Oleh Khoo Poay Tiong dan Chan Foong Hin
 
KUALA LUMPUR, Malaysia--Tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu diberikan perhatian oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri  
 
Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas perlu diadakan bagi memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk memberikan keterangan terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
 
Kami memandang serius terhadap isu tersebut dan bersetuju dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkaitan dengan “defisit kepercayaan” terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang secara tidak langsung turut mencemarkan nama baik SPRM dan nama Malaysia di persada antarabangsa.
 
Sehubungan dengan itu, kami telah mencadangkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuklah Pengerusi Jawatankuasa tersebut YB Kuala Krai, Abdul Latiff bin Abdul Rahman untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada minggu hadapan untuk menyoal siasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkaitan dengan tuduhan terhadapnya.
 
Dengan demikian, kami berharap agar cadangan kami ini dapat disambut baik oleh kesemua tujuh orang ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang lain iaitu YB Pasir Salak, YB Parit, YB Baram, YB Setiu, YB Selayang dan YB Sepanggar serta seterusnya menyediakan laporan siasatan beserta dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang boleh dibentangkan pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac 2022.

 
YB Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan dengan Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri
 
YB Chan Foong Hin
Ahli Parlimen Kota Kinabalu
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan dengan Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri