Oleh Steven Sim

GEORGETOWN, Malaysia--Pemimpin-pemimpin PAS seperti Presiden parti Abdul Hadi Awang dan AJK PAS pusat Mohamad Zuhdi Marsuki telah mengaitkan isu rasuah dengan kaum dan agama. Presiden PAS memulakan retorik ini dengan mendakwa bahawa orang bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca kepada masalah rasuah di Malaysia. 

 
Dakwaan yang menyeleweng dan penuh dengan retorik kaum dan agama ini kemudian bukannya ditolak malah disambut oleh pemimpin PAS seperti Zuhdi yang memetik kajian yang meragukan dengan menyatakan 88% pemberi rasuah adalah orang bukan Melayu.

Ini bukan sahaja pemikiran yang rasis malah tidak membantu sama sekali dalam usaha melawan rasuah kerana gejala rasuah tidak mengenal warna kulit tetapi hanya mengenal warna duit.

Isu rasuah bukan soal kaum mahupun agama, tetapi soal sistem yang tidak adil dan tidak telus. Bila ada sistem sebegini, maka penguasa akan menyalahgunakan kuasa demi nafsu sendiri sekaligus mewujudkan budaya rasuah.

Jelas PAS kini menggunakan racun perkauman untuk mengalih perhatian daripada 5 skandal rasuah yang melibatkan PAS:

1) PAS telah gagal menjelaskan dakwaan Clare Rewcastle-Brown bahawa PAS menerima RM90 juta daripada UMNO dan bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah membayar RM1.4 juta kepada Clare selepas menyelesaikan kes saman fitnah tentang dakwaan sogokan RM90 juta tersebut di luar mahkamah.

2) PAS mempunyai sejarah melindungi jenayah rasuah apabila pemimpin-pemimpin PAS menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda mengenai skandal rasuah 1MDB yang merupakan skandal rasuah berskala antarabangsa.

3) PAS telah mengadakan kerjasama politik dan bersekongkol dengan kleptokrat Najib Razak yang telah disabitkan kesalahan pecah amanah dan telah dipenjarakan selama 12 tahun. Zuhdi sendiri mengakui bahawa dia yakin Najib tidak bersalah walaupun setelah keputusan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

4) PAS bersekongkol dengan Muhyiddin Yassin yang telah dirakam perbualan "Scheme of Things" menawarkan rasuah kepada katak politik untuk menubuhkan kerajaan tebuk atap, mengikut istilah Abdul Hadi Awang sendiri.

5) PAS kini terpalit dengan kegagalan kerajaan Ismail Sabri mendedahkan sepenuhnya dan mengambil tindakan terhadap skandal RM6 bilion kapal LCS yang digambarkan oleh Transparency International semacam 1MDB.

Jangan sesekali PAS ingat mereka dapat menyucikan diri daripada rasuah kerana sokongan dan toleransi mereka kepada pemimpin dan sekutu politik mereka yang rasuah telah menyebabkan rasuah semakin membarah di negara ini yang terbukti dengan penurunan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah ketika PAS menjadi kerajaan. 
 
Rasuah bukan sekadar melibatkan pemberi dan penerima malah mereka yang membuka jalan dan membenarkan rasuah itu berlaku.

*Steven Sim Chee Keong ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam.*