Oleh UMNO Online

KUALA LUMPUR, Malaysia--Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar mengumum peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Temerloh serta merta dan kembali ke pangkuan UMNO.

Dalam sidang medianya hari ini, beliau turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai UMNO melalui Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya mengambil kesempatan pada petang untuk menyerahkan borang keahlian saya kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan saya memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman Tajuddin Sulaiman dan juga bahagian Paya Besar atas kesudian menerima saya sebagai ahli UMNO bahagian Paya Besar.”

Tegasnya, beliau menyokong penuh pendirian Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam isu Perlembagaan baru-baru ini yang mana telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia kita semestinya mempertahankan Perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.

“Kita seharusnya mendukung demokrasi berparlimen dan juga Raja Berperlembagaan berdasarkan yang telah termaktub dalam Rukun Negara sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita,” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.