Oleh Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU, Malaysia--Saya selalu pelik dengan perangai pemimpin dari parti loklaq, PAS. Sebelum ini bila UMNO/BN desak Parlimen dibubarkan dan PRU15 disegerakan, mereka bermati-matian tolak desakan itu dengan alasan klise; masanya tak sesuai.

Tapi bila Muhyiddin dan Bersatu bercakap nak tuntut kerusi Timbalan Perdana Menteri dan kerusi menteri, terus Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang melatah.

Mula-mula dia cakap tak wujud perjanjian politik antara Bersatu-PM. Tapi bila pemimpin Bersatu nyatakan bukti memang ada perjanjian belakang tabir itu, cakap Hadi berpusing.

Hadi kata pulak, jawatan TPM tak perlu dalam masa tempoh PRU15 dah dekat. Aikk nada cakapnya macam Hadi dan PAS sokong pula PRU15 dipercepatkan.

Habis tu kenapa perginya pendirian PAS yang mahu semua pihak utamakan kebajikan rakyat dan pemulihan negara dan PRU15 diadakan selepas habis penggal? Hadi dah bawa ke laut ke pendirian PAS itu?

Ohh baru saya faham, pendirian Hadi dan PAS memang macam lalang. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Ikut mana yang untung dan rugi untuk mereka.

Bila Hadi tahu Bersatu bakal dapat jawatan TPM dan tambahan kuota menteri dan PAS pula tak dapat apa-apa dari PM. PAS hanya berputih mata. Hadi terus sentap. Lenggok bahasanya macam dah merajuk. Kecil hati dengan Muhyiddin dan Bersatu kot. Mungkin PAS pun ada terasa hati dengan PM.

PAS sekarang memang perjuangannya sudah jauh terpesong. Jika dulu hala tuju mereka nak tegakkan Islam tapi kini mereka lebih kejar habuan.

Kalau bab ganjaran, PAS bawah kepimpinan Hadi memang laju saja. Dulu bila timbul khabar angin PAS dapat wang ehsan RM90 juta dari Bossku, Hadi bukan main seronok tapi cuba sorok-sorok. Sampai PAS dapat hidup masa PRU14 pun dengan wang ehsan dari Najib itu.

Sampailah bila Sarawak Report dedahkan pasal pemberian wang ehsan itu, Hadi terus mengamuk. Cuba nak nafikan dengan hantar surat saman Sarawak Report.

Tapi bila Hadi tahu dia akan kalah dan banyak akan kantoi lagi kalau kes saman itu masuk mahkamah, dia terus tarik 'handbrake', tak jadi saman. Dia selesaikan kes luar mahkamah dan dia sanggup bayar RM700,000 kepada Sarawak Report. Jadi apa maknanya tu?

Lepas dah seronok makan duit wang ehsan, boleh pula Hadi 'follow' Muhyiddin hentam Najib bila Najib tak lagi PM lepas PRU14. Jenis tak kenang budi betul Hadi ni.

Tapi memang begitulah perangai PAS dari dulu lagi. Antara punca puak pelopor PAS keluar dari UMNO ketika zaman Perikatan dulu pun sebab mereka tak puas hati bila kemahuan mereka tak dipersetujui oleh kepimpinan UMNO. Mereka pun merajuk, bawa diri dan tubuhkan PAS.

Tambahan keperibadian Hadi pula jauh berbeza daripada Almarhum Datuk Nik Aziz. Hadi jenis cepat melenting dan jiwa rapuh.

Kali ini bila Hadi rasa dia dan PAS mula dipermainkan oleh Muhyiddin serta Bersatu, dia mula ubah pendirian. Mula-mula nak cadang guna logo sendiri pada PRU-15 nanti. Lepas tu nak PRU15 cepat pula.

Mungkin bila PAS nak guna lambang mereka sendiri nanti, Hadi akan bawa PAS kembali semula kepada slogan perjuangan asal mereka; Membangun Bersama Islam.

Maka pengundi Melayu Islam sekali lagi akan dipancing dengan perjuangan PAS yang kononnya memartabatkan Islam.

Nanti barulah kita akan dengar kembali laungan puak-puak PAS pasal menubuhkan negara Islam, RUU 355 dan macam-macam lagi berkumandang dalam kenyataan serta pentas ceramah mereka.

Begitulah strategi perjuangan parti yang bertopengkan Islam sejak dari zaman sebelum merdeka lagi. Penjual agama di pentas ceramah!