KUALA LUMPUR, Malaysia--Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di atas kenyataan tegas Istana Negara berhubung pelanggaran peruntukan Undang-Undang, Perlembagaan Persekutuan serta Institusi Istana oleh kerajaan Perikatan Nasional dalam pengendalian Ordinan Darurat yang kini menjadi isu besar dalam sidang parlimen.

ABIM berpendirian, seluruh rakyat harus mencermati penegasan Istana Negara ini sebagai suatu yang secara jelas telah mengabsahkan bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin mengabaikan prinsip demokrasi berparlimen dan tidak menghormati sistem Raja Berperlembagaan.

Dalam masa sama, ABIM menegaskan bahawa seluruh anggota Jemaah Menteri harus bertanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berlaku ini.

Ia selari dengan Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan prinsip kebertanggungjawaban bersama atau "collective responsibility" di mana seluruh ahli Jemaah Menteri wajib bertanggungjawab bersama atas segala keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan khususnya kepada Parlimen.

Menurut doktrin Ministerial Responsibility, terdapat beberapa prinsip "Duty to act with unanimity" yang bermaksud seluruh anggota Jemaah Menteri bertindak sebagai satu suara kepada warga awam, Parlimen serta Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, ABIM menegaskan tindakan kerajaan yang menghina institusi Istana, Dewan Rakyat, dan seluruh warga Malaysia yang menjunjung prinsip Rukun Negara sebagai teras dalam amalan bernegara, adalah tindakan seluruh anggota Jemaah Menteri.

Oleh yang demikian, selain gesaan dengan tegas untuk Perdana Menteri berundur secara terhormat dan bermaruah, ABIM menggesa seluruh anggota Jemaah Menteri mengambil tanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Perlembagaan Persekutuan untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengangkat kembali prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan khususnya dalam pengendalian Ordinan Darurat di Parlimen.