KUALA LUMPUR, Malayia: Persidangan Khas ASEAN – Australia sempena ulangtahun ke-50 pertalian di antara kedua-dua entiti memberikan gambaran jelas kepada negara anggota serantau dan juga kepada kuasa luar terutamanya China.
 
Bagi ASEAN, ia masih membayangkan realiti perangkap takuk lama yang bersandarkan kepada orientasi berkecuali dan juga kegusaran dan keengganan untuk memberikan mesej berani, sepakat dan jelas kepada Beijing dalam mempertahankan hak dan kepentingan entiti serantau ini dan juga negara anggota, terutamanya membabitkan pertikaian di Laut China Selatan.
 
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese memberikan gambaran jelas mengenai keinginan strategik untuk memikat Asia Tenggara dan ASEAN, dengan tindakan soft power yang diambil dalam memperkasa jalinan dan jaringan berangkai dalam memupuk pertalian di antara kedua-dua entiti yang saling berkait ini.
 
Jalinan pertalian Asia Tenggara dan Australia bukan sahaja bersandarkan kepada legasi sejarah pertalian ekonomi dan politik serta kedudukan geografi yang saling berkait, namun lebih kritikal adalah kebergantungan simbiosis yang melibatkan realiti percaturan semasa hubungkait impak keselamatan serantau yang akan memberikan kesan langsung kepada kedua-dua pihak sekiranya konflik tercetus dalam mana-mana penjuru di rantau ini.
 
Canberra sedar dan gusar tentang realiti ini, dan landskap keselamatan dan polemik persaingan kuasa serta perluasan pengaruh dan cengkaman Beijing yang semakin meluas memberikan kesedaran realiti baharu kepada Australia untuk memperkukuh jaminan sokongan serantau sebagai fallback option yang berkesan, setidak-tidaknya dalam jangka masa pendek sementara meraih pulangan jangka panjang sandaran keselamatan dengan Washington melalui AUKUS dan Quad.
 
Dalam persidangan khas ini, Albanese strategik dalam memberikan mesej kepada Beijing bahawa walaupun China kekal nekad untuk mencengkam rantau ini melalui perluasan soft power dan hard power, Australia akan terus melemahkan ikatan ini secara berperingkat dengan berlandaskan kepada tawaran sandaran alternatif cegah rintang dan sokongan perlindungan bersama keselamatan dengan sokongan berterusan Barat dan Washington.
 
Parti Labor di bawah Albanese mempunyai kesedaran dan perancangan sendiri dalam mentafsir realiti ancaman dan corak keselamatan terkini Australia yang memerlukan sandaran rantau Asia Tenggara dan ASEAN. Australia pula dilihat dalam lensa dan sudut berlainan oleh rantau Asia Tenggara, sebagai satu simbol keberadaan Barat di rantau Indo Pasifik ini dan sebagai lambang containment strategy oleh Washington.
 
Asia Tenggara menjadi medan kritikal bagi Australia dalam domain ekonomi, maritim dan keselamatan. Laluan perdagangan ke Asia Timur dan juga medan penampan bagi konflik di Laut China Selatan atau Taiwan menjadi faktor penentu masa depan Australia.
 
Hakikat ini diakui sendiri oleh Albanese, yang menyatakan bahawa rantau ini merupakan medan penentu hala tuju baharu Australia, dan sebagai penghubung kepada Barat dan Timur.
 
Dalam pada landskap perlumbaan senjata dan persaingan kuasa yang kian menular, Asia Tenggara memerlukan rangkaian sandaran alternatif terutamanya dalam domain keselamatan dan pertahanan.
 
Percubaan untuk mendapatkan jaminan cegah rintang yang lebih berkesan daripada Barat dan sekutu tradisional Washington akan mengakibatkan reaksi dan tindak balas dari Beijing yang lebih mengancam, dan negara serantau sedar tentang realiti ini. Australia dilihat sebagai the softer and safer partner yang berkemungkinan tidak akan menyebabkan tindak balas tegas dari Beijing.
 
Apabila tindakan China di Laut China Selatan semakin meningkat dari segi skop kekuatan, legitimasi dan bargaining chip negara anggota untuk mendapatkan justifikasi sokongan dan sandaran Barat juga turut meningkat. Peluang ini diambil dalam Persidangan di Melbourne dalam menumpang keinginan Australia untuk mendekati diri dengan rantau ini. Namun, perpecahan dalaman di ASEAN dan juga pengaruh Beijing menyebabkan impak sebenar percaturan untuk memperdalam ikatan dengan Australia di persidangan tersebut tidak dapat dicapai sepenuhnya.
 
Ini turut mencetus kesedaran di Barat mengenai kelemahan ASEAN untuk berdepan dengan tuntutan China, dan menuntut Barat untuk beralih kepada strategi secara bilateral dan langsung dengan negara individual, terutamanya dengan Hanoi dan Manila baru-baru ini.
 
Pakatan strategi AUKUS (UK, Australia dan Amerika Syarikat) menjadi pencetus dilema baharu sebelum ini yang menyaksikan tindak balas berbeza rantau. Indonesia dan Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kapal selam di bawah rencana AUKUS untuk mencetus ketidakstabilan serantau dan memperdalam perlumbaan senjata. Namun, persepsi dan naratif yang sering digendang adalah risiko kapal selam yang bersenjatakan nuklear di bawah AUKUS yang dibekalkan oleh Washington. 
 
Hakikatnya, kapal selam AUKUS ini adalah berkuasa nuklear dan bukan bersenjatakan nuklear. Keberadaan kapal selam AUKUS memberikan sandaran alternatif baharu dalam memacu sinergi cegah rintang yang lebih berkesan terhadap kapal selam dan kapasiti kuasa laut Beijing yang jauh lebih besar dan berkuasa daripada kapasiti bersama seluruh negara anggota ASEAN.
 
