Oleh Kamaruddin Hussain

KUALA LUMPUR, Malaysia--Susulan dasar keterbukaan dan kesediaan Kementerian Kewangan mendapatkan pandangan dan cadangan rakyat dalam proses menyediakan Bajet 2022, hari ini kami dari  Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), telah menghantar satu kertas cadangan dan permohonan Kementerian Kewangan.

Semoga segala cadangan dan permohonan kami sebagai #KeluargaMalaysia akan diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.

Di antara cadangan dan permohonan kami :

1. ISU STATUS B40  

Kami merayu kepada Kementerian Kewangan supaya formula yang digunapakai sebelum ini bagi mengkategorikan golongan rakyat khususnya pemandu teksi dipertimbangkan semula.

Sebelum ini rakyat khususnya pemandu teksi permit individu yang mempunyai SSM dan menerima Geran Khas Prihatin - GKP telah di kategorikan sebagai golong B40, walhal sejak Tahun 2014 kegagalan kerajaan terdahulu mengawal selia industri teksi serta mewujudkan persaingan yang benar-benar adil di antara teksi dan e-hailing telah menyebabkan hampir 80% pendapatan pemandu teksi terjejas.

Malah Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan – PKP sejak Mac 2020 bagi membendung penularan wabak Covid-19 telah memburukkan lagi keadaan, di mana pemandu teksi hari ini terpaksa bergadai, berhutang dengan Ah Long dan sebagainya hanya untuk membeli beras dan keperluan dapur supaya ahli keluarga mereka boleh terus hidup.

Geran Khas Prihatin (GKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu sektor Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro sedikit sebanyak geran tersebut telah memberi peluang kepada pemandu teksi yang mempunyai SSM untuk memohon geran tersebut.

Namun pemilikan SSM itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk mengkategorikan golongan rakyat khususnya pemandu teksi. Pemilikan SSM adalah salah satu syarat untuk melayakkan seseorang pemandu teksi itu memiliki permit individu, sedangkan pendapatan mereka sejak tahun 2014 lebih jauh rendah jika dibandingkan dengan pendapatan petani, nelayan dan sebagainya.

Ketetapan ketika ini mengkategorikan pemandu teksi yang memiliki SSM sebagai golongan B40 adalah satu ketetapan yang tidak tepat, dan telah menafikan hak pemandu kami untuk menerima bantuan-bantuan kerajaan yang lain termasuk MySalam.

Sehubungan dengan itu, kami merayu kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan dan kerajaan agar memperhalusi semula formula yang digunapakai selama ini dalam proses mengkategorikan golongan rakyat khususnya pemandu teksi.

2. BANTUAN ONE OFF  

Pada dasarnya kami bersyukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan-bantuan One Off yang pernah diberikan kepada kami, kami akui bantuan tersebut sedikit sebanyak telah meringankan beban kami sepanjang pelaksanaan PKP. Walau bagaimanapun kami ingin merayu kepada kerajaan supaya bantuan tersebut dinaikkan kepada RM1000.

3. SUBSIDI BAHAN BAKAR

Kami akui perkhidmatan teksi adalah kerjaya kami, namun disebalik realiti tersebut, sektor industri kami adalah salah satu sektor yang menyumbang kepada keberhasilan negara.

Selain itu, memandangkan PETRONAS NGV kini dalam agenda menghentikan penjualan NGV di seluruh negara dengan stesen yang dikurangkan dan waktu operasi dipendekkan sejak beberapa tahun yang lalu. Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi bahan bakar petrol dan diesel kepada industri kami sebanyak 30 peratus.

4. PEMANSUHAN DUTI EKSAIS & CUKAI JUALAN

Untuk merancakkan kembali sektor perkhidmatan awam dan meringankan bebanan pemain industri, kami merayu kepada kerajaan agar Duti Eksais dan Cukai Jualan yang selama ini dikenakan kepada kenderaan-kenderaan perkhidmatan awam khususnya teksi & kereta sewa dimansuhkan tanpa sebarang birokrasi khususnya isu ketetapan buatan dan pemasangan tempatan.

5. PERLEPASAN CUKAI KENDERAAN TEKSI/KERETA SEWA LANGKAWI

Mendengar keluhkesah yang disampaikan kepada kami oleh rakan-rakan pemandu kami di Langkawi, kami mohon kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai kepada kenderaan-kenderaan teksi Langkawi yang ingin ke tanah besar.

6. PENGECUALIAN YURAN LESEN  

Kami juga merayu kepada kerajaan supaya memberi pengecualian yuran memperbaharui Lesen (Lesen Memandu, PSV & GDL dan Lesen Pengendali - Permit) kepada semua pemandu perkhidmatan dan pengangkutan awam darat negara untuk tempoh 2 tahun.

 
*Kamaruddin Hussain ialah Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM)*