Oleh CCC-ECRL

BENTONG, Malaysia--Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) hari ini menyerahkan sumbangan bernilai RM30,000 kepada mangsa insiden kebakaran di Kampung Baru Cina Karak.

Sumbangan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)syarikat dan ia adalah hasil kutipan sumbangan ikhlas daripada pihak pengurusan dan kakitangan syarikat.

Cek sumbangan itu telah disampaikan oleh Pengarah Urusan CCC-ECRL yang baharu dilantik, Kong Qi kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Cina Karak dalam satu majlis ringkas.

“CCC-ECRL sentiasa prihatin dalam membantu golongan memerlukan, lebih-lebih lagi komuniti yang tinggal di sekitar jajaran projek ECRL. Mangsa-mangsa insiden itu berada dekat di hati kami memandangkan seorang pekerja CCC-ECRL juga antara yang terjejas tragedi tersebut” ujar Kong.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Diharapkan, bantuan kecil ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan membantu mereka untuk bangkit semula demi membina rumah dan kehidupan,” katanya.

Kong Qi, bersama Timbalan Pengarah Projek merangkap Ketua Jurutera CCC-ECRL, Deng Bo serta beberapa wakil syarikat turut melawat kawasan yang musnah akibat kebakaran itu serta beramah mesra dan memberi sokongan moral kepada mangsa kebakaran terlibat.

Pada jam 9.10 malam 1 Oktober lalu, lebih 50 rumah dan 11 kedai musnah dijilat api.

Kejadian itu mengakibatkan lebih 150 penduduk hilang tempat tinggal dan harta benda milik mereka.

Kejadian itu disifatkan sebagai antara kebakaran terburuk yang pernah berlaku di kawasan itu.