Oleh Penyumbang INS

KUALA LUMPUR, Malaysia--UMNO hari ini mengesahkan dua warkah telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah masing-masing bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu.

Menerusi laporan portal UMNO Online, kedua-dua warkah tersebut ditandatangani Ahmad Zahid Hamidi, selaku presiden UMNO.

Memetik surat bertarikh 30 Julai, Ahmad Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk memaklumkan warkah tersebut diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah bertujuan mempersembahkan surat akuan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat perakuan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahmad Zahid lagi, pendirian itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.

"Surat-surat akuan tambahan akan patik persembahkan kemudian tatkala patik diperkenankan untuk menghadap Tuanku," Ahmad Zahid berkata dalam surat tersebut.

Sementara itu, dalam surat bertarikh 4 Ogos, Ahmad Zahid memperincikan 14 nama ahli Parlimen UMNO termasuk beliau, yang telah menandatangani surat akuan penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.