Oleh IDEAS

KUALA LUMPUR, Malaysia--Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada hari Jumaat, 18 Mac 2022 telah menganjurkan satu webinar bertajuk “Perceptions Towards Discrimination in Malaysia”. 

 
Webinar tersebut dianjurkan untuk menandakan pengakhiran projek IDEAS yang berlangsung selama dua tahun, “Promoting National Unity and Inter-Racial Harmony” yang didanai Kesatuan Eropah (EU) dan bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Kaum yang jatuh pada tanggal 21 Mac setiap tahun. 
 
Bersempena dengan webinar tersebut, IDEAS turut melancarkan buku panduan grafik, “#TanpaPerkauman: Ke Arah Malaysia Yang Bebas Diskriminasi”, diterbitkan dengan kerjasama rakan kongsi projek, Imagined Malaysia.

Webinar dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, yang berkongsi pandangan beliau mengenai pencapaian dan juga pengajaran yang diperoleh sepanjang projek berjalan. 
 
Hal ini kemudian diikuti dengan rakaman ucapan oleh Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Michalis Rokas. Dalam ucapannya, TYT Michalis Rokas berkata “...melawan sikap perkauman memerlukan kepimpinan yang berterusan dan penglibatan semua sektor. 
 
Acara ini merupakan satu contoh cemerlang mengenai kepentingan kerjasama merentas sektor, menunjukkan komitmen Malaysia dalam penghapusan diskriminasi kaum.” Beliau kemudian berkata “...Kesatuan Eropah dan Malaysia merupakan gambaran satu sama lain, dari segi asas yang dibina atas kepelbagaian.”

Sebagai sebahagian daripada projek, IDEAS telah meminta pihak Merdeka Center for Opinion Research untuk menjalankan kaji selidik di peringkat kebangsaan mengenai Persepsi Terhadap ICERD dan Hubungan Kaum di Malaysia. Hasil kaji selidik tersebut dibentangkan oleh Ibrahim Suffian, Pengasas Bersama dan Pengarah Program di Merdeka Center. 
 
Antara dapatan kaji selidik yang menarik adalah: 48 peratus daripada responden pernah mendengar tentang ICERD, majoriti orang Melayu Islam percaya kepada naratif konspirasi tentang ICERD dan 21 peratus daripada responden pernah mendengar mengenai kempen advokasi #TanpaPerkauman dan #KitaBukanKami IDEAS. Laporan penuh kaji selidik ini akan tersedia untuk dimuat turun di laman sesawang IDEAS hujung minggu ini.

Pembentangan hasil kaji selidik itu kemudian diikuti dengan satu perbincangan panel oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr. Ryan Chua dari Pusat KOMAS. 
 
Kedua-dua orang ahli panel membincangkan kepentingan hasil kaji selidik, langkah seterusnya untuk kesepaduan sosial yang lebih baik dan sebahagian daripada cabaran kepada mereka yang benar-benar percaya kepada Malaysia yang berbilang budaya.

Sepanjang tempoh dua tahun projek berlangsung, IDEAS telah mengadakan dua kaji selidik peringkat kebangsaan untuk menilai persepsi awam terhadap ICERD, mengadakan 12 perbincangan kumpulan berfokus bersama dengan masyarakat akar umbi seluruh negara, menganjurkan sembilan perbincangan meja bulat bersama hampir 50 organisasi masyarakat sivil dan mengumpulkan lebih daripada 40 orang belia untuk mengambil bahagian dalam siri bengkel 
Akar Umbi Kita, menerbitkan enam video eksperimen sosial di bawah Projek Sama-Sama dan 120 infografik dwibahasa Tanpa Perkauman sepanjang setahun kempen komunikasi digital Kita Bukan Kami.

“IDEAS amat berterima kasih terhadap semua sokongan yang diterima dari rakan kongsi projek iaitu Invoke, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Imagined Malaysia, The Fourth, Architects of Diversity dan Merdeka Center. 
 
Tidak dilupakan pembiaya projek, Kesatuan Eropah, yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha kami. Kami berharap akan dapat meneruskan usaha mempromosikan Malaysia yang pelbagai, terangkum dan berbilang budaya melalui pendidikan, kesedaran dan perbualan yang sihat”, ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

Buku panduan grafik boleh dimuat turun di laman sesawang IDEAS di sini.