Oleh Parti Sosialis Malaysia

PUTRAJAYA, Malaysia--Kami, Parti Sosialis Malaysia (PSM), sedang membaca dan membahas analisa dan cadangan yang terkandung dalam RMK-12 kerana ianya mengariskan pendekatan kerajaan Malaysia terhadap beberapa isu yang penting untuk rakyat dan negara.

Walaupun kami masih sedang mengkaji dokumen RMK-12, ada enam perkara penting yang kami ingin membangkitkan untuk perhatian YB Dato Seri dan Unit Perancang Ekonomi pada masa ini.

Adalah harapan kami bahawa maklumbalas ini akan membantu dalam memantapkan lagi strategi dan cadangan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negara Malaysia.

Perkara 1: Matlamat meningkatkan Bahagian Pampasan Pekerja (BPP) dari 37.2% KDNK pada 2020 (m/s I-5) ke 40% KDNK pada 2025 (M/s 1-24)

Kami setuju dengan analisa yang dihuraikan dalam muka surat 1-18 bahawa peningkatan gaji pekerja adalah amat penting dalam memastikan kualiti hidup yang selesa untuk rakyat jelata.

Tetapi BPP adalah satu pengukur yang tumpul dan tidak cukup spesifik bagi tujuan menangani ketidakcukupan pendapatan bagi pekerja di kalangan B40.

Kenaikan gaji CEO, pengurus pengurus kanan, akauntan dan peguam dalam syarikat-syarikat besar boleh meningkatkan BPP tanpa membawa sebarang manfaat kepada pekerja di kalangan B40 dan M40.

Kita perlu menentukan dan memantau BPP untuk tiap desil1 para pekerja di masyarakat Malaysia jika kita mahu meningkatkan kualiti hidup pekerja biasa dari bawah.

Perkara 2: Kegagalan pihak perancangan RMK-12 mengambil kira kekangan yang menghadkan usaha meningkatkan Bahagian Pampasan Pekerja (BPP) kalangan B40.

Pada tahun 2020, gaji median pekerja Malaysia adalah RM 2,062. Ini bererti 50% daripada pekerja kita menerima gaji bulanan yang kurang pada RM 2,062.

Pada tahun 2018 apabila PSM dan MTUC mengesyorkan kenaikan gaji minima dari RM 1000 ke RM 1500, pihak MEF (Malaysian Employers Federation) telah berhujah dengan lantang bahawa kenaikan begini akan memudaratkan ekonomi negara dan menyebabkan pemindahan modal ke negara lain di rantau ASEAN dan kehilangan kerja.

Akhirnya kerajaan hanya bersetuju menaikkan gaji ke RM 1050 sahaja!

Kami berpendapat kerajaan terlalu berwaspada pada masa itu, dan kenaikan gaji minima sebanyak 30 – 40% tidak membawa kesan yang begitu buruk.

Tetapi masalah yang diadu oleh para majikan ada kesahihannya.

Malaysia adalah peserta FTA ASEAN di mana 99% daripada barangan yang dijual-beli di antara negara-negara ASEAN tidak dikenakan cukai impot.

Ini bererti, jika kos pengeluaran barangan konsumer seperti baju, kasut atau beg meningkat di Malaysia, ada kemungkinan pengilang Malaysia akan kehilangan pasaran kepada pengilang di negara ASEAN yang dapat membekalkan barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.

Kegagalan pihak perancang di Jabatan Perdana Menteri mengenalpasti hakikat ini bererti isu ini tidak diteliti dan dibahas dalam dokumen RMK-12 dan satu peluang untuk mencipta kaedah kaedah mengatasi kekangan ini ditidakkan.

PSM telah lama mengesyorkan “gaji sosial” dalam bentuk program seperti pencen warga emas sejagat untuk semua yang berusia 65 tahun ke atas dan yang tidak menerima sebarang pencen, pembinaan lebih banyak rumah PPR untuk disewa murah kepada golongan B40, peningkatan bajet kesihatan supaya kesesakan dan kelambatan yang sering berlaku di hospital kerajaan dapat dikurangkan, dan beberapa program serupa. Program-program seperti ini dapat mengagihkan kekayaan negara Malaysia secara yang lebih adil tanpa menyebabkan meningkatkan kos barangan buatan Malaysia serta kehilangan syer pasaran para pengilang kita.

Perkara 3: Kekeliruan berkaitan istilah “Rumah mampu milik”.

