Oleh Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, Malaysia--Dalam Mesyuarat MKT malam tadi, saya menegaskan bahawa siapapun yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada BN/UMNO, tidak boleh mengikat dirinya dengan apa jua bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur Kabinet Kerajaan PN yang lalu.

 
Calon tersebut juga harus taat kepada Titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah Kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti-parti politik dalam tempoh untuk menangani COVID-19, menguruskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemulihan negara, sebelum masa sesuai untuk diadakan PRU-15 akan datang.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Presiden UMNO yang berkongsi intipati Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong berkali-kali menegaskan dalam sesi mengadap Ketua-ketua Parti semalam, “Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua”.

Tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Tuanku Yang di-Pertuan Agong menitahkan ‘Undi Percaya’ atau ‘Vote of Confidence’ dilakukan di Parlimen untuk mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, setelah dinamakan kelak oleh Baginda.