Oleh Zahir Hassan
https://www.facebook.com/zahirhassan.keadilan/

KUALA LUMPUR, Malaysia--Pengumuman kabinet Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi nyata cuma proses rombakan kabinet dengan majoriti masih mengekalkan jawatan mereka. Tiada apa yang menarik dan mampu memberikan satu sinar harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Apa yang lebih mengejutkan, pelantikan Dato’ Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Ia adalah satu keputusan yang amat janggal dan langsung tidak pernah terlintas di fikiran rakyat tempatan. Menteri Wilayah seharusnya adalah seorang yang tinggal dan bergaul dengan masyarakat setempat setiap hari. Keadaan masyarakat miskin bandar di kota raya Kuala Lumpur dikhuatiri tidak dapat diselami oleh seseorang berlatar belakang seperti beliau.

Perdana Menteri dalam ucapannya telah memberikan satu jaminan bahawa dalam tempoh 100 hari yang pertama, kesemua Menteri perlu membuktikan pencapaian kementerian mereka. Suka saya ingatkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, ada beberapa isu yang sepatutnya diberikan tumpuan sepenuhnya.

Perancangan jangka pendek dan panjang harus segera dirangka untuk isu kemiskinan bandar, keciciran pembelajaran kanak-kanak B40, kehilangan pendapatan harian penjaja bandar, dan isu kehilangan pekerjaan. Dalam tempoh 100 hari, beliau sepatutnya telah merangka perancangan tindakan untuk kesemua isu di atas.

Kesemua isu tersebut adalah permasalahan yang memerlukan tekad politik untuk perubahan. Ia juga memerlukan tindakan yang mencabar status quo. Namun, melihatkan kepada pencapaian politik beliau selama ini, dikhuatiri rakyat Wilayah Persekutuan cuma boleh mengharapkan pertukaran Kerajaan di pilihanraya yang akan datang.
 

*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili INS*