Adalah dinyatakan dalam RMK-12 bahawa rumah di bawah harga RM 300,000 adalah “mampu milik”.(Sila rujuk nota di m/s 4-8) Soalannya adalah, mampu milik untuk desil1 keluarga yang mana?

Pinjaman RM300,000 dengan tempoh bayaran 30 tahun memerlukan bayaran bulanan sebanyak RM2100 sebulan. 50% daripada keluarga-keluarga di Malaysia memperolehi pendapatan bulanan yang kurang pada RM 4,850. Adalah mereka sanggup membayar RM 2100 sebagai bayaran pinjaman bank setiap bulan? Sudah tentu tidak.

Hanya desil (pendapatan bulanan melebihi RM7100) ke atas mampu membeli rumah berharga RM 300,0003.

Pihak perancang RMK-12 harus membahagikan populasi kita ke kumpulan desil dan mengkaji kesanggupan tiap desil membeli rumah.

Perkara 4: Ketidak keseriusan kerajaan mencapai matlamat-matlamat berkaitan rumah mampu milik.

Adalah dicatit dalam RMK-12 bahawa 500,000 rumah mampu milik akan dibina sebelum 2026. Malangnya prestasi kerajaan dalam RM yang sebelum ini amat mengecewakan.

Adalah diharap kerajaan bersikap serius terhadap angka-angka yang disebut dalam dokumen RMK-12 berkaitan bilangan rumah mampu milik yang akan disediakan.

PSM berharap poin-poin yang dikemukakan di bawah perkara 3 di atas berkaitan kesanggupan keluarga B40 membeli rumah dan penubuhan “Housing Trust” yang bukan untuk untung akan diberi perhatian yang serius.

Perkara 5: Pendekatan bahawa kos perkhidmatan kesihatan merupakan satu beban finans pada kerajaan yang harus dikurangkan

Kami amat terkejut dengan mengetahui ada puak-puak dalam kerajaan yang berpendirian sebegini dan berniat mengurangkan bajet kesihatan.

Dinyatakan dalam m/s 4-22: Beban kewangan Kerajaan akan dikurangkan secara beransur-ansur dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang mampan.

Caj penjagaan kesihatan sedia ada akan disemak semula supaya pesakit yang berpendapatan lebih tinggi dikenakan bayaran yang lebih tinggi.

Subsidi untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan akan diperkemas berdasarkan penilaian kelayakan(hanya untuk mereka yang benar-benar miskin).

Beberapa pendekatan termasuk kerjasama awam swasta, sewa untuk beli, sewaan dan perkongsian fasiliti akan diteroka untuk mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan Kerajaan dan usaha akan dilaksana untuk menggalakkan rakyat memiliki insurans dan takaful bagi membiayai perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Kami, PSM, langsung tidak dapat menerima pendekatan ini kerana:

a) Kita sedang mengalami fenomena “wage suppression” di Malaysia di mana pekerja dan petani kita tidak dibayar gaji (ataupun harga produk pertanian) yang setimpal dengan nilai sebenar pengeluaran mereka. Gaji pekerja kilang kita adalah lebih kurang 1/8 ke 1/6 gaji yang diterima oleh pekerja di kilang yang mengeluarkan barangan yang sama dan dengan teknologi yang sama di negara Jerman ataupun Amerika Syarikat. Perbezaan dalam gaji disebabkan oleh kuasa monopoli syarikat gergasi yang menguasai rantaian pengeluaran antarabangsa (global supply chains). Tetapi kerajaan kita mahu pekerja Malaysia menerima gaji yang rendah supaya Malaysia boleh bersaing di pasaran antarabangsa dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

b) Oleh kerana pekerja dan petani Malaysia berkorban dan bekerja untuk pendapatan yang rendah demi kepentingan negara, adalah wajar mereka menikmati “gaji sosial” seperti dihuraikan di perkara 2 di atas. Adalah tanggungjawab kerajaan untuk memperimbangkan pengagihan kekayaan negara melalui cukai terhadap untung korporat supaya dapat membekalkan perkhidmatan asas dengan caj yang murah.

c) Ramai di kalangan B40 dan M40 menghadapi masalah menampung kos hidup keluarga. Beban finans mereka akan naik lagi jika setiap keluarga “yang bukan miskin” dikenakan bayaran RM300 – RM400 sebulan untuk insurans kesihatan.

d) Pada masa ini pembiayaan perkhidmatan di hospital awam adalah melalui sistem “global budget” di mana hospital-hospital kerajaan diberi sejumlah dana untuk memberi rawatan pada semua yang datang. Jika sistem pembiayaan ditukar ke kaedah fi untuk setiap jenis rawatan (fee-for-service), kos rawatan akan naik mendadak. Birokrasi untuk kendalikan pembiayaan juga memerlukan bajet yang besar.

e) Sistem kesihatan yang sedia ada di Malaysia adalah didasarkan pada prinsip “kita jaga kita” dan ianya mewujudkan solidariti di kalangan masyarakat dan memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia satu masyarakat penyayang . Cadangan dalam m/s 4-22 berpotensi menghancurkan semangat kemasyarakatan.

