Oleh Wan Ahmad Fayhsal


KUALA LUMPUR, Malaysia--Merujuk kepada pernyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, saya ingin mengesahkan bahawa terdapat pertemuan antara kami berdua baru-baru ini.

Pertemuan ini adalah atas kapasiti peribadi dan persahabatan. YB Syed Saddiq adalah seorang pemimpin belia, mantan Menteri Belia dan Sukan, mantan Ketua ARMADA Bersatu, dan masih menjalankan peranan dalam memimpin wacana semasa di kalangan anak muda. Saya menganggap YB Syed Saddiq sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan.

Idea yang saya bawakan adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama. Anak muda membentuk kumpulan terbesar pengundi hari ini, malah lebih separuh daripada keahlian BERSATU.

Namun, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepada saya. Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar.

Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ amatlah tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh YB Syed Saddiq sendiri.

Sekiranya beliau yakin bahawa beliau tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran ini. Kami akan sentiasa doakan yang terbaik dan selamat maju jaya kepada beliau.