Oleh Penyumbang INS
 
KUALA LUMPUR, Malaysia--Bagi pihak masyarakat sivil, kami amat kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob baru-baru ini mengenai dakwaan terhadap Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Bin Baki. Perdana Menteri dengan nyata telah mengelak kontroversi yang sedang berlaku.
 
Suruhanjaya Sekuriti dengan jelas menyatakan bahawa akaun dagangan saham itu dikendalikan oleh Tan Sri Azam Baki sendiri. Ini bercanggah dengan kenyataan akhbar beliau sebelum ini yang menyebut akaun itu digunakan oleh adiknya bagi mengelakkan konflik kepentingan. 

 
Dalam apa pun keadaan, Suruhanjaya Sekuriti harus memperjelaskan sama ada sebarang saham dalam akaun dagangan Tan Sri Azam Zaki telah dibeli dan dibayar oleh adiknya. 
 
Jika benar, perlu ada dokumen yang disempurnakan oleh Tan Sri Azam Zaki yang membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya.
 
Sekiranya ini benar, maka Tan Sri Azam Baki, pada tahun 2015 di setiap masa yang berkenaan, selaku pengarah siasatan SPRM, telah membeli saham melebihi RM100,000.00, yang mana ia melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan:
 
a) Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 – Pemilikan dan Pengisytiharan Aset oleh Pegawai Awam. Pekeliling ini, di samping semua pekeliling kerajaan, mengikat semua penjawat awam yang diambil bekerja di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengawal kelakuan mereka.
 
b) Seksyen 10 Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 juga dengan jelas menetapkan keperluan untuk penjawat awam mengisytiharkan sebarang pembelian saham kepada Ketua Jabatan mereka.
 
Sehingga kini, masih tiada pengesahan sama ada pengisytiharan aset telah dilaksanakan atau tidak.
 
Sekiranya Tan Sri Azam Baki sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan, tindakan mesti diambil. Demi akauntabiliti terhadap awam, adalah penting untuk pihak kerajaan menjelaskan agensi yang wajar dan yang sebenarnya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang telah bertindak melanggar pekeliling kerajaan, sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam.
 
Sekiranya tidak terdapat sebarang kesan dan akibat tertentu daripada pelanggaran tersebut, kami menggesa agar prosedur yang sewajarnya dilaksanakan pada masa hadapan, supaya lebih jelas untuk badan kerajaan yang bertanggungjawab memantau pematuhan terhadap peraturan tersebut bagi menjawab persoalan apakah jenis tindakan tatatertib yang diambil apabila seseorang didapati melanggar peraturan kerajaan?
 
Kami mengulangi desakan untuk siasatan bebas terhadap pembelian saham Tan Sri Azam Baki, kerana ini juga menimbulkan persoalan serius berhubung dengan  konflik kepentingan yang berlaku, dalam pembelian saham melibatkan anggota tertinggi SPRM.  
 
Demi memulihkan integritinya serta mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap badan pencegah rasuah itu, Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki perlu berehat sementara sehingga siasatan yang telus dapat membuktikan secara konklusif, tanpa sebarang keraguan munasabah, bahawa beliau tidak melanggar mana-mana peraturan sebagai penjawat awam.
 
Transformasi SPRM yang dicadangkan oleh IDEAS, Majlis Peguam Malaysia,  (C4), dan Transparency International Malaysia pada 2015 untuk menjadikan ianya badan bebas disamping perlaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional hendaklah menjadi keutamaan bukan sekadar untuk meningkat keberkesanan SPRM tetapi adalah untuk mengelakkan kes seperti Tan Sri Azam Baki dan yang seumpamanya berulang di masa akan datang.

Dikeluarkan Bersama oleh:
 
1. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
2. Transparency International Malaysia
3. C4
4. RasuahBusters
5. Gabungan Bertindak Malaysia
6. BERSIH
7. UNDI 18