Oleh Parti Sosialis Malaysia

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan pada tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 menyerang dan memberikan tamparan yang terdahsyat sejak merdeka kepada sosioekonomi dan politik negara. Sistem ekonomi neoliberal yang dianuti sejak lebih 40 tahun lalu oleh Barisan Nasional dan diteruskan pula oleh Pakatan Harapan dalam pemerintahan singkat mereka selama 22 bulan, jelas gagal melindungi rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang kita.

Pemerintahan ala kapitalisme yang pro-korporat telah melemahkan batu asas jaringan perlindungan sosial selama ini lalu mendedahkan rakyat kepada pelbagai tekanan sosioekonomi. Kegagalan tersebut perlu diatasi, jika kita sebagai sebuah negara, bukan sahaja dapat pulih dari pandemik ini, tetapi sekaligus mengukuhkan asas jaringan perlindungan sosial supaya kita bersedia menangani cabaran pada masa akan datang.

Pengajaran Pandemik 2020

Selain daripada penderitaan yang telah dan sedang dilalui oleh rakyat, pandemik ini juga mengajar kita beberapa nasihat yang penting iaitu;

a) Apa jua krisis menyerang, rakyat termiskin B40 akan menerima kesan yang terdahsyat. Walaupun krisis pandemik COVID-19 tidak mengenal kaya mahupun miskin, pengalaman menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah, perumahan, jaminan kerja dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan daya tahan sesebuah keluarga apabila COVID-19 menyerang.

b) Pekerjaan dan sumber rezeki kita yang dahulu dianggap berkekalan boleh hilang sekelip mata. Tanpa jaringan perlindungan sosial yang baik, kita akan terus  terhumban dalam kemiskinan. Ramai keluarga M40 kini ditolak ke situasi B40 juga apabila mereka diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan dengan mengejut.

c) Walaupun industri swasta dan korporat diagung-agungkan sebagai entiti yang paling penting memacu pembangunan negara selama ini, apabila negara diserang krisis, pihak yang berjaya mendukung rakyat dalam pandemik adalah perkhidmatan hospital kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Perkembangan sektor hospital swasta dan pembangunan pelancongan kesihatan gagal memberikan sumbangan yang signifikan kepada rawatan pesakit COVID-19.

d) Sektor ekonomi bekalan kemudahan asas terbukti menjadi (essential) amat penting kepada rakyat pada masa krisis. Peniaga kecil, petani, pekerja penyelenggaraan, pembersihan, pemungut sampah, pemandu lori, penghantaran barangan, merekalah yang memainkan peranan paling penting. Jika petani tempatan diabaikan dan produk pertanian import tergendala, maka bekalan makanan kepada rakyat akan terputus.

e) SOP dan syarat-syarat menjauhi jangkitan COVID-19 hanya boleh dilaksanakan jika kita mempunyai rumah yang memadai dan persekitaran yang baik. Impak kuarantin mempunyai kesan yang berbeza kepada marhaen yang tinggal di dalam sebuah rumah PPR 650 kaki persegi berbanding dengan sebuah keluarga yang duduk dalam banglo mewah di Damansara. Perumahan sendiri juga penting bagi rakyat yang dilanda krisis.

f) Jika rakyat tiada daya tahan untuk melawan krisis kesihatan COVID-19, bagaimana pula rakyat akan menghadapi krisis iklim yang impaknya berlipat kali ganda lebih teruk? Maka, isu pembalakan tanpa kawalan, pencemaran sungai, perlombongan mineral perlu ditangani dengan segera.

Selaras dengan pengajaran penting itu, maka PSM mengemukakan pelan tindakan alternative untuk Pemulihan Nasional –Haluan Baru Untuk Malaysia – dengan tema “Permintaan Rakyat Mudah Je” . Cadangan dalam dokumen ini menawarkan suatu paradigma baru untuk Malaysia ke arah pembangunan yang adil, lestari dan saksama.

Pelan Pemulihan Nasional ini berasaskan kepada 5 TERAS Utama iaitu ;

● TERAS 1 - MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL
● TERAS 2 - SKIM JAMINAN KERJA
● TERAS 3 - PERUMAHAN HAK RAKYAT
● TERAS 4 - TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM
● TERAS 5 – TANGANI KRISIS IKLIM SEGERA

Sila baca dokumen lengkap: PEMULIHAN NASIONAL : Haluan Baru untuk Malaysia