Oleh PERHILITAN Semenanjung Malaysia


KUALA LUMPUR, Malaysia--Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah telah berjaya menahan dua (2) orang suspek warganegara Malaysia pada 9 September 2021 di bulatan Masjid KLIA Sepang, Selangor kerana melakukan jenayah yang melibatkan penyeludupan hidupan liar.

Hasil pemeriksaan ke atas dua (2) orang suspek tersebut telah menemui 50 unit disyaki sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta. Turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu Badak.

Operasi tangkapan ini dijalankan oleh anggota Jabatan PERHILITAN hasil daripada aktiviti risikan secara berterusan oleh unit khas. Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, kejayaan hasil rampasan kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh 5 tahun bagi sitaan sumbu Badak.

Spesies-spesies Badak serta bahagiannya adalah “dilindungi” dan “dilindungi sepenuhnya” di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 [Akta 716]. Ia juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam [Akta 686] di mana spesies-spesies ini tidak boleh diperdagangkan sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.

Kes cubaan menyeludup sumbu badak sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah serius serta berprofil tinggi. Terdapat lima (5) kes berkaitan dengan penyeludupan yang melibatkan 96 unit sumbu Badak telah direkodkan oleh Jabatan PERHILITAN dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Kesemua 50 unit disyaki sumbu Badak ini akan dijalankan analisis Deoxyribonucleic Acid atau DNA oleh Makmal Forensik Jabatan PERHILITAN bagi mengenalpasti sumber asal sumbu badak tersebut sama ada ia daripada spesies badak tempatan atau luar negara. Walau bagaimanapun, setakat ini sumbu badak tersebut adalah disyaki diseludup dari luar negara.

Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu menyimpan manamana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. Jika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak Jabatan PERHILITAN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram dan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

Jabatan PERHILITAN menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti agar tidak diancam kepupusan.

Semua pihak turut disaran untuk memainkan peranan bersama-sama dengan pihak Kerajaan dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.