Dalam realiti percaturan kuasa ini, negara serantau tidak berupaya untuk menangkis ancaman dan kapasiti keseluruhan Beijing jika tercetusnya konflik, terutamanya dalam domain perang laut dan udara. Walaupun sandaran dan sokongan Barat masih ditagih, negara serantau masih terikat dengan kepompong lama dalam orbit ekonomi Beijing dan mengharapkan tawaran ekonomi dan modal dari Barat yang lebih pantas dan kurang dari segi kriteria.
 
Jaringan pelaburan dan tawaran ekonomi Barat seperti Indo Pacific Economic Framework (IPEF) masih tidak mendapat perhatian dan fokus sewajarnya dengan rantau ini berbanding dengan tawaran dan pulangan dari mekanisme serupa yang diketuai Beijing terutamanya Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).
 
 IPEF meliputi kriteria yang lebih berlandaskan norma dan nilai, termasuk garisan tetapan keterbukaan dan anti-rasuah, serta piawaian dan hak pekerja. Dengan kelebihan RCEP dari segi pasaran, modal dan peluang masa depan serta tetapan dan piawaian norma yang kurang ketat berbanding IPEF, negara serantau lebih terpikat dengan pulangan jangka pendek dari segi keluasan pasaran dan prospek pelaburan dan modal yang lebih komprehensif dan jitu.
 
Persidangan Ulangtahun ke-50 ASEAN-Australia ini menyaksikan termeterainya Deklarasi Melbourne yang mengutarakan sokongan bersama ke arah rantau Asia Tenggara dan Indo Pasifik yang aman dan stabil dan juga meliputi pelbagai capaian isu serantau dan global yang lain.
 
Deklarasi ini juga menampilkan perpecahan nyata dalam ASEAN, di mana Manila dan Canberra berhasrat untuk merangkumi rujukan terhadap keputusan International Court of Justice (ICJ) 2016 yang memihak kepada Filipina dan juga tindakan terkini Beijing di Laut China Selatan yang mengancam kestabilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.
 
Kedua-dua faktor ini tidak dimasukkan dalam Deklarasi terakhir. Namun begitu, Australia tetap melihat peranan dan pengaruh ASEAN dalam jaminan strategi negara tersebut dan masih memberikan sandaran terhadap keberkesanan ASEAN untuk mengekalkan status quo rantau.
 
Walaupun terpaksa berdepan dengan pulangan negatif buat masa kini dengan memikat ASEAN walaupun kekangan polisi tidak berkecuali yang nyata, Australia tetap strategik untuk kekal menyuntik pelaburan jangka panjang dengan memperluas soft power dan pikatan terhadap rantau ini, dengan kegusaran terhadap Beijing sebagai faktor utama.
 
Australia secara diplomatic dan terbuka menyokong pendirian ASEAN dalam rencana kestabilan dan juga hasrat ASEAN dalam mendokong keamanan serantau termasuk ASEAN Outlook on the Indo Pacific.
 
Penganjuran Persidangan Khas ke-50 ini memberikan mesej jelas kepada Beijing bahawa Australia tidak ketinggalan dalam menyekat kemaraan Beijing dan bertindak pantas untuk menyalurkan bantuan dan sokongan moral dan kewangan.
 
Sebanyak $1.3 bilion disalurkan kepada Asia Tenggara bagi tujuan mempertingkat pelaburan dan perdagangan, terutamanya dalam domain peralihan tenaga dan tenaga baharu dan pembangunan infrastruktur. Selain itu, sebanyak  $64 juta diperuntukkan untuk keselamatan maritim dan sebanyak $140 million disalurkan untuk pembangunan infrastruktur. Strategi lain yang dicanang termasuk mewujudkan  ASEAN-Australia Centre di Canberra dan juga peningkatan dana bagi program biasiswa kepada modal insan dari ASEAN.
 
Kerajaan Albanese turut mengumumkan kelonggaran visa bagi ahli perniagaan dari rantau ini, dan kesemua ini memberikan isyarat jelas hasrat Australia untuk meraih pulangan berangkai berlunaskan pembinaan kepercayaan yang tinggi.
 
Pulangan daripada spillover impact daripada landasan low politics ini termasuk pemerkasaan pertukaran kepakaran, hubungan sesama manusia dan pembangunan bersama pelancongan dan perniagaan akan membuahkan pulangan tinggi dalam domain high politics yang membabitkan tujahan keselamatan dan pertahanan dan kerjasama ketenteraan serta penerimaan keberadaan ketenteraan Australia di rantau ini.
 
Sejak beberapa dekad lepas, pertalian Canberra dengan Asia Tenggara telah terjejas dengan retorik pemimpin dan tindak balas negara berdasarkan kepada keperluan politik domestik dan juga persekitaran keselamatan yang memaksa haluan dasar luar yang bersifat status quo.
 
Jurang kepercayaan dalam pertalian Australia – ASEAN di antara retorik hala tuju orientasi pemimpin dan juga perbezaan dari segi sistem politik, budaya, governans dan domain corak pemerintahan menjadi semakin melebar pada tahun-tahun yang lepas.
 
 Kini merupakan masa terbaik bagi kedua-dua entiti untuk memperbaiki trust gap ini, seterusnya mencorak lembaran baharu pertalian dua pihak yang bakal memberi cabaran kepada taktik dan strategi China pada dekad akan datang, terutamanya apabila pendirian Asia Tenggara mungkin akan berubah mengikut realiti ancaman akan datang akibat daripada tindakan Beijing itu sendiri. 
 
*Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Dasar Luar, Strategi dan Keselamatan Universiti Malaya.*