Hot news
Tengku Zafrul, Jangan Kelirukan Rakyat
0 Comments
97697 view
Oleh Sivarajan A.
KUALA LUMPUR, Malaysia--Parti Sosialis Malaysia amat terkejut dengan keputusan Kerajaan PN yang akan melonggarkan syarat PKP untuk peralihan dari Fasa 2 ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau akan menggunakan data proksi kes kemasukan hospital baharu bagi kes Covid-19 Kategori 3, 4 dan 5 dan bukan lagi jumlah kes harian.
Ini merupakan suatu tindakan ke belakang yang akan memudaratkan lagi keadaan apabila tahap berjaga-jaga dan penguatkuasaan di longgarkan tanpa asas yang kukuh.
Pada awalnya, TS Mahiaddin, mengumumkan bahawa, Kerajaan PN akan hanya memutuskan pelonggaran syarat apabila peralihan PKP dilakukan dari Fasa 2 ke 3 Pelan Pemulihan Negara berdasarkan tiga kriteria utama iaitu, bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam (kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi) dan indikator ketiganya adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Tetapi kini nampaknya Menteri bekas ahli perbankan ini, mula tunduk kepada desakan sektor korporat untuk menamatkan PKP dan beralih ke Fasa 3 dan 4 dengan secepat mungkin.
Maka beliau bertindak dengan menggunakan indikator bilangan kes kategori 3 , 4 dan 5 (yang lebih rendah) berbanding dengan jumlah bilangan jangkitan harian (yang tinggi angkanya) agar ianya memberikan bayangan palsu bahawa keadaan jangkitan tidak begitu serius.
Berdasarkan kepada data nasional mengenai bilangan kes mengikut kategori pada 7hb. Ogos, 2021 pecahan kes Kategori 1 (48.7%), Kategori 2 (47.7%), Kategori 3 ( 0.9%) Kategori 4(0.7%) dan Kategori 5 (2.3%) .
Kumulatif peratusan kes Kategori 3,4 dan 5 hanyalah 3.8% dari jumlah kes, Maka dengan mengambil angka ini, adakah Tengku Zafrul akan mengarahkan pelonggaran PKP ke Fasa 3 kerana peratusannya hanya 3.8% dan ianya tidak begitu seruis?
Tidakkah ini memberikan suatu gambaran palsu ?
Pelonggaran syarat dengan tergesa-gesa tanpa apajua asas saintifik dari pakar kesihatan akan melipat kali gandakan jangkitan.
Kini kita sudahpun mencecah kadar jangkitan lebih 20,000 kes dan kematian lebih 200 pesakit.
Para pesakit Covid 19 boleh beralih dari kategori 1, 2 ke kategori 3 , 4 dan 4 dalam jangkamasa 10 hari dan ianya amat sukar untuk diramalkan.
Justeru itu, dengan mengabaikan jumlah kes jangkitan dan hanya mengambil angka kes kategori 3,4 dan 5 adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan memberikan tanggapan palsu kepada rakyat bahawa jangkitan Covid di daerah dan Negeri mereka semakin pulih maka mereka boleh pulang ke cara hidup seperti biasa.
PSM mendesak Kerajaan PN agar jangan menipu rakyat dengan mengkaburkan fakta sebenar demi membuka semua sektor ekonomi dengan tergesa-gesa. Tindakan sedemikian akan menekan lagi kapasiti sistem perkhidmatan Hospital awam kita yang telahpun dibanjiri pesakit.
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published