Oleh Sivarajan A.

KUALA LUMPUR, Malaysia-Menjelang Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum, ‘International Day for the Elimination of Racial Discrimination’ yang akan disambut pada 21hb Mac, minggu depan, rakyat Malaysia malangnya dihantui oleh pelbagai isu mencetuskan emosi prasangka  kaum di kalangan masyarakat.

Segelintir ahli politik dan agen-agen mereka telah mula membangkitkan pelbagai isu seperti penyertaan golongan minoriti tertindas LGBT dalam acara sambutan Hari Wanita, mempertikaikan kandungan filem “Mentega Terbang”, seruan untuk tidak membina surau atau masjid berhampiran dengan rumah ibadat bukan muslim dan larangan Kerajaan Negeri Selangor kepada orang Islam untuk tidak menghadiri apajua program di  rumah ibadat orang bukan Islam.  

Begitu juga dengan polisi larangan pakaian yang dianggap ‘pendek’ di bangunan Kerajaan sehingga menghalang orang masuk ke Hospital dan juga Balai Polis. Kami percaya lebih banyak lagi isu akan menyusul menjelang pilihanraya Negeri 2023 nanti.

Arus serangan baru-baru ini, yang memperalatkan komuniti minoriti dan tertindas,  mengingatkan kita modus operandi yang sama oleh agen-agen tersirat bersama suara –suara politik mereka yang mengatur langkah untuk menghangatkan suasana demi mengucar-kacirkan kestabilan politik dan kesejahteraan masyarakat.

Sudahkah kita lupa bagaimana suatu isu lokal iaitu penempatan semula sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor dihangatkan ke peringkat nasional dengan aksi mengheret kepala lembu ke Bangunan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2009? 

 
Begitu juga dengan serangan geng baju merah ke atas peniaga-peniaga Cina di Petaling Street pada tahun 2015 dengan retorik kaum Cina memonopoli perniagaan disitu, walhal ‘China town’ ini telah wujud sejak abad ke 19 lagi.

Instrumen memperalatkan golongan minoriti dan tertindas ini juga turut digunakan oleh mereka yang berkuasa sebagai modal untuk mengekalkan ketegangan antara kaum agar mereka boleh terus berkuasa.  Bila rakyat tidak bersatu akibat prasangka antara kaum, mereka tidak akan bangkit menentang golongan elit-politikus yang menggerakkan permainan catur ini.

Begitu juga elit-politikus pembangkang yang menggunakan golongan minoriti dan tertindas sebagai modal untuk mengucar-kacirkan kestabilan politik agar mereka dapat dilihat sebagai Kerajaan alternatif yang lebih tegas menjaga maruah bangsa dan agama.

Persaingan ini amat berbahaya, kerana Kerajaan DS Anwar Ibrahim juga sedar bahawa mereka memegang kuasa dengan sokongan marginal kaum Melayu. Penyelidik Dr Bridget Welsh menyatakan bahawa PH hanya berjaya memperolehi 11 peratus undi Melayu dalam pilihanraya lepas. (DSAI menyangkal angka tersebut dengan mengatakan ianya sepatutnya 31 peratus). Walau bagaimanapun fenomena ini dilihat juga dalam beberapa pilihanraya negeri sebelum PRU-15.

Maka adakah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh DSAI ingin menonjolkan dirinya sebagai lebih Islamik dari Perikatan Nasional?

Pengumuman Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Agama, bahawa Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha untuk merealisasikan RUU355 dengan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga menimbulkan persoalan jika hasrat tersebut sememangnya nyata.

Walaupun kita sedar agenda tersirat golongan berkepentingan ini, tetapi kita juga jangan terlepas pandang kepada sebahagian masyarakat yang sebenarnya bersetuju dan percaya bahawa agama dan bangsa terancam dan gagal dipelihara oleh Kerajaan semasa. 
 
Ianya akan mendorong kepada tindakan agresif yang sukar dijangka sepertimana insiden ugutan dan curahan cat merah atas kereta pelakon dan pengarah filem “Mentega Terbang” itu. Bermain dengan api demi agenda kuasa politik mempunyai implikasi negatif yang mendalam dan kekal dikalangan masyarakat.

Maka, PSM ingin menyeru agar rakyat Malaysia berbilang kaum belajar dari pengalaman  lepas dan melihat isu ini menjangkaui percaturan segelintir orang yang berkepentingan ini. 
 
Rasisme yang mencetuskan emosi ini tidak menyelesaikan masalah majoriti masyarakat kelas pekerja berbilang kaum dan agama yang terbelenggu dengan gaji yang rendah, kerja tanpa jaminan, harga barangan tinggi, rumah yang tidak mampu dibeli, kos kesihatan, pendidikan melambung naik, beban hutang dan sebagainya.  

Racun toksik rasisme yang disuntik oleh parti-parti perkauman selama lebih 60 tahun sejak kemerdekaan, masih mengalir dalam masyarakat dan akan mengangkat kepala bisanya kepada mereka yang ingin menggunakannya.

Kesejahteraan bersama rakyat hanya boleh dinikmati jika kita membina gerakan massa berbilang kaum menentang rasisme dan bertekad untuk saling mempertahankan hak mana-mana anggota masyarakat tanpa mengira kaum dan agamanya.

Ayuh rakyat marhaen lawan rasisme !

*Sivarajan A. ialah Setiausaha Agung PSM.*