Oleh Ahmad Zahid Hamidi


Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2021 bersamaan 18 Muharram 1443H telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. Menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Mendokong penuh pelantikan tersebut dan parti akan membantu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

Beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO, antaranya:

i. Menyahut titah saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi,pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

ii. Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

iii. Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

Kerajaan terus menggunakan jenama ‘KELUARGA MALAYSIA’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS.

v. Kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan.

vi. Penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam Institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Negara.

UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan. Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain.