Oleh Dr. Michael Jeyakumar Devaraj


KUALA LUMPUR, Malaysia--Salam Perjuangan kepada semua! Dan Selamat Datang ke Kongres PSM ke-23!

Ini adalah kali kedua kita terpaksa mengadakan kongres PSM atas talian kerana wabak Covid-19. Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang disebabkan olehnya telah membawa impak besar terhadap bukan sahaja kesihatan dan ekonomi rakyat, bahkan dalam senario politik negara dan antarabangsa juga.

Adalah amat penting untuk kita, sebuah parti kiri, memahami senario baru yang sedang diakibatkan oleh wabak Covid-19 supaya dapat mengaturkan strategi kita untuk memperkukuhkan gerakan progresif di Malaysia.

Impak Covid-19 terhadap rakyat Malaysia Wabak Covid-19 telah menyusahkan semua lapisan masyarakat di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Ada yang mengatakan kita semua berada di atas kapal yang sama – “we are all in the same boat”. Tetapi ini tidak benar.

Kita berada dalam lautan yang sama, dalam ribut yang sama, tetapi lapisan yang terkaya belayar atas kapal mewah (luxury liner), manakala yang termiskin 20% terpaksa bergantung kepada sampan-sampan kecil yang berlubang.

Impak Covid-19 bukan seragam. Kesan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membawa impak yang jauh lebih teruk kepada golongan-golongan tertentu.

Malangnya bantuan yang dihulur oleh kerajaan adalah amat tidak mencukupi untuk golongan-golongan ini.

Terdapat empat (4) golongan marhaen di Malaysia yang mengalami kesan yang teruk
sekali.

1. Golongan miskin bandar.

Mereka, yang berjumlah 2.5 juta orang, adalah pekerja di sektor-sektor informal.

Mereka merangkumi pekerja harian di kedai makan, pasar-pasar, sektor pembinaan, pengangkutan dan sektor-sektor lain.

Pekerja harian atau kontrak ini tidak dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial seperti Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Apabila mereka kehilangan kerja, mereka sekeluarga tidak ada sebarang bantuan kerajaan selain daripada bantuan pemindahan wang tunai sekali-sekala, misalnya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) - berjumlah sebanyak RM3,000 bagi keluarga-keluarga B40 dalam 16 bulan yang lalu.

Ramai antara golongan ini tidak dapat menyertai skim i-sinar, i-lestari dan i-citra kerana tiada simpanan KWSP.

Mereka juga tidak dilindungi oleh Skim Insurans Pekerja (SIP) kerana mereka bukan pencarum PERKESO. Moratorium pinjaman rumah juga tidak meringankan beban mereka kerana ramai dalam golongan ini menduduki rumah sewa.

Mereka banyak bergantung kepada bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membekalkan, antaranya makanan dan wang tunai.

2. Peniaga kecil. (1 juta perniagaan).

Peniaga kecil dikategorikan sebagai mereka yang berpendapatan kasar di bawah RM 300,000 setahun.

Ramai antara mereka berniaga di tepi jalan raya ataupun di pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

Pengecutan pendapatan pekerja biasa yang merupakan pelanggan bagi golongan peniaga kecil telah menyekatkan permintaan pasaran untuk peniaga-peniaga kecil.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar berulang kali telah menyebabkan pasar dan bazar ditutup lalu mengerahkan lagi situasi golongan peniaga kecil.

Ramai antara golongan ini tidak ada simpanan KWSP yang signifikan untuk membantu mereka. Mereka tidak layak untuk skim SIP kerana bukan pencarum PERKESO.

Mereka juga disingkir dari skim pemindahan wang tunai kerana mereka yang didaftar di bawah SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) tidak layak untuk skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Mereka hanya menerima bantuan khas peniaga kecil sebanyak RM 6500 dalam 16 bulan yang lalu.

3. Pekebun getah dan kelapa sawit, pesawah padi dan nelayan. (1.5 juta orang) Sebelum serangan wabak Covid-19 pun, golongan ini merupakan antara yang termiskin di Malaysia.

Sekatan pergerakan dan pengecutan pasaran untuk pengeluaran pertanian telah menjejas pendapatan golongan ini.

Mereka dapat bantuan pemindahan wang tunai tetapi tidak layak mendapat SIP anjuran Perkeso dan juga tidak ada simpanan KWSP untuk dikeluarkan di bawah skim i-lestari dan sebagainya.

