By BERSIH

KUALA LUMPUR, Malaysia--Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan bahawa perhimpunan aman adalah hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama hak bersuara dan hak berpersatuan.

Hak untuk mengadakan protes aman terkandung dalam dokumen perundangan tertinggi negara kerana ianya telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah negara dalam membentuk halatuju dan memberi tekanan terhadap pihak berkuasa yang zalim dan korup.

Siri perhimpunan aman Bersih yang telah dirujuk oleh DYMM Sultan Johor dalam kenyataan baginda semalam sebagai “titik hitam” dalam sejarah negara bersama dengan insiden 13 Mei, yang dalam pandangan baginda bahawa protes tersebut hanya menghasilkan kekacauan dan kemusnahan di mana tiada yang menang serta kita masih lagi sedang pulih daripada kesan negatifnya.

Bersih memohon sembah untuk tidak bersetuju dengan pandangan Tuanku dan ingin sembah maklum beberapa poin menunjukkan bahawa protes adalah kaedah ekspresi politik yang sah dan juga membentuk sejarah negara kita.

Boleh dikatakan bahawa negara ini dilahirkan hasil daripada gerakan protes. Onn Jaafar telah mengetuai massa untuk menentang Malayan Union, yang dipaksakan oleh British setelah Perang Dunia Kedua, dan ini membuka jalan kepada pembentukan Persekutuan Tanah Malaya, pelopor kepada kemerdekaan kita daripada British pada 1957 dan pembentukan Malaysia 1963.

Onn dan Umno bukan sahaja pihak yang menggunakan protes sebagai cara yang sah untuk bertindak secara kolektif. Parti berbilang bangsa seperti gabungan Putera–All Malaya Council for Joint Action (AMCJA) melalui pemimpin seperti Ishak Muhammad, Tan Cheng Lock, K Ganapathy dan Dr Burhanuddin Helmy melancarkan protes hartal seluruh negara pada 1947 untuk mendesak Perlembagaan Rakyat.

Masa berlalu daripada demonstrasi Baling kepada Reformasi, rakyat telah memprotes bagi menyatakan solidariti dan keresahan mereka. Terbaharu, Majlis Peguam Malaysia telah memprotes kali keempat dalam “Walk for Judicial Independence” mereka.

Bersih membawa semangat ini sejak kami ditubuhkan pada 2006 untuk membongkar kelemahan dan penyelewengan pilihan raya yang menjadikan pilihan raya kita tidak bebas dan tidak adil untuk sesebuah demokrasi. Dengan protes rakyat, kami menunjukkan kegagalan itu dan membangkitkan rakyat untuk menuntut pilihan raya yang lebih baik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. Pengenalan dakwat kekal dan penambahbaikan penjalanan pilihan raya dan peluasan akses pengundian kepada pengundi tidak akan terhasil sekiranya SPR tidak ditekan.

Perhimpunan keempat dan kelima Bersih pada 2015 dan 2016 adalah kerana skandal 1MDB, yang dianggap sebagai jenayah kleptokrasi terbesar dunia di mana hampir RM42bn dicuri. Respon Bersih terhadap pembongkaran pencurian terbesar ini dengan memanggil dua perhimpunan aman di mana ratusan ribu rakyat Malaysia telah turun. Kami menuntut perubahan institusi kepada undang-undang yang sedia ada untuk menamatkan bencana rasuah dalam negara dan supaya penjenayah yang terlibat dipertanggungjawabkan.

Sekiranya rakyat tidak diberikan peluang menyatakan kemarahan mereka terhadap ketidakadilan pilihan raya dan korupsi berskala besar ini secara aman, siapa tahu nasib yang akan menimpa negara kita sekarang? Para kleptokrat dan rakan subahatnya akan terus memunggah hasil negara dan dibiarkan bebas tidak didakwa atas jenayah yang mereka telah lakukan. Tuanku sudah tentu tidak akan perkenan tragedi sedemikian, sekiranya rakyat tidak keluar membantah.

Bersih sejak dari awal beriltizam untuk menganjurkan himpunan aman dan sekiranya ada kelakuan yang tidak sepatutnya, huru hara atau kerosakan harta benda biasanya disebabkan oleh kelakuan agresif daripada polis yang sepatutnya membantu peserta himpunan aman tetapi sebaliknya menembak dengan gas pemedih mata, meriam air dan tindakan ganas.

Bukti yang tidak boleh disanggah lagi adalah kami telah menganjurkan himpunan aman besar-besaran pada Bersih 4 dan 5 yang walaupun polis membuat sekatan di sana sini tetapi mereka tidak mengganggu peserta himpunan.

Tuanku, sejarah menjadi saksi bahawa bantahan rakyat sememangnya menjadi darah daging kita. Bersih memohon Tuanku mencemar duli untuk menyertai kami untuk bukan sahaja menghormati tetapi juga meraikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan dan berhimpun secara aman.

Sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan demokrasi sebagai asas, kita perlu meraikan dan mengalu-alukan sebarang ekspresi dan penyertaan rakyat untuk kebaikan bersama negara Malaysia. Tanpa protes, tidak mungkin adanya Malaysia.