Oleh Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, Malaysia--Keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam "siatan" kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak menghairankan malah telah dijangkakan.

Saya merujuk kepada tulisan-tulisan saya, khususnya dalam akhbar Sinar Harian, berkenaan apa yang saya labelkan sebagai sumbang mahram korporat yang turut melibatkan institusi-institusi kerajaan.

Engkau gosok, picit dan urut belakang aku, aku gosok, picit dan urut belakang engkau. Engkau tak kacau aku, aku tak kacau engkau. Ada habuan kita kongsi.

Tapi kalau engkau pulas si anu aku, aku picit si anu engkau.

Dalam kes yang dipautkan di bawah ini, satu dunia tahu pasal SC telah buat kenyataan yang ia akan "siasat" isu perniagaan saham Azam Baki.

Yang boleh jadi banyak orang tidak tahu ialah SPRM sendiri sedang "disiasat" SC bersabit kes-kes berkaitan percanggahan kepentingan, "insider trading" dan pengubahan wang haram.

Semua orang yang terlibat atau berminat dengan dunia korporat dan pasaran saham tahu bahawa SC sendiri telah menyiasat dan mensabitkan beberapa orang tokoh korporat daripada pelbagai kaum dalam kegiatan "insider trading" iaitu menjual beli saham dengan maklumat dalaman tapi tidak dibawa ke mahkamah. Habis-habis sangat dikompaun.

Konklusif atau tidak hasil siasatan SC ke atas Azam Baki itu bukanlah isu pokok. Isu pokoknya ialah Azam Baki sendiri tidak menafikan pemilikan saham yang dipersoalkan itu. 

 
Cuma dia mendakwa adiknya, Nasir Baki, "menggunakan" akaun Central Depository System (CDS) miliknya untuk berniaga.

Takkanlah SC, dengan berpengerusikan Syed Zaid Albar dan ahli-ahli lembaga yang pakar dalam hal urus niaga sekuriti, tak boleh bagi tahu kita sama ada betul atau salah perbuatan pinjam meminjam CDS ini? 
 
Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam boleh siasat Azam Baki daripada aspek tatatertib.

Takkanlah urus niaga yang dilakukan dalam tahun 2015 dan 2016 tidak boleh dikesan dan disahkan? Lainlah kalau tahun 1972, bila saya mula-mula belajar buat laporan pasaran saham. 
 
Masa itu urusniaga dicatat atas papan hitam dan disimpan dalam "ledger". Sekarang dunia digital Tuan-tuan dan Puan-puan.