Oleh Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR, Malaysia--Makanan adalah hak asasi manusia, seperti dalam artikel 25 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Pekara ini juga selaras dengan matlamat kedua Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk menghapuskan kelaparan dan menyelesaikan masalah keselamatan makanan sedunia menjelang tahun 2030; termasuk bagi golongan miskin dan berisiko, dan menyediakan akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi.

Sebuah kerajaan mempunyai kewajipan untuk tidak mengganggu usaha rakyat mereka dalam mendapatkan makanan, memberi perlindungan apabila terdapat pelanggaran hak makanan, dan memberi peluang untuk membantu rakyat dalam memperoleh makanan.

Di Malaysia, makanan menjadi sebahagian besar daripada perbelanjaan harian Rakyat. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada 2020, sumber utama pendapatan iaitu daripada pekerjaan bergaji dan bekerja sendiri, masing-masing mencatatkan penurunan negatif 16.1 peratus dan negatif 9.7 peratus.

Penurunan ini disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, pengurangan waktu bekerja khususnya yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

Bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2500, terdapat penurunan tambahan pendapatan isi rumah sebanyak 12.5 peratus.

Kita juga menyaksikan 20.0 peratus isi rumah golongan M40, dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, memasuki kumpulan B40.

Secara purata, pendapatan B40 dan M40 masing-masing menurun sebanyak 15.9 peratus dan 36.9 peratus.

Apa yang turut membimbangkan ialah tinjauan yang dijalankan oleh DOSM yang mendapati bahawa penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada pendapatan isi rumah dan seterusnya menjejaskan struktur isi rumah. Tinjauannya menunjukkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah pada 2020 berbanding 405.4 ribu isi rumah pada 2019.

Sementara itu, insiden kemiskinan tegar dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus pada 2019 yang melibatkan 27.2 ribu isi rumah kepada 1.0 peratus yang melibatkan 78.0 ribu isi rumah pada 2020.

Harga makanan sejak kebelakangan ini telah meningkat secara mendadak dan menjadi terlalu tinggi.

Beberapa faktor yang saling berkaitan telah menyumbang kepada keadaan ini: Perang di Ukraine menyebabkan kenaikan harga minyak terus meningkat, sekatan makanan Rusia di Laut Hitam, perang juga telah menyekat bekalan baja dengan teruk dan terdapat kesusahan rantaian bekalan dan logistik untuk kembali ke tahap normal bagi memenuhi permintaan tinggi selepas penutupan ekonomi global berpanjangan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Di Malaysia, kebergantungan yang berlebihan kepada buruh asing kebanyakan mereka tidak kembali bekerja di ladang-ladang, & kedai borong dan runcit kita, dan hujan lebat baru-baru ini telah menjejaskan hasil tuaian dan hasil tanaman.

Semua ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa negara kita sendiri terlalu bergantung kepada import makanan akibat pengabaian ekonomi penghasilan makanan ruji luar bandar.

Pada 2022 DOSM menegaskan bahawa nilai import Malaysia melepasi paras RM100 bilion buat kali pertama pada Mac 2022 selepas meningkat 29.9 peratus kepada RM104.9 bilion daripada RM80.8 bilion pada 2021. Barang penggunaan sahaja (8.3 peratus daripada jumlah import) mencatatkan peningkatan sebanyak 22.4 peratus daripada RM7.1 billion pada 2021 kepada RM8.7 billion pada 2022.

Tambahan pula, keadaan imbangan pembayaran yang semakin merosot di negara ini telah menyebabkan nilai Ringgit kita jatuh berbanding kebanyakan mata wang utama, sekali gus menjadikan harga import makanan lebih tinggi!

Sumber utama protein seperti ayam, ikan kembung dan ikan cencaru telah meningkat masing-masing sebanyak 16.7 peratus, 18.7 peratus dan 76.9 peratus dalam tempoh 3 bulan lepas. Sayur-sayuran seperti kacang panjang dan kobis bulat telah naik 100 peratus. 
 
Cili, yang sudahpun menjadi mahal dengan harga RM15/kg, telah meningkat sebanyak 24.9 peratus. Walaupun Malaysia secara tradisinya merupakan masyarakat pertanian, kebergantungan kepada makanan import baru-baru ini telah menyebabkan Rakyat berada dalam keadaan terhimpit.

Kerajaan cuba memperhebatkan subsidi untuk barangan makanan termasuk ayam, telur, dan beras, tetapi ternyata ia tidak menghalang harga makanan daripada melambung tinggi.