Oleh Tariq Ismail

KUALA LUMPUR, Malaysia--Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Pejuang Tanah Air memandang berat akan permintaan Kerajaan Persekutuan bagi mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Pedra Branca, yang berkemungkinan menjurus kepada pertuduhan penyalahgunaan terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir dan Pakatan Harapan kerana tidak meneruskan kes tersebut.

Pada pendapat kami, Malaysia kalah di dalam kes tersebut semata-mata kerana Malaysia gagal membuktikan hak milik mutlak sama ada melalui pemilikan dari segi undang-undang atau pemilikan aktif.

Malaysia gagal memperoleh bukti dokumentari yang mencukupi bagi membuktikan tanpa sangsi pemilikan berterusan Pedra Branca oleh Kesultanan Johor sekurang-kurangnya hingga tahun 1950-an.

Malah dalam jangka waktu 10 tahun setelah keputusan ditetapkan oleh International Court of Justice (ICJ), ketiga-tiga dokumen yang dijumpai di waktu tersebut dan yang didakwa menjadi kunci membuktikan pemilikan dari segi perundangan, sebenarnya hanyalah rujukan dan bukan bukti sah pemilikan di sisi undang-undang.

Dari segi pemilikan aktif pula, Biro ini berpegang pada prinsip undang-undang bahawa “posession is 9/10ths of the law”.

Di sini, jelas sekali bahawa Malaysia gagal mentadbir dan mengurus Pedra Branca yang dirasakan hak Malaysia, sedangkan Singapura pula yang didapati secara aktif mentadbir dan mempertahankannya selama beberapa dekad hingga akhir abad ke-20.

Inilah yang menjadi hujah kemenangan bagi Singapura dengan 12 undi yang memihak kepada mereka.

Oleh itu, tuduhan penyalahgunaan - yang memerlukan agar dibuktikan dengan jelas penyalahgunaan kuasa atau niat jahat pegawai awam dan yang melangkaui ketidakcekapan, pengabaian atau ketidakpatuhan tanggungjawab - bermaksud membuktikan semua pentadbiran yang sebelumnya juga melakukan kecuaian serius, dan bukan hanya kerajaan Pakatan Harapan yang ketika tempoh semakan berakhir, baru mengambilalih pucuk pimpinan tak berapa hari lamanya.

Meneruskan kemelut ini dengan RCI suatu usaha yang sia-sia dan jelas sekali hanya bermotifkan politik, terutama sekali di waktu genting ini di mana banyak lagi kepentingan lain yang perlu dijaga.

Sebaliknya, Biro ini mengesyorkan agar Kerajaan menumpukan usaha bagi mempertahankan aset negara yang lain yang diancam tuntutan bersaing oleh Singapura dan China, iaitu Pulau Pisang di pesisir pantai Johor dan Pulau Layang-Layang.

Hujah undang-undang yang menentukan pemilikan kedua-duanya sama seperti di Pedra Branca.

Dan sekiranya Malaysia benar-benar faham sebab musabab kehilangan Pedra Branca, pentadbiran ini seharusnya sedang gigih mengumpul bukti-bukti kukuh pemilikan dari segi perundangan sekaligus dengan yakin dan lantang menegaskan pemilikan secara aktif ke atas kedua pulau ini.

Berdasarkan pengalaman kes Pedra Branca, pembuktian kes-kes ini mungkin memerlukan masa puluhan tahun maka perlu diusahakan dengan kadar segera.

Ini bukan masa untuk bermain politik, kerana kepentingan nasional dan kedaulatan kita dipertaruhkan.

 
*Tariq Ismail ialah Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa Dan Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)*