Oleh Sekretariat Solidariti Rakyat

 
KUALA LUMPUR, Malaysia--Sekretariat Solidariti Rakyat sekali lagi menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sekarang akibat kegagalan beliau mengemudi kerajaan dan menstabilkan situasi politik negara. 
 
Kegagalan beliau telah menyebabkan negara kita masih terkial-kial untuk keluar daripada kesan pandemik terutamanya apabila kes harian sudah meningkat ke
20,000 kes dan kematian telah mencapai 10,000 semalam.

Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh mengatakan negara ini sedang
bergerak ke arah yang betul apabila kadar kemiskinan meningkat ke 5.9% tahun lepas dan isi rumah B40 meningkat ke 3.5 juta isi rumah? 
 
Malah angka pengangguran terutamanya dalam kalangan anak muda adalah sebanyak 720,000. Ini bermaksud begitu ramai yang terkesan akibat pandemik ini. 
 
Kelembapan Perdana Menteri untuk bertindak telah menyebabkan rakyat makin sengsara dan hilang punca kerja tetapi kelompok yang menyokong beliau dengan mudah mendapat jawatan seperti Penasihat Bertaraf Menteri atau Duta Bertaraf Menteri.

Sekretariat Solidariti Rakyat beranggapan bahawa sememangnya kerajaan ini adalah kerajaan yang gagal dan pemimpin kerajaan yang gagal ini patut tahu bila mereka perlu berhenti dan memberi ruang kepada pasukan lain untuk mengemudi negara. 
 
Sudahlah. 
 
Kita tidak perlukan pemimpin talam dua muka, tidak menghormati institusi utama negara terutama institusi parlimen dan mengamalkan hukuman dua darjat.

Sekretariat Solidariti Rakyat menggesa untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dengan segera. Jika tidak, kita akan menggerakkan jumlah
rakyat yang lebih besar untuk turun ke jalan pada 21 Ogos. 
 
Sekretariat Solidariti Rakyat juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia terutama anak muda untuk merapatkan barisan rakyat dan bersiap sedia untuk turun ke jalan sekali lagi.

Ingat, jalan raya bukanlah pilihan seandainya kita mempunyai pemimpin yang peka terhadap isu rakyat, dan bukannya hanya memikirkan kepentingan peribadi dan gerombolan politik sendiri. 
 
Bahasa terbaik adalah bahasa jalan raya dengan rakyat diperkasa untuk menjerkah pemimpin yang enak di tampuk kuasa. Solidariti dari anak muda untuk rakyat dan petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus bertahan sekian lama dengan kegagalan kerajaan.