4. Anak Muda. (18 – 30 tahun)

Sebelum tahun 2020 lagi, golongan anak muda telah menghadapi banyak masalah dalam mendapatkan kerja yang setimpal dengan pendidikan mereka dengan gaji yang sewajarnya untuk membayar balik pinjaman Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebelum ini pun, kadar pengangguran anak muda adalah tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya.

Kegawatan ekonomi yang telah dicetuskan oleh wabak Covid-19 telah merunsingkan masalah pengangguran di kalangan golongan ini.

Walaupun mendapat kerja, kebanyakan jawatan adalah secara kontrak dan tidak terjamin.

Yang lebih teruk adalah kerja-kerja “zero hours” yang hanya dibayar gaji jika perkhidmatan mereka diperlukan.

Kerja-kerja sebegini pula tidak menawarkan sebarang perlindungan sosial.

Adalah dianggar bahawa lebih kurang dua (2) juta anak muda menghadapi masalah ketiadaan kerja ataupun kerja yang tidak terjamin.

Pencarum aktif KWSP adalah berjumlah 6.5 juta buat masa kini. Mereka adalah pekerja formal di sektor swasta dan menikmati perlindungan yang lebih baik berbanding empat golongan di atas.

Selain daripada bantuan pemindahan wang tunai, mereka juga dibantu oleh skim subsidi gaji pekerja di mana kerajaan membayar RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap orang pekerja supaya mengelak daripada pemberhentian kerja.

Lebih kurang 2.6 juta pekerja dibantu oleh skim ini.

Yang diberhentikan kerja pun berpeluang memohon Skim Insurans Pekerja dan juga pampasan berhenti kerja seperti dinyatakan dalam Regulasi Pampasan Pemberhentian Kerja (1980), Akta Kerja.

Pekerja formal juga dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan KWSP mereka jika perlu dan sejauh ini lebih kurang RM110 billion simpanan KWSP telah dikeluarkan oleh para pekerja. (Ini banyak membantu mereka dalam krisis ini, tetapi jaminan kewangan masa depan mereka terjejas.)

Kakitangan kerajaan sebanyak 1.6 juta orang dan kaum pesara (0.8 juta) adalah golongan yang menikmati perlindungan yang baik sekali di kalangan marhaen. Mereka tidak kehilangan punca pendapatan mereka dalam tempoh masa wabak Covid-19.

Pengalaman lapisan 20% yang terkaya (T20) jauh berbeza daripada golongan-golongan marhaen.

Golongan profesional di kalangan T20 dapat kerja atas talian dan pendapatan mereka tidak mengecut sebegitu banyak berbanding golongan B40 dan M40.

Ada ramai di lapisan T20 yang menikmati penambahan dalam nilai saham dimiliki mereka kerana harga saham telah naik di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE1).

Pendidikan anak-anak mereka juga tidak terganggu sepertimana yang dialami oleh anak-anak kaum marhaen kerana golongan T20 mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk mengikuti kelas atas talian.

Rawatan untuk penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi bagi kaum marhaen terpaksa ditunda kerana hospital-hospital kerajaan penuh sesak dengan kes-kes Covid-19, manakala lapisan T20 teruskan rawatan istimewa mereka di hospital-hospital swasta.

3228 orang jutawan (billionaire) dari seluruh dunia telah menikmati peningkatan sebanyak 32% dalam kekayaan mereka dalam tahun 2020 dan memiliki aset sebanyak USD 14.7 trillion pada hujung Disember 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan dan kegawatan ekonomi memang membawa kesan yang jauh lebih buruk pada yang termiskin di negara kita dan melebarkan lagi jurang di antara kelas-kelas di Malaysia.

Wabak Covid telah mendedahkan ketidakcekapan parti-parti politik borjuas (bourgeois).

Wabak Covid telah mendedahkan watak dan fokus pemimpin-pemimpin politik di Malaysia.

Rakyat mula menyedari bahawa ramai di kalangan pemimpin politik negara tidak peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa dan enggan turun menyiasat situasi yang dialami rakyat supaya dapat menggubal polisi untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa.

Ini telah membuka ruang untuk PSM menunjukkan bahawa kita adalah sebuah parti politik yang serius terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dan yang sentiasa mengesyorkan polisi dan program yang tepat dan bermakna untuk rakyat biasa.

Sejak bulan Mei 2020, PSM telah mendesak untuk Skim Jaminan Pendapatan Keluarga dan mengesyorkan RM 1,000 sebulan dipindahkan ke akaun keluarga-keluarga yang kehilangan punca pendapatan mereka.

