Oleh Penyumbang INS

KUALA LUMPUR, Malaysia--Duta Besar Brian McFeeters melawat Kelantan pada 18 dan 19 Januari buat pertama kali atas kapasiti rasminya sebagai Duta Besar A.S. ke Malaysia. 

 
Dalam lawatan dua hari itu, Duta Besar McFeeters melancarkan projek Dana Duta untuk Pemeliharaan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membantu memelihara seni tempatan yang semakin pupus, Rebana Kercing. 
 
Duta Besar McFeeters turut bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, pegawai kerajaan negeri yang lain, ahli akademik, pelajar universiti dan pemimpin muda, serta anggota media.

Lawatan Kelantan dimulakan dengan kunjungan hormat Duta Besar McFeeters ke atas Menteri Besar YAB Dato’ Ahmad Yakob di pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bercakap mengenai harapan mereka untuk terus mengukuhkan hubungan A.S.-Kelantan. 
 
Kedutaan A.S. mempunyai hubungan yang lama terjalin dengan Kelantan melalui program pendidikan dan perkongsian untuk membangunkan kemahiran keusahawanan. Duta Besar McFeeters turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terjejas akibat banjir di Kelantan baru-baru ini. 
 
Pada 30 Disember, Kedutaan A.S. mengumumkan sumbangan RM420,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk membantu usaha bantuan banjir di seluruh negara.

Di Tumpat, Duta Besar McFeeters secara rasmi mengumumkan pelancaran anugerah Dana Duta untuk Pemeliharaan Budaya bagi pemeliharaan Rebana Kercing. 
 
Projek ini merupakan kerjasama antara UMK dan Kedutaan A.S. untuk memelihara seni Rebana Kercing yang semakin pupus. Ia melibatkan dokumentasi proses pembuatan dan persembahan, kedua-duanya merupakan komponen penting dalam seni. 
 
Pemangku Naib Canselor UMK Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, "Pengiktirafan dan sokongan antarabangsa yang diterima membuktikan kekuatan hubungan A.S.-Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk usaha pemuliharaan warisan tidak ketara ini di seluruh dunia."

Projek Rebana Kercing menandakan ulang tahun ke-20 Dana Duta untuk Pemeliharaan Budaya. Dana ini mula-mula dilancarkan pada April 2001. Dalam ucapannya, Duta Besar McFeeters berkata: “Kerjasama antara rakyat dalam bidang pemeliharaan ini adalah bukti kepada hubungan yang berkekalan antara Amerika Syarikat dan Malaysia. 
 
"Ia bersesuaian dengan tahun ini yang menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan persahabatan kita yang berterusan. Harapan saya ialah pelancaran projek penting ini pada hari ini hanya akan menjadi yang pertama daripada banyak lagi projek menarik yang akan datang tahun ini,” katanya.

Projek Rebana Kercing, diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ng Siew Foen, Pengarah Pusat Antarabangsa UMK, akan dijalankan di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan dengan anggaran sebelas bulan untuk disempurnakan. 
 
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan YBM Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Duta Besar McFeeters berpeluang mengenali lebih lanjut mengenai Kelantan semasa pertemuannya dengan lima orang alumni program pertukaran Kedutaan A.S. Malaysia. 
 
Alumni-alumni ini bercakap tentang pengalaman mereka di A.S. dan bagaimana program berkenaan memberi kesan positif kepada kehidupan apabila mereka kembali ke Malaysia.

Duta Besar McFeeters juga melawat Sudut Amerika di Kampus UMK di Bachok di mana beliau berjumpa dengan pemimpin muda pelajar dan berkongsi pengalamannya sebagai diplomat dalam sesi Chat with a Diplomat. 
 
Duta Besar melawat perpustakaan dan Sudut Amerika Kelantan, yang dibuka pada tahun 2018, dan diberi taklimat tentang pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan di sana. 
 
Program akan datang di Sudut Amerika merangkumi pameran tentang perjuangan global untuk memerangi penyebaran penyakit dan kelestarian alam sekitar, serta bengkel dan ceramah mengenai pemerkasaan wanita dan literasi media.

Duta Besar McFeeters juga meluangkan masa untuk melawat beberapa mercu tanda ikonik Kelantan di Kota Bharu. Beliau melawat Pasar Siti Khadijah dan belajar ‘kecek Kelate’ dengan mokcik (makcik) dan kakok (kakak) yang berniaga di pasar. 
 
Duta Besar McFeeters turut melawat Menara Rehal yang berdiri megah dan masjid negeri Masjid Muhammadi di pusat bandar Kota Bharu.