan sekutu yang mantap serta kapasiti berlapis termasuk pangkalan yang berdaya tahan, kapal selam, peluru berpandu jarak jauh, dron, sensor dan logistik bagi menghasilkan cegah rintang yang berkesan serta menjadikan kos serangan terlalu tinggi bagi pihak lawan.

Giliran Kim and Seoul untuk Bertindak Balas

Kim kini perlu memberikan tindak balas setimpal kerana pengurangan latihan ketenteraan tidak boleh menjadi langkak kekal Amerika sekiranya Korea Utara terus meningkatkan program nuklear, menjalankan ujian peluru berpandu dan memperluaskan kerjasama ketenteraan dengan Rusia.

Bagi Seoul, mesejnya juga jelas. Washington akan tetap bersedia mempertahankan Korea Selatan, tetapi hubungan itu perlu bergerak atas asas yang lebih timbal balik.

Secara keseluruhan, Washington mahu mengurangkan beban sekunder sambil memperkukuhkan gabungan sekutu, asas industri pertahanan dan seni bina strategic forward denial yang diperlukan bagi terus mengekang China.

Washington tidak meruntuhkan sistem pakatannya di Asia. Pentadbiran sekarang sedang cuba merombak semula sistem tersebut supaya lebih berdikari tanpa memerlukan Amerika memikul keseluruhan beban seorang diri.

Jika Trump berjaya mentransformasikan struktur pakatan dan pada masa yang sama dapat mengekang Kim, beliau akan memperoleh dua hasil strategik serentak: sebuah seni bina keselamatan Asia yang lebih berdikari dan peluang untuk menyelesaikan projek keamanan Korea yang dimulakannya sejak penggal pertamanya.

*Collins Chong Yew Keat ialah pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia.*