Kita juga telah mengesyorkan Skim Subsidi Sewa Rumah untuk menyelamatkan golongan 20% termiskin (B20) yang diancam oleh pengusiran paksa dari rumah yang disewa.

Majoriti di kalangan B20 tidak dibantu oleh Moratorium Pinjaman Perumahan kerana mereka tidak mempunyai rumah mereka sendiri dan menduduki rumah yang disewa.

PSM juga telah memohon Moratorium terhadap kesalahan imigresen untuk pekerja migran tanpa dokumen supaya mereka tidak takut untuk mendekati agensi-agensi kesihatan untuk saringan Covid-19 dan kuarantin jika perlu.

PSM juga telah mengemukakan langkah-langkah untuk memperkukuhkan kapasiti dan prestasi bilik Gerakan CAC (Covid Assessment Centre) terdapat di setiap daerah supaya dapat memberi nasihat, pemantauan dan bantuan untuk semua pesakit Covid-19 yang di-kuarantin di rumah.

(Kelemahan dalam pemantauan pesakit yang dikuarantin di rumah adalah salah satu punca peningkatan kes-kes “bid” (brought-in-dead ataupun meninggal dunia sebelum sampai ke hospital).

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia telah mendesak kerajaan untuk membekalkan pakaian PPE dan Vaksin Covid-19 untuk melindungi pekerja kontrak di hospital, dan Biro Pekerja PSM telah bercampur tangan dalam berpuluhan kes pemberhentian kerja yang berlangsung dalam 16 bulan yang lalu.

Malangnya kebanyakan cadangan PSM seperti yang dicatit di atas tidak diambil berat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun PSM telah menggubal kertas kerja; menghantar surat kepada Kementerian-Kementerian yang berkenaan; mengadakan persidangan media; dan juga menggerakkan jaringan-jaringan NGO tertentu untuk melobi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh PSM.

Dalam tempoh 16 bulan yang lalu, rakyat juga dapat menyaksi bahawa pemimpin parti parti Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil begitu berat terhadap isu-isu rakyat biasa.

Mereka lebih menumpukan tenaga mereka dalam mencaci dan menyindir kerajaan PN dan sentiasa berusaha untuk menggulingkannya.

Walaupun PH mempunyai 89 ahli parlimen dan sumber kewangan yang besar (berbanding PSM), mereka tidak menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah-masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat pada zaman Covid-19 ini. Mereka lebih cenderung berpolitik untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Kerja-kerja kita dalam 16 bulan yang lalu telah meningkatkan profil PSM sebagai parti yang berjiwa rakyat – sedar akan kesusahan yang dialami oleh orang awam dan yang sentiasa mencuba untuk meringankan beban rakyat.

Adalah amat penting untuk PSM terus mempamerkan perbezaan parti kita berbanding parti parti politik yang lain di Malaysia dan memperkukuhkan imej PSM sebagai satu parti yang berdiri bersama rakyat biasa secara konsisten.

Adalah penting untuk kita meneruskan dengan pendekatan turun padang dan bergaul dengan masyarakat awam, mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi mereka, menganalisa dan mencari jalan keluar untuk masalah-masalah mereka.

Amalan biasa kita selepas itu adalah untuk membawa cadangan-cadangan yang dicadangkan oleh rakyat terlibat dan juga aktivis PSM ke meja perbincangan supaya dapat dibahas dan diperhalusi lagi oleh pakar akademik, kumpulan NGO dan orang awam sebelum dikemukakan kepada pihak pemerintah dalam bentuk kertas kerja ataupun surat petisyen.

Hakikat-hakikat berkaitan sistem politik antarabangsa yang didedahkan oleh Wabak Covid-19.

1. Negara-negara miskin di Afrika dan Asia Tenggara tidak dapat bantuan yang mencukupi dalam memperoleh vaksin Covid-19.

Oleh kerana mereka miskin, mereka tidak berdaya membeli vaksin di pasaran.

Apabila mereka cuba meminjam dana daripada bank-bank antarabangsa, mereka dikenakan bunga yang sangat tinggi – negara-negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman dan Skandinavia dapat pinjaman berbilion ringgit dengan kadar bunga yang amat rendah (bawah 1% setahun) tetapi negara-negara Afrika dikenakan bunga setinggi 8% dari sumber yang sama kerana mereka adalah negara miskin dan bukan “credit-worthy”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan inisiatif “Covax” di mana semua negara diminta mencarum pada Covax supaya WHO dapat berunding dengan syarikat farmaseutikal (pharmaceutical) gergasi dan membeli vaksin untuk semua negara dengan harga yang berpatutan.

