
Oleh Pakatan Harapan
KUALA LUMPUR, Malaysia--Majlis Presiden Pakatan Harapan berpandangan bahawa perutusan khas Mahiaddin Md Yassin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan.
Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang.
Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia.
Lebih dari itu, apabila Mahiaddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.
Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.
Sebaliknya, Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19.
Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian.
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published