Sumber Aliran

KUALA LUMPUR, Malaysia:Sungguh menjijikkan apabila pengilang di Malaysia melihat ia sesuatu yang wajar untuk menempatkan pekerja asing di penginapan yang melanggar piawaian kehidupan manusia dan melanggar undang-undang negara.

Sebuah kilang di Johor, yang menggaji kira-kira 300 pekerja asing, dilaporkan memperuntukkan lima ruang penginapan – dan ia juga termasuk kawasan simpanannya bagi produk yang sudah disiapkan. Kira-kira 65 pekerja bersesak di setiap ruang, yang hanya sesuai untuk enam orang.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kekurangan kemudahan yang sesuai untuk kegunaan harian pekerja, seperti katil dan loker untuk menyimpan barang-barang mereka. Bayangkan, hanya ada satu bilik air. Ini terang-terangan melanggar hak pekerja.

Tetapi masalahnya lebih mengakar.

Penganiayaan sedemikian melangkaui hanya soal majikan yang mengeksploitasi buruh. Ia juga membayangkan wujudnya cara fikir xenophobic.

Keadaan di kilang ini barangkali bukanlah sebuah contoh terpencil, jika layanan buruk yang berlaku dulu terhadap pekerja asing menjadi petandanya. Kita pernah mendengar bagaimana pekerja dibayar gaji tidak setimpal. Seorang pembantu rumah pula mendakwa telah dicurahkan air panas ke badannya. Ada yang lain pula dipukul sebagai hukuman.

Kami juga pernah mendengar kisah bagaimana warga asing (termasuk kanak-kanak) menghadapi keadaan yang teruk di bawah tahanan pihak berkuasa.

Kehidupan pekerja asing juga dianggap murah, di mata sesetengah majikan. Tidakkah kita pernah mendengar berita tentang pekerja mati di tapak pembinaan atau terkorban kerana langkah keselamatan yang lemah di tempat kerja mereka?

Jangan merasakan bahawa ia bukan masalah besar jika pekerja asing dipaksa menjadi hamba pada zaman moden ini. Sesungguhnya, ia sebuah pemikiran yang merosakkan.

Menyumbat para pekerja ke dalam bilik kecil adalah sama teruknya dengan layanan buruk. Ia bukanlah sesuatu yang akan dilakukan oleh sesiapa pun kepada kita sesama manusia. Ia sekali gus menunjukkan tahap pemikiran yang entah bagaimana melihat pekerja ini sebagai bukan manusia.

Pekerja asing juga menjadi tempang di dalam banyak hal yang lain. Dengan bekalan beras tempatan yang semakin berkurangan, seorang ahli politik malah berani untuk menggesa agar diwujudkan larangan bagi orang asing untuk membeli beras tempatan, yang harganya jauh lebih murah. Bayangkan anda dinafikan hak untuk membeli bahan makanan ruji tempatan yang murah dan terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk beras import.

Istilah warga asing ini juga merangkumi pekerja asing, pelarian dan pencari suaka. Golongan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara.

Sebahagian daripada prejudis tempatan terhadap warga asing adalah disebabkan penglibatan sebilangan kecil warga asing dalam kegiatan jenayah, seperti kecurian.

Tidak dinafikan memang ada beberapa warga asing telah terlibat dalam aktiviti gelap. Namun, tidak adil juga untuk tangkap muat mereka semua terlibat dalam hal sebegitu.

Sudah pasti, bukan warga asing yang memonopoli perbuatan jenayah yang berlaku di Malaysia. Masih ramai penduduk tempatan sendiri yang tidak berfikir dua kali untuk terlibat dalam rasuah. Rasuah yang sebeginilah telah menyebabkan wujudnya warga asing yang memasuki negara ini tanpa kertas kerja atau pekerjaan yang sesuai, sekali gus meletakkan diri mereka dalam keadaan yang sukar. Jangan kita lupa juga akan skandal rasuah besar yang melibatkan beberapa penduduk tempatan yang telah membocorkan wang negara.

Mengutamakan empati dan belas kasihan terhadap warga asing bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, ia adalah tanda solidariti sesama manusia kepada mereka yang berada dalam situasi mendesak.