Tetapi negara-negara maju telah mengambil keputusan
untuk membeli terus dari pembuat vaksin.

Bekalan vaksin pula tidak mencukupi untuk semua kerana negara-negara kaya telah menempah lebih daripada jumlah vaksin yang diperlukan untuk populasi mereka (mungkin kerana mereka tidak yakin vaksin yang mana berkesan dan oleh itu mereka menempah vaksin daripada dua atau tiga syarikat pharmaceutical).

Sebagai contoh, Canada telah menempah jumlah vaksin yang lima kali lebih daripada jumlah vaksin yang diperlukan untuk populasinya. Britain telah menempah dua kali lebih dan Australia pula lima kali lebih.

Inisiatif Covax tidak menerima dana yang dijanji oleh negara-negara maju. Disebabkan kesemua faktor-faktor ini, bekalan vaksin untuk negara-negara miskin adalah amat lambat seperti digambarkan dalam carta di bawah.

Tetapi ini adalah pendekatan yang kurang bijak.

Kegagalan mengawal Covid-19 di seluruh dunia membuka ruang untuk menimbulkan varian-varian yang lebih berbahaya dan mewujudkan kemungkinan varian itu akan merebak dan menular ke negara maju pada masa depan.

2. Negara India dan Afrika Selatan yang berkeupayaan membuat vaksin telah minta syarat-syarat hak cipta intelek ditangguh buat masa ini untuk membolehkan mereka mengeluarkan vaksin Covid-19 dengan kadar yang lebih pesat.

Permohonan mereka dibantah oleh syarikat farmaseutikal terbesar dunia.

Bantahan ini disokong oleh beberapa negara maju termasuk USA, EU, UK, Canada, Australia dan Jepun. (US telah menarik balik bantahannya pada bulan Mei 2021) tetapi India dan Afrika Selatan masih belum mendapat izin untuk mengeluarkan vaksin-vaksin yang dilindungi oleh paten.

Dua perkara ini menunjukkan secara jelas bahawa dunia kita sangat tidak adil dan imperialisme masih aktif dan segar di atas muka dunia pada masa ini.

Hakikat ini jelas terbukti dalam carta di atas! Walaupun hampir semua negara telah mencapai kemerdekaan politik, struktur ekonomi dunia masih memastikan bahawa sebahagian besar kekayaan yang dijana di negara-negara dunia ketiga diperas dan diambil keluar oleh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa (MNC) melalui dua proses utama.

Pertama adalah terma perdagangan yang berat sebelah. Harga-harga komoditi pertanian ditekan ke paras yang rendah manakala harga buatan berteknologi tinggi dijual dengan harga yang mahal.

Pilihan membuat barangan mahal ini di negara membangun disekat oleh undang-undang hak cipta intelek.

Taktik kedua yang diguna oleh MNC untuk memeras kekayaan yang dijana di dunia ketiga adalah dengan menekan gaji pekerja di negara membangun ke paras yang rendah.

(Wage suppression). Syarikat MNC menyumber luar (outsource) proses pembuatan (manufacture) ke kapitalis tempatan di negara membangun dan memainkan mereka satu sama lain untuk menekan harga barangan buatan di negara membangun ke paras yang rendah.

Jika kapitalis tempatan di Malaysia meminta harga yang lebih tinggi untuk produk itu, MNC memindahkan tempahannya ke kapitalis tempatan seperti Thailand atau Vietnam.

Pemimpin politik negara maju hanya pandai berhujah berkaitan solidariti dan hak asasi manusia (dan juga krisis iklim) tetapi gagal mengawal ketamakan MNC-MNC yang bertapak di negara mereka.

3. Wabak Covid-19 juga dengan jelasnya mendedahkan bahawa Parti Komunis Cina (CPC) masih menguasai pentadbiran negara itu dan dapat menentukan bagaimana sebahagian besar daripada kekayaan berlebihan (surplus) negara itu diguna pakai.

Rakyat sedunia kagum apabila dua hospital berbilang tingkat dibina dalam jangka masa 10 hari dan bagaimana kakitangan kesihatan dari seluruh negara dikerah ke bandar Wuhan untuk merawat pesakit Covid-19 pada awal tahun 2020.

