PUTRAJAYA, Malaysia--Operasi pembersihan kediaman warga Maritim Malaysia yang terjejas banjir diteruskan hari ini oleh Kelab Kebajikan & Sukan Maritim (KESMAR) dengan melibatkan seramai 60 individu yang terdiri daripada Pegawai dan Anggota daripada Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya dan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team).

Sebanyak 8 buah rumah sempat dibersihkan pada hari kedua operasi pembersihan membabitkan kediaman dikawasan Dengkil, Bangi, Kampung Bersatu Puchong, Shah Alam dan Telok Panglima Garang.

Sementara itu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia diketuai oleh Pengerusi, Yang Berbahagia Datin Nor Zaida binti Yazid, isteri kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia turut hadir ke kediaman warga terjejas banjir bersama seramai 6 lagi ahli jawatankuasa untuk menyerahkan sumbangan kilat berupa keperluan asas harian disamping menghadirkan diri bagi memberi sokongan moral kepada yang terjejas.

Keadaan 8 kediaman yang terjejas ketika ini masih lagi dalam usaha pembersihan dan pembersihan bagi kediaman warga yang lain akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan semasa banjir di mana terdapat beberapa kawasan yang lain masih digenangi air.

Selebriti, Hisyam Hamid juga pada hari ini masih berkesempatan seharian bersama pasukan pembersihan dan sempat menghadirkan diri di empat kediaman yang terjejas bagi membantu kerja-kerja yang dijalankan. Sedikit sebanyak dengan kehadiran figura ini, kesedihan mereka yang terjejas banjir dapat diubati terutamanya buat golongan suri rumah dan anak-anak kecil.