Perkara 6: Unsur-unsur “Greenwashing” dalam dokumen RMK-12

Pemanasan dunia akibat pelepasan karbon dioksida, methane dan gas-gas “rumah hijau” (GHG) yang lain adalah satu masalah yang amat serius dan kami menerima baik perhatian yang diberi oleh RMK-12 terhadap masalah ini.

Tetapi kami kurang pasti terhadap kesahihan beberapa angka yang diberi dalam dokumen RMK-12 termasuk –

-Intensiti pelepasan gas rumah hijau di Malaysia pada tahun 2016 telah dikurangkan 29.4% berbanding tahun 2005. (m/s 8-4)

-Kadar kitar semula sisa isi rumah telah mencapai tahap 30.7% (m/s 8-3)

-55.3% daripada muka bumi Malaysia diliputi hutan. (8-7)

-28.5 juta pokok telah ditanam antara 2015 dan 2020.(m/s 8-5)

Berkaitan intensiti pelepasan gas hijau setiap unit KDNK

-Kami ingin mengetahui bagaimana index ini dikira. Apakah andaian-andaian (assumptions) yang dipakai untuk menganggarkan pelepasan gas rumah hijau di setiap sektor?

-Adakah KDNK 2005 dan 2016 diukur dengan nilai ringgit semasa ataupun adakah impak inflasi ringgit diambil kira? (Penambahan dalam index harga pengguna adalah lebih daripada 22% antara 2005 dan 2016).

-Penjanaan kuasa elektrik merupakan sumber terbesar pelepasan GHG di Malaysia. Ianya telah menyumbang 45% jumlah GHG yang dilepaskan di Malaysia pada tahun 20146

-Penggunaan batu arang telah menambah daripada 20.9% dalam fuelmix penjanaan kuasa elektrik pada tahun 20077 ke 43% pada tahun 2018.

-Pembakaran batu arang mengeluarkan hampir dua kali lebih carbon dioxida untuk tiap unit kuasa elektrik yang dijana berbanding gas asli. Ertinya intensiti pelepasan GHG untuk setiap unit kuasa elektrik yang dijana telah meningkat antara 2007 dan 2018.

Berkaitan kadar kitar semula sisa isi rumah pula,

- bagaimanakah kita dapat mencapai kadar 30.7%? Pada tahun 2012, hanya terdapat 10 tapak pelupusan sisa sanitari di antara jumlah 167 tapak pelupusan sisa di Malaysia10. Adakah bilangan tapak sanitari ditingkatkan?

- Jika sisa sampah domestik diasingkan di peringkat rumah pun, sehingga kini kita masih gagal mengamalkan konsep pengasingan sampah domestic. Ianya dicampur balik bila dikutip kerana lori-lori kutipan sampah tidak ada ruang-ruang yang berasingan untuk kategori sisa yang berlainan.

Kenyataan bahawa 55.3% daripada muka bumi Malaysia diliputi hutan menyamarkan fakta bahawa 2/3 kawasan yang digazet sebagai hutan telah dibalak pada takat ini (tetapi masih belum ditukar gazetmennya).

Jika kita mahu mengatasi ancaman pemanasan dunia akibat pelepasan GHG, kita perlu mengaturkan strategi yang berkesan dan yang berdasar pada fakta yang benar.

Negara-negara harus elak daripada memberi laporan yang ada unsur “greenwashing” dan yang mengandungi angka-angka yang tidak benar.

Syor PSM adalah satu jawatankuasa teknikal harus ditubuhkan dengan penglibatan para akademik dan juga NGO alam sekitar untuk memantau pelepasan GHG di tiap sektor yang berkenaan supaya kita oleh dapat angka-angka yang benar.

Kita perlu data yang sahih untuk menangani perubahan iklim secara yang berkesan.

Kami berharap dapat peluang berbincang isu-isu yang dibangkit di atas dengan pihak YB bersemuka ataupun melalui sesi atas talian, dan menunggu respons pihak YB.