Pemimpin Cina juga telah melakukan lockdown yang ketat untuk wilayah Hubei dengan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi untuk populasi sebanyak 60 juta penduduk untuk jangka masa beberapa bulan.

Walaupun wilayah Hubei terletak di tengah-tengah negara China, kerajaan China dapat menyekat penularan wabak Covid-19 dari wilayah itu ke tempat lain.

Kesemua ini membuktikan bahawa walaupun corak ekonomi China adalah kapitalisme – pekerja bekerja untuk gaji, penukaran barangan adalah melalui pasaran bebas, pengeluaran adalah untuk keuntungan dan satu lapisan kapitalis telah menimbul – CPC masih mengendalikan masyarakat dan dapat memperoleh surplus yang mencukupi untuk melaksanakan program-program yang CPC rasa perlu dilaksanakan.

Walaupun China mempunyai 1,000 orang billionaire (dari jumlah 3228 billionaire yang berada di dunia) sekarang, nampaknya kaum kapitalis di negara China masih belum dapat menguasai pemimpin politik di negara itu.

Perkara ini sudah lama berjaya dilakukan di Amerika Syarikat dan negara-negara maju yang lain!

4. Negara Cuba, sebuah negara kecil dengan 11.3 juta penduduk dan yang ditekan oleh sekatan ekonomi Amerika Syarikat selama beberapa dekad telah mencipta empat vaksin Covid-19 – Abdala, Soberana 1 dan 2 serta Mambisa – dan sedang melaksanakan program vaksin dengan vaksin ciptaan sendiri.

Setakat ini, lebih daripada 25% rakyat mereka telah menerima dos vaksin yang sepenuhnya. Cuba sedang merancang untuk membekalkan vaksinnya dengan harga yang murah kepada negara-negara Amerika Selatan dan Afrika.

Jika Cuba boleh, mengapakah ASEAN dengan sumber ekonomi dan ahli sains yang jauh lebih ramai tidak boleh berdikari dan melakukan perkara yang sama? Mengapakah kita masih bergantung kepada syarikat-syarikat MNC?

Pemulihan ekonomi rakyat pasca Covid

PSM telah mengambil pendirian tegas bahawa pemulihan masyarakat pasca Covid-19 tidak boleh diserahkan kepada pasaran swasta.

Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa golongan-golongan tertentu seperti pekerja kontrak/harian, peniaga kecil dan golongan muda dalam masyarakat kita telah mengalami kesan yang lebih teruk akibat Covid-19, PKP dan kegawatan ekonomi termasuk yang kehilangan kerja.

Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab untuk memastikan golongan-golongan ini diberi bantuan yang mencukupi untuk memulihkan situasi mereka secepat mungkin.

Antara polisi dan program yang dicadangkan oleh PSM untuk memulihkan situasi sosio-ekonomi rakyat pasca Covid-19 adalah:

SKIM PENCEN WARGA EMAS
•Untuk semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak menerima pencen kerajaan ataupun Perkeso.

SKIM JAMINAN KERJA
•Untuk sesiapa yang mencari kerja

PEWUJUDAN KERJA-KERJA “HIJAU” BARU
•Untuk memulihkan kawasan hutan yang telah dibalak, membersihkan sungai, membina sistem pengendalian sisa buangan domestik supaya dapat mengitar semula sisa buangan (recycle) sebanyak yang boleh, dll.

•PENAMBAHAN PERUNTUKAN KEMENTERIAN KESIHATAN
•Dari RM 32 bilion bagi tahun 2021 ke RM38 bilion untuk tahun 2022 supaya perkhidmatan kesihatan dapat diperkukuhkan.

•PEMBINAAN 200,000 RUMAH PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR)
•Setiap tahun untuk disewa keluarga yang berpendapatan di bawah RM3000 sebulan dengan kadar di bawah RM250 sebulan.

•PENGAMBILALIHAN PENGURUSAN RUMAH-RUMAH ANGSA KOS RENDAH OLEH KERAJAAN TEMPATAN
•Serta peruntukan dana yang mencukupi untuk membaiki lif, lampu lampu di kawasan am, handrail untuk tangga dan sebagainya.

Semua tuntutan ini adalah sebahagian daripada kempen nasional PSM terkini yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Adalah hasrat PSM untuk menyebarkan tuntutan-tuntutan yang berpihak kepada rakyat biasa secara meluas untuk memotivasikan rakyat umum menyertai kempen ini dan mendesak supaya sebahagian besar kekayaan negara (surplus) diagihkan kepada rakyat biasa melalui skim-skim yang digariskan di atas.

