Oleh Chong Yee Shan

KUALA LUMPUR, Malaysia--Parti Sosialis Malaysia amat tidak puas hati dengan jawapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Rina Harun bahawa kerajaan tidak bercadang mengharamkan perkahwinan bawah umur pada masa yang terdekat.

Perkahwinan kanak-kanak atau bawah umur adalah salah satu masalah yang wujud akibat ketidaksamaan gender dan system patriarki. Ketaksamaan gender bermakna wanita dan kanak-kanak perempuan dilayan sebagai warganegara kelas kedua, dinafikan hak asasi mereka dan kurang dihargai kerana gender mereka.

Kerajaan Tidak Serius dan berdolak dalik!

Parti Sosialis Malaysia ingin mengingatkan  Menteri Rina Harun bahawa pada Ogos 2020, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah maklumkan di Parlimen bahawa kementerian komited untuk menangani isu perkahwinan bawah umur dan kerajaan ada satu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020 sehingga 2025.

Pada Mac 2021, sekali lagi Menteri Rina Harun menyatakan bahawa Kerajaan komited dalam menangani  isu perkahwinan bawah umur sempena diskusi yang di anjurkan oleh UNICEF pada Hari Wanita Sedunia.  

Menteri berkali-kali memberi janji dan mengumumkan bahawa kerajaan komited untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur, dan ada pelan perancangan, tetapi sehingga sekarang Menteri telahpun gagal dalam menjalankan tugas beliau dan juga gagal melaksanakan Pelan Strategi Kebangsaan tersebut.

Selain daripada itu, Menteri Rina Harun juga berkata dalam Parlimen bahawa kerajaan bersetuju untuk menetapkan had umur berkahwin pada usia 18 tahun tetapi ini adalah tertakluk kepada kuasa Majlis Agama Islam Negeri.

Akan tetapi, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada Oktober 2014  telah menjelaskan bahawa “perkahwinan kanak-kanak tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ di Malaysia”.

Tambahan pula, Jawatankuasa tersebut juga setuju “kesan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.”

Pada masa yang sama, perkahwinan bawah umur bukan sahaja melibatkan warga Islam, tetapi juga menglibatkan warga bukan Islam. Maka, keputusan kerajaan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur tidak harus bergantung kepada kuasa Majlis Agama Islam Negeri tetapi ia adalah isu yang memerlukan kewibawaan politik dan perlu ditangani secara keseluruhan.

Selain daripada itu,  tanggungjawab untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur perlu ditangani oleh semua pihak berkuasa kerana perkahwinan bawah umur melibatkan banyak faktor seperti kemiskinan, kesihatan,  pendidikan,  perlindungan sosial system patriarchy dan lain-lain.

Oleh sebab itu, semua agensi kerajaan harus melibatkan diri dalam usaha mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Golongan individu bawah umur dan kanak-kanak harus dilihat sebagai mangsa utama dalam isu ini dan segala penyelesaian harus berdasarkan kepentingan mereka dalam  menamatkan perkahwinan bawah umur dan kanak-kanak.

Keluarga dan komuniti mesti terlibat dalam mengubah norma sosial negatif yang mengehadkan pilihan kanak-kanak.

Dengan kerjasama daripada semua pihak, kita boleh mewujudkan kesaksamaan gender di rumah dan di ruang awam. Jangan rompak hak untuk menikmati zaman kanak-kanak!

Justeru, KPWKM dan kerajaan, jangan beri alasan lagi, jika ada kehendak politik, haramkan perkahwinan bawah umur segera!

*Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Biro Gender PSM.*