"Sidang Parlimen Khas" seperti yang dicadangkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, adalah sangat berbeza dengan apa yang telah dititahkan oleh KDYMM Tuanku Agong bersama kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) pada 16 Jun 2021 yang lepas.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menzahirkan dengan jelas akan keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga dampaknya terhadap ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan.

KDYMM Tuanku Agong juga konsistan menzahirkan tentang betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan adanya sebuah kerajaan yang mendapat mandat  rakyat bagi memerangi wabak Covid-19 secara berkesan. Justeru, KDYMM Tuanku Agong jelas telah menggesa agar Parlimen segera bersidang sekurang-kurangnya tiga kali iaitu pada 24 Februari 2021, 16 Jun 2021 dan 29 Jun 2021. Malah Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) pada 16 Jun yang lepas telah senada menekankan agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri segera dipanggil.

Semua ini adalah isyarat jelas bahawa institusi tertinggi demokrasi negara iaitu Parlimen dan Dun mesti segera dipulihkan dan berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh.

Sedangkan Sidang Khas yang dimaksudkan oleh kedua-dua Speaker Dewan Parlimen hanyalah untuk membincangkan soal berkaitan pindaan peraturan mesyuarat dewan bagi membolehkan satu Sidang Hibrid diadakan selepas daripada 1 Ogos iaitu tarikh akhir darurat, sepertimana yang dinyatakan oleh Majlis Raja-Raja Melayu bahawa Darurat tidak sewajarnya dilanjutkan selepas daripada tarikh 1 Ogos 2021.

Seusai sesi mengadap Tuanku Agong oleh kedua-dua Speaker Dewan Parlimen, mereka dengan jelas telah memaklumkan kepada umum (media) bahawa KDYMM Tuanku Agong telah menitahkan kepada mereka berdua yang Parlimen perlu segera bersidang sepertimana yang dizahirkan baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu. Jadi mengapakah timbul istilah Sidang Khas ini, dari mana?

Adakah ini dibuat selepas perbincangan dengan Perdana Menteri yang kelihatannya sangat enggan dan sering dilihat gagal melaksanakan Titah KDYMM Tuanku Agong?

Adakah kedua-dua Speaker Dewan telah bertindak derhaka terhadap Titah Tuanku, hanya semata-mata bagi memenuhi kehendak dan keperluan seorang PM yang mungkin berjasa mencadangkan nama mereka ke jawatan tersebut?

Adakah mereka lupa bahawa cadangan pelantikan mereka ke jawatan tersebut tidak akan mempunyai apa-apa makna sehinggalah perkenan KDYMM Tuanku Agong?

Tidakkah semua tindakan mereka ini telah mencalar kewibawaan KDYMM Tuanku Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu di mata awam sekaligus di mata dunia?

Sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua  rakyat. KDYMM Tuanku Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah bersuara, dan suara baginda semua adalah bersama dengan rakyat jelata. Kabinet dan pentadbiran PN hentilah melumur arang ke muka baginda dan Istana!