Peranan gerakan kiri adalah untuk mendedahkan kepada rakyat situasi sebenarnya iaitu, kekayaan Malaysia telah berlipat ganda dalam 50 tahun yang lepas.

Keluaran dalam negeri kasar Malaysia (KDNK = GDP) adalah RM 10.3 bilion pada tahun 1970. Pada tahun 2019, KDNK Malaysia telah mencapai RM1.5 trillion ataupun RM1,500 billion – peningkatan sebanyak 145 kali. Selepas mengambil kira kenaikan harga barangan (450% dalam 50 tahun) dan peningkatan populasi Malaysia daripada 10 juta pada tahun 1970 ke 32 juta sekarang,

Kita dapati bahawa peningkatan KDNK per kapita adalah lebih daripada 10 kali ganda. Tiap satu orang rakyat Malaysia adalah 10 kali lebih kaya berbanding seorang rakyat Malaysia pada 1970! Tetapi ramai keluarga dibelenggu hutang dan hidup dalam kesusahan.

Inilah realiti yang dihadapi oleh rakyat dalam negara yang bertambah kaya. Ke mana perginya kekayaan negara? Kenapa kekayaan ini tidak diguna untuk meringankan kehidupan rakyat biasa? Kenapa golongan orang muda kita ditekan oleh hutang pendidikan yang tinggi dan ketiadaan kerja yang setimpal dengan pendidikan mereka?

Mengapa golongan warga emas kita terpaksa bergantung kepada anak-cucu mereka tanpa sebarang pendapatan sendiri walhal titik peluh merekalah yang membangunkan ekonomi negara ini? Mengapa pengurusan kekayaan negara kita begitu cuai?

Inilah antara isu-isu yang kita harus sampaikan kepada rakyat umum supaya mereka dimotivasi untuk bergerak bersama kita menuntut sebahagian yang lebih besar daripada kekayaan negara (yang dicipta oleh rakyat sendiri) digunakan demi kebaikan rakyat umum.

Ombak Covid-19 akan beredar secara beransuran dalam tahun-tahun yang akan datang dan ini akan membuka ruang untuk kita melancarkan aksi-aksi jalanraya untuk menegakkan dan mempopularkan tuntutan kita.

Kempen ini berpotensi untuk membuka minda rakyat umum terhadap visi berbeza yang dibawa oleh PSM – satu masyarakat yang berdasar kepada solidariti rakyat di mana kekayaan negara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang makmur.

Tetapi saya ingin memasuki satu kaveat berkenaan ini. Protes jalanraya yang menyokong tuntutan rasis ataupun yang berpunca daripada perasaan “frus” tanpa mengemukakan penyelesaian yang progresif, ataupun yang memajukan hasrat seorang pemimpin politik bourgeois yang berazam mengambil alih kerajaan, tidak akan menjana kesedaran politik terhadap struktur penindasan kelas yang wujud dalam masyarakat kita.

Jadi kita, sebuah gerakan kiri, harus cuba sedaya upaya untuk memastikan unsur-unsur progresif adalah terkandung dalam mobilisasi yang kita libatkan diri dan berjaga daripada diperkudakan oleh puak-puak yang bermain politik bourgeois – yang hanya berhasrat mengambil alih kuasa tetapi langsung tiada keinginan untuk menyoal atau mengubahsuai pengagihan kekayaan negara.

Pilihan Raya Umum (PRU) 15

Ada kemungkinan besar PRU15 akan diadakan pada pertengahan tahun 2022 dan kita harus bersedia.

Dalam perbincangan Trolak (Januari 2020), telah diputuskan bahawa kita seharusnya mengambil bahagian dalam PRU tetapi dengan mengurangkan bilangan kerusi yang ditandingi.

Kita juga harus cuba meningkatkan undi yang diperolehi di setiap kerusi yang ditandingi.

Kita mesti bersikap realistik apabila kita menghadapi PRU15. Memang kita pernah menang di dua kerusi sebelum ini, tetapi kita mesti menerima hakikat bahawa pengundi di dua kawasan itu mengundi calon PSM kerana kita mewakili pihak pembangkang pada masa itu dan pengundi berazam untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Mereka tidak sedar terhadap ideologi sosialis kita. Untuk mereka, kita adalah seorang calon pembangkang.

