Oleh Aiman Athirah Al Jundi


KUALA LUMPUR, Malaysia--Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional merujuk laporan-laporan terbaharu status kes gurauan rogol (iaitu suatu bentuk gangguan seksual secara lisan) oleh guru lelaki melibatkan pelajar sekolah, Nurain Husniza susulan pendedahan kes pada April lalu.

Kami memandang serius pengesahan oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas guru tersebut apabila kes diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), lalu diikuti dengan tuntutan ganti rugi RM1 juta oleh guru lelaki terbabit daripada remaja tersebut dan ibu bapanya.

Susulan keputusan NFA oleh pihak pendakwaan ini, guru tersebut juga telah membuat laporan polis berikutan dakwaan kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan ke atas dirinya dan Institusi Perguruan di negara ini, seterusnya polis telah memanggil remaja tersebut dan bapanya untuk siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dakwaan mengaibkan guru tersebut.

Kami menyesali tindakan saman fitnah dengan tuntutan RM1 juta oleh guru lelaki tersebut ke atas seorang murid, seorang pemandiri yang berani bersuara bagi mendapatkan keadilan malah juga seorang kanak-kanak yang sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang daripada cubaan intimidasi sebegini.

Sememangnya ketiadaan undang-undang khusus bagi menangani gangguan seksual memberi laluan mudah bagi saman fitnah oleh pihak yang didakwa, atas alasan membersihkan nama daripada fitnah walaupun dalam banyak keadaan, saman malu dilihat lebih kepada ancaman kepada para pemandiri yang berani tampil bersuara.

Tindakan saman malu dan siasatan polis ke atas pemandiri ini juga menjadi antara faktor kebanyakan mereka enggan tampil membuat laporan akan salah laku seksual, dan natijahnya pelaku gangguan seksual mudah terlepas daripada dipertanggungjawabkan akan perbuatan mereka apabila mangsa enggan membuat aduan. 

Kami menegaskan bahawa penggunaan undang-undang mahupun tindakan saman sivil oleh individu tidak seharusnya digunakan untuk mensasarkan seorang kanak-kanak, sebaliknya seorang kanak-kanak diberikan perlindungan dengan dakwaan salah laku disiasat secara telus dan mengambil kira kebajikan kanak-kanak tersebut, sementelah semenjak awal aduan dilaporkan, remaja tersebut dan keluarganya telah dihujani pelbagai reaksi dan stigma negatif dilontarkan masyarakat.

Kami juga merujuk laporan sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan dilaporkan akan memindahkan guru tersebut dan siasatan dalaman akan dilakukan, namun tindakan memindahkan guru ini sama sekali tidak menawarkan solusi jangka panjang.

 
Kementerian Pendidikan digesa bersikap telus mendedahkan hasil siasatan dalaman bagi mengenal pasti jika terdapat salah laku atau pelanggaran etika perguruan bagi memastikan siasatan bebas daripada cubaan melindungi mana-mana pihak. Kementerian 
 
Pendidikan juga dituntut untuk segera menambahbaik penerapan kesedaran gangguan seksual dan aspek sensitiviti gender dalam sistem pendidikan negara dan persekitaran sekolah bagi memastikan suasana kondusif dan selamat dalam proses pembelajaran.

Justeru kami menggesa dihentikan serta-merta apa jua tindakan berbentuk tekanan dan intimidasi oleh mana-mana pihak terhadap Nurain Husniza, lebih-lebih lagi oleh pihak berkuasa terhadap seorang kanak-kanak yang telah memberanikan diri untuk mendedahkan salah laku seksual apatah lagi melibatkan seorang guru di sekolah, institusi yang sewajarnya menjadi tempat selamat untuk mereka. Saman malu terhadap Nurain dan keluarganya juga harus segera ditarik balik manakala siasatan polis dihentikan.

Kami menzahirkan solidariti dan berdiri teguh bersama Nurain Husniza yang telah menunjukkan contoh keberanian seorang pemandiri mendedahkan perilaku sedemikian serta ahli keluarga yang tegas menyokong beliau kerana hanya dengan sokongan institusi, keluarga dan komuniti sekeliling boleh memberikan keyakinan kepada pemandiri untuk mengatasi situasi gangguan seksual dan ancaman jenayah sebegini. 

Kami mengecam sikap berdiam diri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang telah gagal sama sekali memberikan respons dan intervensi sewajarnya daripada seorang Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal perlindungan kanak-kanak. 
 
Komitmennya sebelum ini tentang penggubalan RUU Gangguan Seksual juga masih belum direalisasikan, memanifestasikan hakikat kegagalan kerajaan seluruhnya dalam aspek perlindungan wanita dan kanak-kanak Malaysia khususnya dalam tempoh pandemik ini.