Situasi ini sedang berubah sedikit demi sedikit – orang awam sedang mula menyedari PSM amat berbeza daripada parti-parti PH kerana kita sentiasa konsisten dalam menyuarakan dan memperjuangkan isu-isu rakyat.

Tetapi kesedaran sebegini jauh dari tahap yang perlu untuk PSM menang dalam pertandingan tiga (3) penjuru dengan PNBN-PAS dan PH.

Pada masa ini, pemahaman politik di kalangan rakyat Malaysia adalah berdasarkan perasaan/persepsi etnik, amalan Feudalisme di mana pemimpin politik diharapkan menabur wang kepada penyokongnya dan sikap anti-kiri.

Menurut Sdr Gramsci, adalah amat penting untuk gerakan kiri mencabar ideologi yang hegemonic (dominan) dan mewujudkan satu analisis yang bertentangan (“counterhegemonic”) dengannya. Analisa yang berbeza dan visi yang baru – serta satu naratif berkaitan hala tuju masyarakat untuk mencapai visi baru ini.

Gramsci berpendapat bahawa satu parti kiri hanya akan berjaya apabila sebahagian signifikan rakyat memahami dan menyokong naratif “counter-hegemonic” serta dapat melibatkan diri mereka dalam perjuangan untuk mencapai visi tersebut.

Inilah apa yang kita sedang cuba melakukan melalui Gerakan Marhaen PSM dan kempen-kempen nasional seperti pemulihan masyarakat pasca Covid-19.

Tetapi usaha-usaha ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk membina ombak counter-hegemonic yang cukup kuat untuk bertanding tiga penjuru dan menang.

Kepimpinan Pusat PSM (CC) telah meminta maklum balas dari semua cawangan dan unit negeri berkaitan pendekatan yang harus diambil oleh kita dalam menghadapi PRU15.

Pandangan majoriti adalah kita boleh mengadakan persetujuan elektoral dengan PH jika terma-termanya munasabah.

Selepas itu, CC telah menghubungi PH dan memberitahu mereka bahawa kita sedia berkerjasama dengan PH dalam satu gandingan pilihan raya (electoral pact), dan satu perjumpaan semuka telah pun diadakan.

Cadangan CC adalah untuk mengadakan satu Sesi Perbincangan Dalaman (SPD) untuk mengupas isu ini pada awal tahun depan.

Ada kemungkinan ahli-ahli parti mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan persoalan ini.

Peranan CC adalah untuk memberi ruang untuk semua pihak menyuarakan pandangan mereka masing-masing dan menukar fikiran.

Akhirnya satu keputusan kena diambil – secara konsensus jika semua setuju, ataupun melalui pengundian jika masih ada pendirian yang berbeza.

Selepas itu kita semua harus mengikuti pilihan majoriti. Itulah ertinya “democratic centralism”.

Kita harus mengendali PRU 15 dengan perspektif yang menyeluruh (holistic) dan sikap yang matang.

Kita masih belum mencapai pemikiran counter hegemonic di kalangan orang ramai.

Tahap perjuangan kita pada masa ini adalah di peringkat membina gerakan rakyat, memperluaskan naratif baru terhadap masa depan Malaysia dan memantapkan jentera parti.

PRU 15 merupakan satu “sideshow” untuk kita.

Jika kita dapat menang beberapa kerusi parlimen ataupun dewan undangan negeri (DUN), kita boleh menggunakan pentas itu untuk menyebarkan pandangan counter hegemonic kita. Tetapi kita tidak bergantung kepada kemenangan di PRU semata-mata untuk meneruskan kerja-kerja politik kita.

Kita boleh bergerak secara berkesan dengan aktiviti dan kempen yang PSM sedang anjurkan. Jadi, tidak perlu kita berkompromi terlalu banyak untuk mewujudkan electoral pact supaya dapat bertanding satu lawan satu.

Menghakiskan Budaya Patriarki

Sebagai sosialis, kita semua mesti peka terhadap segala bentuk penindasan yang berlaku dalam masyarakat kita.

Memang kita semua sedar akan penindasan kelas dan diskriminasi etnik. Tetapi ramai antara kita tidak begitu sedar berkaitan penindasan yang berpaksikan gender.

Oleh kerana kita semua dibesarkan dalam budaya berunsur patriarki, ramai beranggapan bahawa interaksi kita dengan wanita dan juga individu LGBT adalah perkara biasa (normal) dan tidak menyedari ianya merupakan satu lagi bentuk penindasan jika ianya menyekat penglibatan orang itu ataupun menyebabkannya terasa malu, tidak selesa ataupun terancam.

Pada tahun lalu, Biro Gender PSM telah menggubal polisi terhadap Gangguan Seksual dalam parti supaya semua wanita dalam parti boleh berada dan bekerja dalam suasana yang selamat.

Polisi ini bukan satu benda hiasan sahaja tetapi akan digunapakai jika berlakunya gangguan seksual dan untuk mencegah gangguan seksual.

Saya harap semua ahli akan memberi kerjasama supaya kita dapat mengurangkan diskriminasi berpaksi gender.

Bersikap realistik dan mencapai yang “mustahil”.

Inilah seruan Sdr Che Guevara. Dan seruan ini adalah tepat kepada situasi kita – cita-cita PSM adalah besar.

Sasaran kita adalah untuk menjadi pembangkang utama di Malaysia dalam jangka masa 20 tahun – suatu matlamat yang ramai beranggap mustahil!

Memang ianya mustahil jika rakyat Malaysia terus tersangkut dalam pemikiran etnik dan feudal.

Pada pemahaman saya, seruan Che bermakna bahawa perkara yang nampak mustahil pada satu takat boleh dicapai jikalau situasi di masyarakat diubah, pemikiran rakyat dibebaskan dari kerangka etnik dan feudal serta kesanggupan parti ditingkatkan.

Jadi seruan Che adalah untuk bersikap realistik, mengenalpasti kerja-kerja yang harus dilakukan untuk melancarkan ombak perubahan dalam pemikiran politik rakyat supaya budaya counter hegemonic dapat mencabar budaya hegemoni.

Kerja-kerja yang kita harus lakukan untuk mencapai matlamat “mustahil” kita adalah:

- Membina gerakan rakyat marhaen kebangsaan dengan sokongan rakyat seluruh Malaysia untuk mengemukakan tuntutan setiap sektor pekerja dan petani. Gerakan ini juga harus melibatkan orang awam yang memperjuangkan seperti isu alam sekitar dan pemanasan global.

- Memperkukuhkan jentera parti ke takat di mana kita mempunyai cawangan lebih daripada 90% kawasan parlimen di negara kita, dan mempunyai ahli yang secukupnya serta sanggup menjadi calon dalam pilihanraya. Calon ini semestinya berpegang kepada prinsip sosialis dan yang tidak boleh dibeli oleh kaum korporat.

- Membina kapasiti Parti kita untuk dapat mengendalikan soalan dan kekeliruan orang biasa terhadap naratif atau visi kiri. Orang awam masih ada banyak keraguan terhadap masyarakat dan ekonomi sosialis – mereka menyoal mengapa wujud krisis ekonomi di Venezuela; samada negara China sudah berubah kepada sistem kapitalis; status hak asasi manusia (human rights) di negara-negara sosialis; kebebasan beragama di negara sosialis; dan bagaimana mendapatkan dana yang mencukupi untuk melaksanakan segala polisi yang dicadangkan oleh PSM tanpa menjejaskan ekonomi negara. Adalah penting kita dapat memberi jawapan yang ikhlas dan jelas pada semua keraguan ini dan menyakinkan orang ramai bahawa pelan tindakan yang disyorkan oleh kaum progresif adalah realistik dan boleh dicapai jika disokong oleh rakyat umum. Usaha ini amat perlu jika kita mahu memajukan naratif counter-hegemonis di kalangan masyarakat umum.

Justeru itu, terdapat banyak kerja-kerja di pelbagai bidang yang perlu dilaksanakan jika kita mahu mencapai matlamat yang kita gariskan di Trolak pada bulan Januari 2020.

Masa depan gerakan sosialis di Malaysia adalah di tangan ahli-ahli PSM.

Saya berharap saudara-saudari akan memberikan komitmen untuk luangkan sedikit masa setiap minggu dan melibatkan diri dalam aktiviti dan diskusi PSM.

Sudah sampai masa untuk PSM melancarkan kempen yang merangsangkan untuk memperkembangkan kuasa rakyat dan membentuk gerakan kiri. Pengalaman tiga (3) tahun yang lalu telah mewujudkan banyak keraguan di kalangan rakyat terhadap kesanggupan parti-parti dalam BN, PN mahupun PH dalam mengendalikan masalah-masalah rakyat.

Marilah kita menggunakan ruang yang wujud sekarang untuk mencetus ombak progresif yang membawa pemikiran sosialis ke seluruh negara Malaysia.

Salam Perjuangan.

Selamat Berkongres!